Monday, November 15, 2010

Akaun wang ihsan pelajar miskin kosong




















KOTA BHARU, 16 Nov:
Anehnya wang ihsan sebanyak RM15 juta dikatakan telah diagih kepada pelajar miskin, namun sehingga kini ramai ibu bapa mendakwa akaun bank anak mereka yang dibuka tidak ada duit.

Mereka memberitahu pelajar yang disenarai mendapat wang ihsan diminta pihak sekolah membuka akaun bank bagi membolehkan wang ihsan disalurkan.

“Malangnya ketika saya semak akaun anak saya minggu lepas tidak ada wang yang dimasukkan,” dakwa seorang bapa dari Kuala Krai.

Difahamkan setiap pelajar miskin diuar-uarkan mendapat wang ihsan antara sebanyak RM150 hingga RM200.

Pelajar yang disenaraikan mendapat wang tersebut dipastikan tidak mendapat bantuan Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin (KWAPM).

Baru-baru ini Pengerusi Jawatankuasa Pengagihan Wang Ihsan, Datuk Dr Awang Adek Hussin mendakwa wang ihsan sebanyak RM15 juta telah dibelanjakan daripada RM25 yang diperuntuk tahun ini.

Menurutnya bakinya sebanyak RM10 juta lagi besar kemungkinan digunakan bagi bantuan banjir.

Bagaimanapun di Kampung Manek Urai ramai penyokong Umno difahamkan mendapat wang ihsan bagi membaiki rumah bernilai lebih RM5,000 setiap seorang.

Hampir kesemua rumah penyokong Umno di kampung tersebut dibaiki di mana ada yang membesar bahagian hadapan, dapur dan menukar zink serta dinding baru.

Malah pada kempen pilihan raya kecil Dun Galas Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) Kelantan mengedarkan risalah projek mega kerajaan Barisan Nasional (BN) Dun Galas dari sumber royalti minyak.

Projek yang disenaraikan pada risalah tersebut termasuk mewujudkan Berjaya Gua Musang Theme Park yang digambarkan seperti pusat perjudian di Genting Highlands bernilai RM1.5 bilion.

Selain itu cadangan projek Golf Club & Country Resort bertaraf 5 Star bernilai RM850 juta.
Kesemua cadangan tersebut bernilai lebih RM2 bilion iaitu sama dengan jumlah wang royalti yang dituntut kerajaan negeri sejak tahun lepas.

Sedangkan sebelum ini pemimpin Umno berkali-kali menafikan Kelantan mempunyai hak ke atas royalti minyak kerana kedudukan telaga di luar kawasan tiga batu nautika.

Seorang lagi bapa juga dari Kuala Krai mendakwa ketika beliau ke bank bagi menyemak status akaun wang ihsan anaknya tidak ada wang yang dimasukkan ke dalam akaun tersebut.

Program wang ihsan juga menjadi bahan kempen Umno untuk menarik ibu bapa hadir ke sekolah.

Kelmarin program serupa diadakan di Sekolah Kebangsaan Sultan Ibrahim 2 Pasir Mas di mana ibu bapa dipaksa hadir pada program pengagihan wang ihsan.

Seorang bapa yang juga pegawai kerajaan pusat mendakwa program tersebut dirasmikan seorang pemimpin Umno di Pasir Mas.

“Ceramah Pemuda Umno Pasir Mas itu bukan mengenai pendidikan sebaliknya mengenai politik Umno dan mencemuhkan pihak lawan.

“Saya lihat ramai ibu bapa yang hadir keluar dewan kerana mereka ditipu hadir bagi mendengar ceramah pemimpin Umno yang berselindung di sebalik program pengagihan wang ihsan,” ujarnya.

Read more ...

Media pembohong perlu diajar

PERMATANG PAUH, 16 Nov: Ketua Dewan Pemua PAS Pusat, Ustaz Nasrudin Hasan at-Tantawi (gambar) menegaskan, memang layak media yang tidak beretika mesti diajar sebagai teladan untuk mereka mengkaji semula laporan yang berat sebelah.

Berucap pada malam penutup Karnival Sekolah Rendah Islam Bahrul Ulum (SRIBU) malam tadi, beliau berkata tindakan yang diambil oleh Kerajaan Negeri Kedah melarang media pro Umno membuat liputan persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun) merupakan reaksi biasa sebagai protes bukanya menghalang kebebasan media.

"Tindakan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan memang patut sebab media pro Umno buat liputan berat sebelah berkaitan banjir. Media hanya tumpukan pada sumbangan Kerajaan Pusat, seolah-olah menidakkan bantuan kerajaan negeri. Lepas tu hentam tanpa bagi peluang Menteri Besar menjawab," terangnya.

Sebagai contoh, katanya ketika bantuan Dewan Pemuda PAS Pusat yang berkampung di Kubang Rotan di mana mangsa banjir diberikan sumbangan dan disajikan gulai daging lembu pada hari pertama, pada hari kedua pula ayam masak merah manakala hari ketiga gulai telur ikan masin.

“Bila hari ketiga, datang TV3 dan terus menemu ramah mangsa yang dihidangkan gulai telur ikan masin. Mereka buat cerita bukan-bukan kononnya mangsa diberikan hidangan yang tidak seberapa, ada pilih kasih dan seumpamanya.

"Itulah kejahatan yang dibuat, mereka mencipta isu demi kepentingan Umno dan Barisan Nasiona (BN). Mereka meninggalkan etika yang mengkehendaki bersikap jujur dan tulus pada sebarang laporan," jelasnya kecewa.

Dewan Pemuda PAS Pusat juga menyifatkan, laporan yang dibuat oleh media pro Umno itu didalangi oleh beberapa individu yang sengaja mengambil kesempatan berlakunya banjir terburuk yang melanda Negeri Kedah.

Beliau juga yakin peristiwa yang berlaku itu tidak akan mendorong rakyat untuk kembali ke pangkuan Umno yang telah membohongi mereka sejak 50 tahun lalu.

"Rakyat Kedah pasti tahu cerita sebenar apa yang berlaku. Semua itu pembohongan media pro Umno yang senantiasa mencari ruang untuk mereka mengucar-kacirkan pemerintah Pakatan Rakyat,” katanya.

Read more ...

Adnin Zulaikha dan Dania Syauqina Ahza pelajar terbaik PASTI Parit Buntar

















PARIT BUNTAR, 16 Nov. : Hari Anugerah PASTI kawasan Parit Buntar tahun ini disambut meriah apabila 120 pelajarnya dari sembilan buah PASTI di seluruh kawasan Parit Buntar menerima hadiah kecemerlangan.

Ketua Pemuda PAS Parit Buntar Khairulzami Muhammad berkata, majlis yang diadakan di Dewan Tuan Guru Haji Ahmad Tuan Husain, Titi Serong ini merupakan hari anugerah kecemerlangan kali ke 13 dan pada tahun ini lebih 100 pelajar menamatkan pengajian mereka di PASTI untuk melanjutkan pelajaran diperingkat sekolah rendah.

" Hari anugerah ini telah dirasmikan oleh Ustaz Marul Hairi Mokhtar yang merupakan Timbalan Pengarah PASTI Negeri Perak. Di dalam ucapan perasmiannya, beliau menyatakan bahawa PASTI merupakan pusat asuhan yang terbaik dengan menampilkan bidang pengajian berunsurkan tarbiyah dan kokurikulum.

" Anak-anak ini didedahkan dengan hal ehwal aqidah, rohani, akhlak, intelek dan jasmani. Dalam masa yang sama mata pelajaran asas seperti Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Bahasa Arab, Al-Quran juga diajar untuk mereka " katanya

Menurut Khairulzami, majlis dimulakan dengan perarakan masuk graduan enam tahun. Anak-anak PASTI juga menyampaikan persembahan nasyid dan alunan zikir munajat serta Asma'Ul Husna.

" Pada tahun ini pelajar terbaik lima tahun disandang oleh adik Dania Syauqina Ahza Muhamad Razia dari PASTI Al Munir, Taman Murni.

" Manakala adik Intisya' Adnin Zulaikha Mohd Suhaidi dari PASTI An Nur, Taman Kerian Permai diisytihar sebagai pelajar terbaik keseluruhan enam tahun" katanya

Khairulzami berkata, PASTI di Parit Buntar juga merupakan pusat asuhan yang aktif dengan aktiviti kokurikulum.

" Pada tahun ini, PASTI Parit Buntar telah menjadi johan pertandingan bola jaring PASTI negeri Perak, manakala pasukan bola sepak menjadi naib johan negeri Perak." katanya

Turut hadir sama dalam majlis gemilang ini adalah Yang Dipertua PAS Kawasan Parit Buntar, Harun Hashim dan beberapa pimpinan PAS Parit Buntar.

Tambah Khairulzami, pendaftaran baru untuk pelajar PASTI bagi umur empat hingga enam tahun sudah dibuka untuk tahun 2011. Ibu bapa kanak-kanak yang berminat boleh menghubungi guru PASTI yang berhampiran.


Anak-anak PASTI menyampaikan alunan zikir munajat
Sebahagian dari ibu bapa yang hadir ke hari anugerah
Nyanyian nasyid dari graduan enam tahun

Read more ...

Sesat : Mohd Nor Idris mendakwa dirinya kasyaf

KOTA BHARU, 15 Nov: Pelbagai pihak menyifatkan bekas Ketua Penerangan Umno Kelantan, Ustaz Mohd Nor Idris yang mendakwa dirinya sebagai kasyaf sebagai sesat.

Timbalan Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat, Datuk Ahmad Yakob menyifatkan kenyataan pemimpin Umno boleh diketawakan orang yang waras.

“Sahabat yang termasyhur di zaman Rasulullah saw tidak pernah mengakui diri mereka kasyaf.

"Sejarah mencatat seorang sahabat bernama Uwais Al-Qarni mempunyai kelebihan spiritual sehingga baginda menyuruh Saidina Omar meminta ulama itu berdoa.

"Tak tahulah saya kalau Ustaz Nor boleh mengaku diirinya kasyaf secara terbuka," katanya sebagai mengulas pengakuan pemimpin Umno terbabit yang disebarkan melalui facebook baru-baru ini.

Pada kenyataan melalui laman tersebut Ustaz Nor memberitahu enggan bersalam dengan Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat kerana menganggap tangan Menteri Besar sebagai syaitan.

Ketika kempen pilihan raya kecil Dun Galas baru-baru ini Ustaz Nor juga menengking keras Tuan Guru Nik Abdul Aziz ketika kunjungan Menteri Besar ke rumah bekas Adun Galas, Omar Mohamad di RPT Sungai Terah.

Ahmad yang juga Timbalan Menteri Besar Kelantan berharap orang ramai tidak terpengaruh dengan pengakuan kasyaf Ustaz Nor yang dianggap sebagai sesat.

Beliau juga mempertikaikan tulisan Awang Selamat dalam ruangan Bisik-Bisik Mingguan Ahad lalu yang mengangggap Tuan Guru Nik Abdul Aziz enggan bersalam dengan Ustaz Nor.

“Sedangkan perkara sebenar yang berlaku ketika Menteri Besar menghulur tangan untuk bersalam, Ustaz Nor enggan kerana menganggap tangan pemimpin PAS itu ada syaitan,” katanya.

Oleh itu beliau berharap pengarang akhbar terbabit lebih beretika dalam setiap tulisan dan bukannya menjadi jaguh menyebarkan fitnah.

Anggota Exco kerajaan negeri, Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, Utusan sebagai lidah rasmi Umno sekali lagi cuba memfitnah Menteri Besar Kelantan dengan menyebarkan kenyataan yang tidak berasas.

Katanya, gambaran yang diberi kononnya Tuan Guru Nik Abdul Aziz enggan bersalam dengan Ustaz Nor jauh menyimpang jauh terhadap perkara sebenar yang berlaku.

“Mengapa pengarang terbabit cuba menyembunyikan perkara sebenar apabila seorang menteri besar dimaki hamun di hadapan orang ramai ketika berkunjung ke rumah seorang pemimpin bekas Semangat 46.

“Ramai menjadi saksi kepada sikap gelojoh dan tidak beradab yang ditunjukkan Ustaz Nor. Semua rakyat di Kelantan tahu cerita sebenar dan Utusan tidak mampu untuk menyembunyikan,” katanya.

Menurutnya Utusan perlu membetulkan dan memohon maaf secara terbuka kepada Menteri Besar Kelantan.

Kata beliau sekiranya akhbar terbabit terus berdegil tindakan selanjutnya termasuk mendapatkan keadilan di mahkamah.

Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Kelantan, Ahmad Fadhli Shaari berkata, serangan Utusan sengaja dilontarkan akhbar terbabit dengan harapan dapat menjatuhkan karier politik Tuan Guru Nik Abdul Aziz.

“Semua itu kerja sia-sia belaka, prinsip Tok Guru tidak pernah tunduk pada sebarang tekanan. Malah ini bukan satu perkara baru bagi Tok Guru. Selama 20 tahun memerintah Kelantan sudah terlalu banyak pengalaman pahit manis dilaluinya.

“Saya tidak nampak rasional atau apa untungnya di sebalik serangan itu. Bahkan, seringkali tuduhan mahupun tomahan terhadapnya akan menambah kuatkan lagi semangat Mursyidul Am,” katanya.

Beliau juga berharap Awang Selamat jangan berselindung di sebalik nama murahannya untuk melacurkan pena wartawan demi kepentingan perut semata-mata.


Harakahdaily

Read more ...

Peningkatan pengundi Orang Asli mencurigakan


KOTA BHARU, 16 Nov. : PAS Kelantan curiga dengan peningkatan pengundi di Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas, 4 November lalu.

Pengarah Pilihan Raya PAS Kelantan, Abdul Fatah Harun berkata, hasil rumusan awal yang dibuat oleh pihaknya mendapati terdapat beberapa peti undi menunjukkan peningkatan ketara jumlah pengundi berbanding Pilihan Raya Umum (PRU-12) yang lalu.


Menurutnya, paling jelas peningkatan itu berlaku di kawasan melibatkan Orang Asli sehingga jumlah keluar mengundi mencecah 85 peratus.

“Kita curiga, sesetengah peti undi menunjukkan peningkatan ketara, kita tidak tahu dari mana pengundi datang sama ada dari luar, dibawa atau sebagainya, kita akan buat siasatan lanjut,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Pilihan Raya Kecil Galas menyaksikan calon PAS, Dr Zulkifli Mohamed tewas kepada calon Barisan Nasional (BN), Ab Aziz Yusoff dengan majoriti 1,190.

DUN Galas mempunyai 11, 553 pengundi. Seramai 9,555 pengundi atau 82.71 peratus keluar mengundi dalam pilihan raya kecil lalu berbanding 81 peratus dalam PRU yang lalu.

Abdul Fatah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tuku berkata, peratusan undi kepada PAS tidak menurun ketara sebaliknya BN mendapat kemenangan melalui peningkatan jumlah pengundi.

”Dalam soal ini kita menyerahkan kepada PAS pusat untuk menentukan tindakan selanjut sama ada perkara ini perlu dibawa ke pihak tertentu atau sebagainya,” katanya.

Bagaimanapun katanya, kekalahan PAS dalam pilihan raya kecil itu memberi pengajaran berguna kepada parti itu dalam menghadapi PRU akan datang.

“Kita tidak menyesal dengan kekalahan tetapi ia memberi satu pengajaran yang besar. Sekurang-kurangnya kita tahu bahawa strategi yang diguna pakai oleh UMNO dalam mendapatkan undi mereka.

“PAS mengetahui strategi mereka terhadap Orang Asli dan apa yang buat terhadap pengundi Cina, semua ini dalam rekod kita untuk dijadikan panduan di masa hadapan,” katanya.

Sehubungan dengan itu katanya, PAS Kelantan akan membuat ‘post mortem’ dalam masa terdekat bagi mengenal pasti punca kekalahan secara keseluruhan.SH

Read more ...

PAS selesa bersama PR


IPOH , 16 Nov. : Timbalan Pesuruhjaya 1 PAS Negeri, Datuk Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin berkata, PAS tidak mungkin bersatu dengan Barisan Nasional (BN) berdasarkan sejarah lampau PAS dipecat BN.

Menurutnya, kedudukan Islam lebih baik apabila PAS bersama Pakatan rakyat (PR) berbanding PAS bersama BN satu ketika dulu.


“Dalam konteks sekarang, masyarakat bukan Islam telah mula mengenali dan menghormati Islam sebagai ‘addeen’ sejak PAS bergabung dengan PKR serta DAP.

“Apa gunanya kedudukan PAS lebih baik bersama BN jika sekiranya Islam dibenci dan ditakuti oleh kaum bukan Islam di Malaysia,” katanya kepada Sinar Harian, di sini, semalam.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Datuk Ahmad Maslan yang menyifatkan kedudukan PAS akan jauh lebih baik jika parti memperjuangkan Islam itu bersama BN berbanding PR.

Nizar berkata, kenyataan Ahmad Maslan dilihat retorik dan mempunyai unsur perkauman yang bertujuan untuk mengelirukan serta memecah-belah ikatan PR.

Katanya, secara realiti, BN sebenarnya cemburu dengan sokongan dan penghormatan tinggi kaum bukan Islam terhadap PAS ketika ini.

“Rata-rata rakyat menolak BN khususnya apabila UMNO merampas Kerajaan Negeri Perak.

“PAS lebih selesa dengan PR dan tak perlu untuk PAS bersama BN dalam agenda pembangunan rakyat serta negara,” katanya.SH

Read more ...

Umno suka menyibuk



SHAH ALAM , 16 Nov. : PAS tetap bertegas tidak akan menerima pelawaan untuk bersama Barisan Nasional (BN) kerana semangat perjuangan dan setia kawan dengan Pakatan Rakyat (PR) masih kuat.

Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub berkata, pihaknya tidak akan teruja dengan pelawaan murahan BN.


“Setakat ini, apa pun yang berlaku, PAS tetap bersama PR dalam meneruskan agenda yang menjadi kesepakatan bersama.


“Jangan menempelak racun berbisa kerana PAS tidak tergugat dengan tawaran seperti itu,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, di sini, semalam.


Beliau, yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian berkata, rakyat yang berhak menentukan parti untuk dipilih menerajui negara.


Salahuddin mengulas kenyataan Ketua Penerangan UMNO, Datuk Ahmad Maslan, supaya PAS mengkaji kedudukannya sama ada berdiri sendiri iaitu keluar daripada PR atau bersama BN daripada bercita-cita menggantikan UMNO.


Ahmad turut membidas PAS yang hanya bertanding 60 kerusi Parlimen, yakni tidak sampai 1/3 daripada 222 kerusi sekiranya ingin mengetuai PR.


Mengulas perkara itu, Salahuddin berkata, PR mengamalkan konsep keluarga besar dengan membahagikan kerusi mengikut peruntukan dan kesesuaian yang telah dipersetujui bersama sekiranya memerintah negara kelak.


“Jadi tidak timbul isu kerusi cukup atau tidak dalam sebuah parti kerana ada etika yang dibentuk bersama rakan-rakan dalam PR.


“UMNO perlu cermin diri sendiri kerana turut membahagikan kerusi kepada parti komponen BN.


“Jangan sibuk jaga tepi kain orang lain, Ahmad sepatutnya menjaga rumah tangga sendiri dulu,” katanya.:


Sementara itu, Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali berkata, isu PAS menyertai BN tidak sepatutnya berbangkit kerana PAS sudah berulang kali menyatakan tidak akan berbuat demikian.


“Perkara ini tidak perlu lagi timbul kerana kami sudah menyatakan pendirian tidak akan menyertai BN, malah persetujuan bersama telah dicapai dalam PR.


“Kami ada cara sendiri tanpa perlu pandangan daripada pihak luar yang tiada kena-mengena,” katanya.
SH

Read more ...

SPR lembab untuk Umno

spr























KUALA LUMPUR, 15 Nov. : Keberkesanan kos pendaftaran pengundi baru yang dijalankan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menerusi program 'outreach' dipertikaikan kerana badan tersebut membelanjakan RM13.81 untuk setiap pengundi baru berbanding RM1 sahaja yang dibayar untuk setiap pengundi yang didaftarkan oleh Penolong Pendaftar daripada parti politik.

Ahli Parlimen Serdang, Teo Nie Ching berkata berdasarkan kepada jumlaj seramai 4.3 juta rakyat Malaysia yang berkelayakan yang masih belum berdaftar sebagai pengundi, ini bermakna pihak SPR terpaksa memperuntukkan dana awam sebanyak RM59.5 juta.

Malah sebanyak RM2.23 juta telah dibelanjakan untuk mendaftar seramai 161,148 pengundi abaru pada tahun 2009.


Menurut statistik yang dibekalkan oleh Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz, setakat ini terdapat 11,381,193 pengundi berdaftar dan 4,304,620 pengundi berkelayakan yang belum mendaftar dengan SPR.


"Jumlah yang bekum mendaftar adalah mencemaskan. Ramai pemimpin BN membayangkan pilihan raya umum akan diadakan pada awal tahun depan dan sekiranya ini berlaku 27.4 peratus rakyat Malaysia yang berumur 21 ke atas akan dinafikan hak mengundi serta menentukan kerajaan pilihan mereka.


"SPR telah berkali-kali berjanji mendaftarkan seramai mungkin rakyat Malaysia yang berkelayakan sebelum PRU-13. Untuk itu peruntukan sebanyak RM726,000 telah diberikan di dalam Bajet 2009 dan RM500,000 lagi dalam bajet tambahan 2009. Sebanyak5,635 program 'outreach' telah dijalankan diseluruh negara dengan 161,148 pengundi baru diperolehi.


"Menurut laporan tahunan SPR 2009 hanya seramai 279,490 pengundi baru didaftarkan sepanjang tahun lalu. Dengan jumlan lebih 4.3 juta pengundi yang masih belum didaftarkan, jumlah 2009 dianggap amat sedikit sekitar 6.5 peratus sahaja. Bagi saya SPR tekah gagal memenuhi syarat KPI (Indeks Prestasi Utama) mereka," kata Nie Ching yang juga Penolong Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP.


Nie Ching berkata ketidakefisyenan SPR memerlukan supaya sistem pendaftaran pengundi secara otomatik dilaksanakan segara di mana sistm yang sama telah beroperasi Jerman, Finland, Denmark, Norway dan Taiwan.

Kata beliau tidak ada sebab mengapa ia tidak boleh diadakan di Malaysia apabila pihak Jabatan Pendaftaran Negara memiliki semua butiran rakyat seperti tarikh lahir, nombor kad pengenalan dan alamat.


Beliau berkata alasan yang diberikan oleh Nazri ketika menolak perlaksanaan pendaftaran pengundi secara otomatik bahawa kerajaan tidak boleh memaksa rakyat tidak boleh diterima akal kerana sistem tersebut tidak boleh disamakan dengan undang-undang wajib mengundi disesetengah negara seperti Australia, Chile, Fiji dan Brazil.


"Apa yang penting setiap rakyat Malaysia diberikan hak menentukan masa depan mereka dan tidak dinafikan semata-mata kerana proses dan peraturan birokratik," tegas Nie Ching lagi.

Read more ...

Umno Perak bimbang hilang kuasa





























IPOH, 15 Nov:
Dewan Pemuda PAS Negeri Perak (DPPN Pk) menyokong penuh kenyataan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang yang tegas mengatakan bahawa Umno Barisan Nasional (BN) tidak matang dalam tindakan politik mereka.

Timbalan ketuanya, Mohd Munir Ali berkata, ini terutama di dalam menerima kejatuhan di negeri ini yang menyaksikan mereka menggunakan jalan belakang bagi merampas semula pentadbiran kerajaan negeri daripada Pakatan Rakyat (PR).

Katanya, Tuan Guru Seri Abdul Hadi secara tegas menyatakan tindakan tersebut sebagai tidak demokratik.

Tambahnya, hal itu yang dinyatakan di dalam seminar bertajuk ‘PAS Sedia Ganti Umno’ baru-baru ini jelas memberikan harapan kepada rakyat agar terus yakin akan kepimpinan PAS dan PR di dalam menerajui negeri atau negara ini kelak.

“Sudah tentu sikap tidak demokratik Umno ini tidak terhenti segitu sahaja, malah diteruskan lagi dengan sikap tidak profesional mereka di dalam menguruskan negara dan rakyat itu sendiri,” katanya.

Rakyat, katanya perlu menilai semula kesan rampasan kuasa oleh Umno yang berlaku di Perak kerana ianya jelas menggambarkan matinya demokrasi yang adil dan saksama sehingga sekarang ini.

“Disebabkan itulah para pelabur asing masih tidak yakin terhadap pentadbiran kerajaan negeri Perak yang tampok kekuasaannya terletak kepada ‘kuasa ketiga’ iaitu Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bebas yang telah melompat parti.

“Faktor merekahlah kecelaruan dan ketakutan banyak pihak terutama negara asing yang melihat drama politik hitam di Perak yang mematikan demokrasi dan menidakkan pilihan dan kuasa rakyat,” ujarnya.

DPPN Pk, katanya yakin Umno BN bimbang menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 nanti yang bakal menyaksikan mereka dijatuhkan dan ditolak oleh rakyat negeri Perak.

“Kebimbangan inilah yang sedang menghantui mereka demi menjaga kedudukan yang kini berada ‘di hujung tanduk’,” ujarnya.

Read more ...

Pergolakan dalaman PKR , resam politik biasa



































SHAH ALAM, 15 Nov. : Ahli Parlimen Kuala Selangor , Dr Dzulkefly Ahmad memberitahu pergolakan dalaman parti adalah perkara biasa dan menjadi resam dalam politik.

Beliau mengingatkan Pakatan Rakyat bahawa adalah menjadi lumrah tahap perpaduan di antara ahli dalam sesebuah parti berada di paras rendah, namun ia bukanlah halangan paling besar yang boleh menganggu-gugat kestabilan keseluruhan parti itu.

Justeru ujar Dr Dzul, Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang sedang berhadapan dengan situasi getir apabila wujudnya cabaran dan dugaan dalam mengaplikasikan proses demokrasi dalam pemilihan langsung yang sedang diadakan, harus akur dan sentiasa optimis.

"Semua parti-parti politik ketika mengalami pemilihan dalam parti, akan juga sekaligus berdepan dengan keadaan dan situasi kedudukan dari segi perpaduan parti dalam keadaan yang paling lemah.

"Ini berlaku kepada semua parti. Sehinggakan pernah kita saksikan Umno berpecah menjadi Semangat 46 dan Umno baru. Begitu juga kepada semua parti-parti yang lain," kata Dr Dzul kepada TV Selangor.

PKR dalam menjalankan Pemilihan 2010, berhadapan dengan pelbagai dugaan apabila berlakunya beberapa siri kekecohan di peringkat cabang, kemudian diikuti dengan pengunduran calon Timbalan Presiden PKR, Datuk Zaid Ibrahim pada pemilihan peringkat pusat, yang kemudiannya disusuli dengan pelbagai kontroversi di sebalik proses pemilihan.

Namun tidak kurang juga yang bertindak proaktif apabila mencadangkan beberapa resolusi penambahbaikan parti dilakukan apabila pelbagai isu dan kelemahan terus dibangkitkan oleh pihak tertentu yang kurang senang dengan pimpinan PKR.

Lantaran itu kata Dr Dzul, mana-mana parti juga tidak terkecuali dari berhadapan dengan situasi kritikal ini apatah lagi kepada PKR yang memperkenalkan sistem serba baru.

"Dalam hal ini DAP tidak kecuali begitu juga PAS. PKR pula sebagai sebuah parti yang muda dari sudut usia dan berkebetulan menggunakan kaedah baru dalam proses demokrasi dan pemilihan secara langsung untuk memilih pimpinan.

"Sementara usaha memperkenalkan sistem baru pemilihan secara langsung memang baik, tetapi mungkin kaedahnya itu belum pernah dilalui oleh mana-mana parti politik. Justeru mereka sedang mengalami apa yang dikatakan sebagai kaji uji yang pertama," tambah Dr Dzul lagi.

Menurut Dr Dzul, sistem pemilihan langsung yang sedang dijalankan PKR menuntut kepada kesabaran yang tinggi kerana ia kali pertama dilaksanakan.

Maka katanya tidak perlu mengharapkan semuanya berjalan lancar dan sempurna kerana setiap kritikan dan dakwaan adalah lumrah biasa dalam proses mematangkan parti.

"Seperti timbulnya dakwaan-dakwaan tentang salah laku dan sebagainya, saya lihat sebagai sesuatu yang berlaku kepada mana-mana parti politik.

"Jadi ia bukan suatu yang luar biasa," tambah Dr Dzul.

Mengulas tentang tindakan bekas Pengerusi PKR Wilayah Persekutuan, Datuk Zaid Ibrahim yang mencadangkan supaya pimpinan PAS termasuk dirinya menerajui tampuk pimpinan Pakatan Rakyat, ia tidak pernah terlintas di fikiran PAS katanya.

"Tidak ada pandangan PAS untuk mendominasi atau mengambil alih kepimpinan Pakatan sebab yang pentingnya dalam Pakatan kita hendak memperkasakan polisi-polisi bersama kami, memperkukuh dan memperutuhkan lagi kerjasama dan jentera Pakatan bagi mendepani cabaran PRU ke 13 nanti.

"Malah tidak ada yang merasa keluar dari bayangan Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim. Tidak perlu," katanya lagi.

Read more ...