Friday, July 16, 2010

Tiga faktor Umno sesat

KUALA LUMPUR, 16 Julai : Anak lelaki Menteri Besar Kelantan Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz berkata, tuduhan Umno bahawa PAS sesat “amat berat” tetapi ia jauh lebih berbeza daripada komponen BN itu kerana tiga faktor, antaranya Umno tidak berani bermuzakarah ataupun menjelaskan tuduhan-tuduhannya.

Kata Nik Abduh, oleh kerana beliau begitu faham dengan tuduhan PAS terhadap Umno sejak kecil lagi sehingga sudah menjadi kalih dengan isu sesat-menyesat ini bahawa “Umno adalah parti sesat.”

“Tuduhan ini berat. Kerana berat, maka PAS mengambil tanggung jawab penuh untuk menjelaskan, memuzakarahkan, mendebatkan dan mensyarahkannya bila — bila masa demi mengabsahkan tuduhannya itu,” katanya.

“Maka, saya begitu mudah untuk menjelaskan maksud ‘tuduhan’ PAS tersebut. Saya perturunkan di sini agar anda dapat melihat isi penting pertuduhan yang ingin sangat PAS perjelaskan kepada rakyat, sama ada ahli PAS atau ahli Umno agar semua rakyat memahami kedudukan pertelagahan Umno-PAS,” katanya.

Kata Nik Abduh, jika Umno tidak bertanggungjawab di atas tuduhannya mengatakan PAS parti sesat dengan mengelak penjelasan atau muzakarah atau debat untuk menilai kebenaran tuduhan mereka, PAS pula adalah sebaliknya.

“Setelah menuduh Umno sebagai sesat, palsu, batil, salah, menyeleweng, fasiq, zalim dan sebagainya, PAS tampil untuk menjelaskan dan bersedia bersemuka dengan apa cara sekalipun asalkan tuduhannya itu diikuti pula dengan penjelasan yang difahami sebaiknya oleh orang yang memerlukan kefahaman dan kejelasan,” kata beliau dalam tulisan blognya.

Kata Nik Abduh, ayahnya Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang juga Mursyidul Am PAS biasa melontarkan “peluru yang panas-panas” ke atas Umno dan semua tahu bahawa ia bertujuan menimbulkan polemik dan “kepanasan yang akan memaksa semua untuk memohon penjelasan beliau.”

“Adakah anda melihat beliau senyap, bersembunyi dan enggan menjawab dan mengulas lagi? Tidakkan?

“Sebelah Umno pula, macam contoh terdekat, Datuk Shafie Apdal yang menuduh PAS sebagai sesat, ke mana beliau apabila rakyat meminta penjelasan?

“Muka depan Harakah segera menuntut penjelasan, hujah dan bukti daripadanya dan Umno juga, tetapi tiada apa-apa selain kesepian dan senyap,” kata Nik Abduh dalam tulisan mempertahankan ayahnya dan PAS dalam isu tuduhan sesat-menyesat ini.

Sehubungan itu Nik Abduh turut mempertahankan pendirian PAS bahawa Umno adalah parti sesat kerana tiga faktor.

“Pertama, Umno sesat dari sudut dasar. PAS konsisten berhujah bahawa dasar kebangsaan atau nasionalisme adalah sesat, salah dan terseleweng daripada agama.

“Oleh kerana Umno secara jelas menjadikan kebangsaan sebagai dasarnya, maka Umno sesat dan menyesatkan rakyat Malaysia.

“Bagi PAS, dasar parti hendaklah Islam. Islam tulen sebagaimana dibawa Rasulullah,” katanya.

Selain itu tegas beliau, Umno sesat dari sudut matlamat manakala PAS konsisten berhujah bahawa membina negara demokrasi sekular yang menjadi matlamat Umno adalah sesat, salah dan menyeleweng daripada agama.

“Maka, Umno sesat dan menyesatkan rakyat Malaysia. Bagi PAS, matlamat hendaklah Islam juga dan matlamat Islam adalah menegakkan khilafah dengan membina sebuah negara Islam,” kata Nik Abduh.

“Ketiga, Umno sesat dari sudut wasilah dan cara membangunkan negara. Menghalalkan riba, arak, judi, pergaulan bebas dan mengharamkan hukum hudud misalnya adalah gambaran cara dan wasilah Umno menyusun, membentuk dan menyelesaikan masalah negara yang jelas keluar daripada pengajaran agama dan sunah nabi.

Justeru jelas beliau, kesediaan PAS memuzakarahkannya adalah bukti pertanggungjawaban PAS atau tuduhannya itu.

“Itu adalah persaksian yang sungguh gagah dan berani. Hujah adalah kemenangan dan mukjizat,” katanya.

Sambil mendakwa tuduh-menuduh sesama umat Islam adalah memilukan, memalukan dan merugikan, Nik Abduh menyoal mengapakah PAS yang mendakwa sebagai parti Islam terus membuat tuduhan terhadap Umno.

“Mengapa tidak dibiarkan Umno sahaja yang menuduh dan memfitnah?

“Ya, jawabannya adalah kerana amar makruf nahi munkar. Senyap melihat kemungkaran adalah satu dosa yang akibatnya telah diperlihatkan Allah kepada kita atas apa yang berlaku ke atas Bani Israel yang tidak mencegah kemungkaran sesama mereka,” katanya.

Nik Abduh yang juga ahli jawatankuasa Dewan Pemuda PAS berkata Umno kata PAS sesat dan PAS kata Umno pula sesat dan disebabkan saling sesat-menyesatkan, maka mereka saling bercakaran walaupun sebab utama percakaran bukanlah kerana tindakan saling lempar-melempar itu, tetapi kerana dasar perjuangan mereka yang berbeza.

Maksudnya jelas beliau, jika tak saling menuduh, tak sesat-menyesatkan pun mereka akan tetap bercakaran juga kerana percanggahan ideologi itu.

“Dari dulu lagi PAS kata Umno sesat dan dari dulu yang sama tempohnya juga Umno kata PAS sesat.

“Tak tahulah bila nak berhenti. Memang bila dah sesat, memang susah nak sampai ke penghujung, apatah bila dah saling sesat-menyesatkan, lagi-lagilah susah nak ketemu hujung habisnya.

“Hari ini saya tak kisah pun jika mendengar orang PAS kata Umno sesat dan begitulah jika saya dengar Umno kata PAS sesat juga. Sebabnya, dah kalih, dah lama sangat dengar cerita saling sesat-menyesatkan ini,” kata beliau.

Read more ...

Pejabat wakil rakyat anjur pertandingan bolasepak tujuh sebelah


PARIT BUNTAR , 16 Julai : Pertandingan bolasepak tujuh sebelah tertutup Kuala Bagan Tiang anjuran bersama Pusat Kidmat Parlimen Parit Buntar dan DUN Titi Serong telah diadakan di padang Kuala Bagan Tiang.

Penyelaras pertandingan Sharin Mat Daud berkata, sepuluh pasukan telah menyertai pertandingan yang diadakan secara liga itu.

“ Walaupun pertandingan ini diadakan secara tertutup kepada pasukan dari Kuala Bagan Tiang, namun terdapat juga beberapa pasukan luar yang dijemput menyertainya.

“ Tujuh pasukan adalah terdiri daripada belia-belia Kuala Bagan Tiang yang menjadi tuan rumah untuk pertandingan ini” katanya

Shahrin berkata, pertandingan ini bermula awal pagi dan berakhir lewat petang serta diadili oleh pengadil yang berpengalaman.

“ Semangat Piala Dunia menyemarakkan lagi kemeriahan pertandingan ini. Semua pemain mempamerkan kemahiran masing-masing.

“ secara keseluruhannya pertandingan ini berjalan lancar dan semua pasukan menunjukkan semangat kesukanan yang tinggi” katanya

Menurutnya, pasukan Jalan Sungai Kota telah menjuarai pertandingan ini mengalahkan pasukan Parit Haji Awi dengan jaringan dua gol tanpa balas dalam perlawanan akhir.

“ Dua pasukan dari Kuala Bagan Tiang masing-masing mendapat tempat ketiga dan keempat. Walaupun tewas di separuh akhir, pasukan dari Kuala Bagan Tiang patut dipuji kerana mempamerkan semangat melawan yang jitu” katanya

Majlis penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh Ahli Parlimen Parit Buntar Dr. Mujahid Yusuf Rawa, ADUN Titi Serong Drs. Khalil Idham Lim Abdullah dan Yang Dipertua PAS Parit Buntar Harun Hashim.

Read more ...

Penduduk Gopeng bantah perpindahan stesen bas


GOPENG, 16 Julai : Kira-kira 400 penduduk Gopeng membantah tapak cadangan pembinaan Bangunan Stesen Bas dan Perhentian Teksi yang akan dilaksanakan tidak lama lagi berhampiran kawasan Pasar Awam dan Pasar Pagi kerana dikatakan boleh mengganggu operasi perniagaan itu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Teja, Chang Lih Kang berkata, pihaknya menerima banyak aduan berhubung isu perpindahan Stesen Bas Gopeng ke satu tempat yang tidak jauh dari lokasi asal kerana boleh mengganggu pertumbuhan ekonomi di kawasan itu.


Menurutnya, pembinaan itu menyebabkan peniaga terpaksa dipindahkan ke lokasi baru menyebabkan ada di antara mereka tidak berpuas hati dengan keadaan itu.

“Saya kecewa dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) kerana seolah-olah telah membuat keputusan tanpa berbincang terlebih dahulu dengan penduduk,” katanya ketika bangkit membalas respons PBT berhubung isu tersebut dalam Majlis Penerangan Awam Cadangan Pembinaan Stesen Bas Gopeng, di sini, kelmarin.

Hadir sama, Yang Dipertua Majlis Daerah Kampar, Ahmad Kamaruzzaman Hamzah, pegawai dan kakitangan, bekas Ahli Majlis, ketua kampung serta penduduk setempat.

Lih Kang berkata, sepatutnya PBT mendengar rintihan daripada penduduk sebelum sebarang keputusan dibuat.

“Tetapi, apa yang jelas, cadangan ini telah pun dipersetujui dan akan dilaksanakan tidak lama lagi serta dijangka siap pada Jun 2011,” katanya.

Katanya, beliau tidak menafikan, Stesen Bas Gopeng sedia ada perlukan perubahan dan penambahbaikan tetapi satu lokasi baru perlu dicari bagi menggantikan tapak cadangan yang telah dipersetujui.

“Saya bersetuju jika kemudahan itu diberi nafas baru, namun lokasinya tidak sesuai memandangkan boleh menjejaskan pendapatan peniaga apabila terpaksa beralih ke tempat lain,” katanya.

Beliau berkata, perkhidmatan Bas Kinta yang akan melalui Stesen Bas Gopeng hanya menjalankan perkhidmatan domestik, sebaliknya, kebanyakan penduduk Gopeng yang ingin ke pasar sudah biasa menggunakan motosikal dan basikal.

Selain itu, kedudukan perhentian bas baru yang berdekatan dengan sebuah sekolah rendah juga punca penduduk membantah pemindahan itu.

“Ramai ibu bapa mengadu bahawa mereka bimbang tentang keselamatan anak-anak kerana perpindahan stesen bas ini akan menambahkan kesibukan lalu lintas dan secara tidak langsung meningkatkan risiko kemalangan,” katanya.

Dalam masa sama, beliau turut menyerahkan Memorandum Bantahan yang ditandatangani kira-kira 400 penduduk Gopeng yang tidak berpuas hati dengan cadangan itu kepada Ahmad Kamaruzzaman.

“Kami berharap PBT lebih peka kepada masalah rakyat, dan bukannya membuat keputusan dengan mengetepikan suara rakyat," katanya.

Read more ...

Hasil pasir meningkat selepas PR memerintah




















SHAH ALAM, 16 Julai :
Pemuda UMNO tidak perlu bermain wayang dengan membuat tindakan keterlaluan berhubung isu perlombongan pasir di Selangor.

Sebaliknya, mereka harus mempertikaikan bagaimana urus tadbir yang dilakukan bekas Menteri Besar, Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo sewaktu pemerintahannya sebelum ini.

Timbalan Pengarah Sekretariat Latihan dan Perkaderan (SELKAD), Faris Musa berkata, rakyat sentiasa memberi sokongan padu dan jitu kepada Kerajaan Negeri pimpinan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang jelas menggunakan ekonomi negeri Selangor untuk kepentingan rakyat dengan program Merakyatkan Ekonomi Selangor.

“Kami mendesak ahli UMNO terutama sekali Pemuda UMNO agar mempersoalkan bekas MB Selangor yang hanya memperoleh pendapatan hasil pasir sebanyak RM2.9juta setahun. Mereka tidak perlu menghantar memorandum dan mempertikaikan ketelusan Kerajaan Negeri dalam urus tadbir kerajaan ini.

“Kerajaan PR telah meningkatkan hasil pasir sejumlah RM6.3juta (2008), 5.4juta (2009) malah sehingga Jun 2010 hasil dapatan yang diperoleh Kerajaan Negeri ialah RM10.3juta.

Beliau yang turut serta dalam penyerahan memorandum menyokong Abdul Khalid bersama 60 Skuad Komunikasi Selangor (SKS) semalam melihat jelas bahawa ahli UMNO telah menyeleweng kenyataan yang dikeluarkan.


Sementara itu, penyerahan yang diketuai Timbalan Pengarah Skuad Komunikasi Selangor (SKS), Khairul Nizam Othman menyokong penuh kepimpinan Kerajaan Negeri di dalam pengurusan sumber alamnya untuk menjana pendapatan dan kekayaan rakyat demi kemakmuran negeri sesuai dengan moto negeri iaitu, merakyatkan ekonomi negeri untuk kebajikan rakyat.

Memorandum itu juga menolak dakwaan yang tidak berasas pihak pembangkang Negeri Selangor iaitu UMNO/Barisan Nasional (BN) yang memburukkan pimpinan Kerajaan Pakatan Rakyat (PR) Negeri Selangor yang kononnya terdapat salah urus tadbir Kerajaan Negeri di dalam pengurusan sumber alamnya.

Malah memorandum itu turut menggesa Kerajaan Negeri membongkarkan semua penerima konsesi pasir dan tanah sebelum Mac 2008 semasa di bawah pemerintahan BN.SH

Read more ...