Rakaman video di bawah dengan tempoh 4 minit 48 saat menunjukkan apa sebenarnya yang berlaku semasa Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim diserang di dalam Masjid Al-Hussain, Seberang Pumpong, Alor Setar, Kedah malam tadi.
Program tazkirah disampaikan oleh Anwar malam tadi berakhir dengan kekecohan membabitkan ahli-ahli Perkasa Kota Setar dan penyokong Pakatan Rakyat (PR).
Tidak sampai dua minit tazkirah bermula, ahli-ahli Perkasa cuba menghalang ucapan disampaikan Anwar dengan pelbagai cara.
Ketika kejadian, berlaku pertikaman lidah antara ahli Perkasa dan penyokong PR dalam masjid berkenaan apabila Anwar, yang juga Ketua Umum PKR, enggan berhenti daripada menyampaikan tazkirahnya.
Tidak cukup dengan itu, ahli Perkasa cuba mematikan suis utama lampu, kipas dan pembesar suara masjid berkenaan agar Anwar tidak dapat meneruskan tazkirah.
Terdahulu kira-kira jam 6.20 petang, lebih 50 ahli Perkasa Kota Setar mengadakan demonstrasi menentang penggunaan masjid itu sebagai medan politik.
Timbalan Pengerusi Perkasa Kota Setar, Jamaludin Hashim ketika ditemui berkata, tujuan demonstrasi diadakan adalah untuk menghalang Anwar daripada menyampaikan ceramah politik di masjid tersebut.
Katanya, Perkasa tidak akan membenarkan Anwar menyampaikan tazkirah di masjid berkenaan kerana beliau bukan seorang yang bertauliah untuk berbuat demikian.
“Sekiranya Presiden PAS, Tuan Guru Abdul Hadi Awang ingin menyampaikan tazkirah di masjid berkenaan, Perkasa tiada halangan kerana beliau seorang yang bertauliah berbanding Anwar.
“Perkasa Kota Setar bertegas tidak akan membenarkan Anwar menyampaikan sebarang tazkirah di masjid berkenaan. Bagaimanapun, kami tidak akan menghalang beliau memasuki masjid untuk menunaikan solat,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Pengerusi PKR Kedah, Zamri Yusuf ketika dihubungi berkata, tindakan Perkasa Kota Setar mengadakan demonstrasi menghalang Anwar daripada menggunakan masjid tersebut untuk menyampaikan tazkirah adalah tidak waras.
Katanya, masjid perlu diimarahkan dengan pelbagai aktiviti yang berfaedah.
“Anwar tetap akan menyampaikan tazkirah di masjid berkenaan seperti mana yang telah dijadualkan kerana ilmu yang akan disampaikan adalah untuk kegunaan dan pengetahuan orang ramai di masa hadapan,” katanya.