RABAT: PAS menjangkakan Perdana
Menteri Datuk Seri Najib Razak akan mengumumkan pembubaran parlimen bagi
mengadakan Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13, selepas cuti Hari Raya
Aidilfitri akan datang.
Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul
Hadi Awang berkata, BN berkemungkinan menggunakan peluang itu kerana
pengundi luar akan sukar untuk pulang ke kampung dua kali berturut-turut
selepas baru sahaja menghabiskan cuti Aidilfitri mereka di kampung
halaman.
(Gambar
atas: Presiden PAS bersama wakil pimpinan gerakan Islam lain menyertai
muktamar ke 7 parti Keadilan Dan Pembangunan Maghribi.)
"Kita jangka BN akan menggunakan peluang mengadakan pilihan raya selepas cuti hari raya Aidilfitri ini.
"Sudah
tentu jika itu berlaku, pengundi akan berfikir banyak kali untuk pulang
sekali lagi ke kampung masing-masing selepas mereka baru sahaja balik
bercuti hari raya," katanya ketika ditemui Harakahdaily di Muktamar
Parti Islam Pembangunan dan Keadilan (PJD) Maghribi di sini semalam.
Beliau
berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Timbalan Perdana, Tan Sri
Muhyiddin Yassin yang membayangkan PRU-13 tidak akan diadakan tahun
depan dan menganggap tahun ini adalah masa yang terbaik.
Dalam kenyataannya kelmarin itu, Muhyiddin juga turut membayangkan ianya "mungkin beberapa bulan akan datang".
Mengulas
lanjut, Tuan Guru Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang berkata,
banyak faktor yang akan menjadi pertimbangan rakyat untuk pulang kali
kedua ke kampung termasuk soal kos yang terpaksa ditanggung dan cuti
yang terpaksa diambil mereka.
"Jika berlaku, kesannya akan lebih teruk lagi berbanding dengan kesan PRU musim haji," katanya.
Sehubungan
itu katanya, jika BN memanggil pilihan raya selepas cuti Aidilfitri,
ianya sekaligus akan menyusahkan rakyat khususnya yang berada di
perantauan.
Sebelum ini, PAS juga membantah keras jika PRU-13 kali
ini dibuat di musim haji kerana ianya bakal menafikan hak hampir 30,000
rakyat negara ini yang pergi mengerjakan haji di Mekah untuk mengundi.
Awal bulan lalu, Najib ada membayangkan PRU-13 hanya akan diadakan selepas genap tempoh lima tahun penggal ini.
Bagaimanapun
kenyataan terbaru dari Muhyiddin kelmarin seperti mengesahkan
desas-desus bahawa PRU-13 berkemungkinan diadakan September atau
penghujung tahun ini dan bukannya tahun hadapan.
(Gambar
bawah: Presiden PAS bersalaman dengan Perdana Menteri Maghribi yang
juga Ketua Parti Pembangunan dan Keadilan Islam (PJD), Abdelilah
Benkirane.)
Read more ...