Thursday, December 9, 2010

' Ubah Sekarang'

Kg Jalan Pokok Asam penang























GEORGETOWN, 10 Dis. : Pakatan Rakyat akan memperkenalkan slogan terbarunya, 'Ubah Sekarang!' yang akan dilancarkan pada konvensyennya di Seberang Perai, Pulau Pinang, minggu hadapan.

Penyelaras pentadbiran konvensyen, Mujahid Yusof Rawa berkata slogan itu membawa lima mesej penting kepada rakyat.

Ia termasuk matlamat Pakatan untuk menubuhkan kerajaan persekutuan yang bebas dari rasuah, telus dan mempunyai integriti.

"Kita mahu mendemokrasi dan membebaskan rakyat Malaysia dan membina persaudaraan di kalangan kumpulan berbeza bangsa kerana masyarakat kita sekarang ini tidak bersatu kerana ketegangan kaum dan agama,” kata Mujahid (atas, berbaju merah) kepada wartawan malam semalam.

"Namun, ini tidak bermakna kebebasan mutlak, kebebasan bermakna solidariti bukan anarki.”

Mujahid, yang juga ahli parlimen Parit Buntar berkata apabila Pakatan mengambil-alih kerajaan persekutuan, usaha mereka adalah bagi menambahkan pendapatan rakyat kepada RM4,000 sebulan dan masyrakat Melayu pastinya mendapat manfaat.

Gabungan yang ditubuhkan selepas pilihan raya 2008 itu juga menjanjikan keadilan dan sama rata dalam undang-undang serta gaji minimum untuk pekerja.

"Kenapa slogan 'Ubah Sekarang?' Jika kita tidak ubah seklarang, kita hadapi risiko belia kita akan menganggur, gejala rasuah terus berleluasa dan retaknya perpaduan kaum di kalangan rakyat pelbagai bangsa dan agama yang akan menjejaskan keseluruhan sistem,” katanya.

Konvensyen yang dijadualkan pada 19 Disember ini dijadual akan dihadiri oleh pemimpin utama Pakatan Rakyat.

MUFTI PERAK : AMALAN BERUNSUR KHURAFAT

Read more ...

Hampir separuh rakyat Malaysia percaya rasuah berleluasa

KUALA LUMPUR, 10 Dis. : Hampir separuh daripada rakyat di negara ini yang dibanci dalam kajian mengenai rasuah antarabangsa berpendapat gejala rasuah semakin berleluasa di negara ini.

Mengikut Barometer Antarabangsa Rasuah 2010 oleh Transparency International, 46 peratus percaya amalan rasuah tahun ini adalah lebih tinggi daripada tahun lalu manakala 19 peratus berpendapat ia telah berkurangan dan 35 peratus lagi pula berkata keadaan tidak berubah.

Namun daripada 1000 orang yang dibanci oleh agensi pasaran TNS Malaysia dalam wawancara secara langsung daripada 28 Jun hingga 26 Julai tahun ini, hanya 9 peratus atau 90 orang mengakui telah memberikan rasuah sepanjang 12 bulan lalu.

Mereka mendakwa telah memberi rasuah kepada anggota polis atau mereka yang bekerja di tempat pemprosesan permit, tanah, perubatan, jabatan pendidikan negari, perundangan dan kastam.

Ini meletakkan Malaysia di tangga ketujuh daripada 22 negara Asia Pasifik yang dikaji dengan Korea Selatan mendahului senarai itu - hanya dua peratus rakyatnya yang diwawancara mengakui pernah memberi rasuah sepanjang setahun lalu.

Sebahagian besar rakyat Malaysia berkata pasukan polis paling terjejas dengan gejala rasuah dan diikuti dengan parti politik, badan perundangan dan parlimen.

Mereka mencatatkan mata 4.1, 4.0 dan 3.4 masing-masing pada skala 1 hingga 5, dengan 5 sebagai yang paling terjejas akibat rasuah.

POLIS PALING TINGGI AMAL RASUAH

KUALA LUMPUR, 10 Dis . : Rakyat Malaysia melihat pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebagai entiti paling tinggi terlibat dalam amalan rasuah — mengatasi parti-parti politik, kakitangan awam lain, sektor perniagaan dan kehakiman — demikian menurut laporan Global Corruption Barometer 2010 dikeluarkan hari ini. Kajian dikendalikan oleh Transparency International (TI) Malaysia ini membabitkan 1,000 responden — berusia 16 tahun dan ke atas dengan 57 peratus daripada mereka adalah kalangan tinggal di kawasan bandar.


Kajian itu yang dijalankan Julai lalu merupakan laporan tahunan edisi yang ketujuh, kecuali bagi tahun 2008.

Datuk Paul Low, Presiden TI Malaysia berkata, penemuaan itu adalah sesuatu yang luar biaasa berbanding kajian-kajian yang dijalankan di banyak negara lain, di mana parti politik berada di atas sekali dan disusuli oleh perkhidmatan awam dan bidang kehakiman.

Bagaimanapun katanya, peratusan membabitkan kes-kes rasuah kecil-kecilan mengalami penurunan.

Katanya, persepsi mengenai amalan rasuah besar mengalami peningkatan.


MUFTI PERAK : AMALAN BERUNSUR KHURAFAT


Read more ...

Saman kena peluru sesat polis













KUALA LUMPUR, 10 Dis. : Seorang pemandu teksi yang mendakwa terkena tembakan peluru sesat daripada seorang anggota polis menuntut pampasan berhubung keperitan yang dialaminya.

Yeow Leong Kang, 41, berkata kejadian berlaku pada 23 September lalu ketika beliau berehat di dalam teksinya di Jalan Pudu.

Beberapa saat sebelum terlena, katanya, beliau dikejutkan oleh bunyi letupan yang kuat seperti bunyi mercun. Tiba-tiba dakwanya beliau terasa sejuk dan kebas dan menyedari darah memancut dari kakinya.

Peluru dikatakan telah menembusi pintu kereta bahagian pemandu dan mengenai kaki kanannya manakala serpihan peluru mencederakan kaki kirinya.

Dalam laporan polis, Yeow berkata seorang anggota polis kemudian menghampirinya dan mengarahkannya supaya tidak bergerak dan memaklum kepadanya bahawa ambulan dalam perjalanan.

Di hospital kemudian, seorang lagi anggota polis menghampiriya dan mengakui bahawa dia adalah penembak itu dan memohon maaf berulang-kali.

Anggota polis itu kemudian menjelaskan kepadanya bahawa mereka sedang mengejar kenderaan lain dan Yeow terkena peluru sesat.

Yeow dibenarkan keluar dari hospital dua hari selepas itu tetapi terpaksa terlantar di rumah pangsanya di Cheras. Sepanjang dua minggu berkenaan, anggota polis yang menembaknya menghantar makanan ke rumah pangsanya.

“Tetapi saya tak boleh kerja untuk dua bulan. Saya tak boleh berjalan. Saya terpaksa ambil 10 minit untuk bergerak dari bilik ke tandas di rumah saya,” kata Yeow kepada pemberita selepas membuat laporan polis hari ini.

Beliau diiringi tiga ahli parlimen Pakatan Rakyat hari ini dan berkata dia hanya membuat laporan polis hari ini selepas kejadian dua bulan berlalu kerana hanya mampu berjalan semula dengan betul jumaat lalu, apabila dia kembali bekerja.-Malaysiakini

MUFTI PERAK : AMALAN BERUNSUR KHURAFAT

Read more ...

Khir Toyo korban untuk PRU 13 sebelum dibersihkan

https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEj04vw7JW8ZjS9zJ6veqvniq66TaJ0vlPAotkEMKBzjHHtkr7etXCQHJVnIl2m_HHrwFF3Tp01Eh3BEVpOfdiFuPycROvc6ogP1WGKfjQrryXJtjp0aPlQFNd6SCRPIZHvXnB-K3BK2f1Ft/s400/Gambar+1,+2nd+(Mohd+Firdaus+Jaafar).JPG

JERAI, 10 Dis. : Pendakwaan terhadap bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr Mohamed KhirToyo merupakan agenda terancang Barisan Nasional (BN) bagi mencapai aspirasi mereka untuk menang menjelang pilihan raya umum ke-13 yang akan datang, dakwa Pengarah Pilihanraya Pemuda PAS Pusat, Mohd Firdaus Jaafar.

Mohd Firdaus yang juga Ahli Parlimen Jerai berkata, Khir menjadi mangsa politik BN yang terpaksa dikorbankan menjelang pilihan raya yang akan datang.

"BN cuba pamerkan imej bersih mereka dengan mengorbankan Ketua Pembangkang dalam Dun Selangor. Melalui cara ini BN mahu buktikan kepada rakyat mereka seolah-olah telus dalam membasmi rasuah dan penyelewengan," katanya.

Justeru beliau mengingatkan rakyat supaya tidak tertipu dengan sendiwara ini dan menggesa menolak BN dalam pilihan raya akan datang untuk memastikan perubahan lebik baik berlaku dalam negara.

Katanya, BN tidak mampu menyelesaikan masalah rasuah kerana mereka telah bergelumang terlalu lama dengan penyelewengan yang melibatkan sebahagian besar dari pemimpin mereka.

"Penyelewengan - penyelewengan yang berlaku sejak dahulu khususnya waktu Tun Mahathir menjadi Perdana Menteri tidak pernah pernah dibongkar dan diambil tindakan walaupun berpuluh - puluh aduan maupun laporan polis dibuat.

"Kes Khir Toyo ini langsung tidak menunjukkan mereka (BN) serius melakukan perubahan, ini hanya kes terpilih sama seperti beberapa kes sebelum ini yang disendiwarakan untuk tujuan politik," ujar beliau mengulas isu Khir Toyo dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Shah Alam atas tuduhan rasuah.

Khir Toyo, didakwa berhubung pemilikan dua lot tanah dan sebuah rumah mewah di Seksyen 7, Shah Alam.

Beliau didakwa telah mendapatkan untuk dirinya dan isteri Datin Seri Zahrah Kechik, 45, suatu barang berharga dengan suatu balasan yang beliau ketahui tidak mencukupi iaitu dua lot tanah dan sebuah rumah yang terletak di alamat no 8 & 10, Jalan Suasa 7/1 L, Shah Alam, daripada Ditamas Sdn Bhd melalui pengarah Ditamas, Shamsuddin Hayroni, dengan harga RM3.5 juta, sedangkan hartanah itu telah dibeli oleh Ditamas pada 23 Disember 2004 dengan harga RM6.5 juta.

Khir Toyo didakwa melakukan kesalahan itu di kediaman rasmi menteri besar Selangor, di Jalan Permata 7/1, Seksyen 7, Shah Alam, pada 29 Mei 2007.

Bagaiamanapun beliau dan pengarah Ditamas Sdn Bhd, Shamsuddin Haryoni yang turut didakwa tidak mengaku bersalah terhadap tuduhan tersebut yang dibaca di hadapan Hakim Azhaniz Teh Azman Teh hari ini.

Shamsuddin didakwa di bawah akta yang sama serta satu tuduhan tambahan di bawah Seksyen 109 Kanun Keseksaan kerana bersubahat dengan Khir Toyo.

Dipihak Pakatan Rakyat khususnya, pendakwaan terhadap Khir Toyo masih dilihat sebagai usaha Umno dan BN memulihkan imejnya menjelang saat-saat pilihan raya umum yang dijangka hanya tinggal beberapa bulan lagi.

Pendakwaan terhadap Khir Toyo disifatkan sama dengan pendakwaan terhadap Eric Chia dan Kasitah Gaddam yang pernah diwar-warkan sebagai kes berprofil tinggi untuk menunjukkan kesungguhan kerajaan menentang rasuah ketika diawal pentadbiran Tun Abdullah Ahmad Badawi sebagai Perdana Menteri.

Dalam kes Pengarah Urusan Perwaja Steel Sdn Bhd, Eric Chia yang dikatakan skandal penggunaan wang rakyat terbesar yang pernah dibicarakan iaitu melibatkan RM76.4 juta, berakhir dengan keputusan mengejutkan rakyat apabila mahkamah membebaskan beliau.

Timbalan Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang, Rosidi Hussain yangt turut mengulas perkembagan kes Khir Toyo berkata, strategi politik BN sudah boleh dibaca iaitu menjadikan satu atau dua jerung besar sebagai mangsa menjelang pilihan raya.

"Walau bagaimana pun rentak tari BN, rakyat tidak akan mudah terpedaya. Yang jelas Umno dan BN semakin terdesak untuk mengekalkan kuasa pemerintahan dalam negeri dan juga negara.

"Pakatan Rakyat (PR) optimis, kekuatan yang terhad dimiliki oleh Umno dan BN itulah yang memaksa mereka bertindak sedemikian terhadap Khir. Bagi Umno dan BN siapa yang menjadi mangsa tidak menjadi keutamaan mereka. Kemenangan dengan apa jua cara sepertimana yang mereka lakukan di Perak adalah agenda utama, " katanya.

MUFTI PERAK : AMALAN BERUNSUR KHURAFAT

Read more ...

Azman Masri dilantik Ahli Jawatankuasa DAP Selangor




















PETALING JAYA, 10 Dis: DAP Selangor telah melantik lima anggota baru kedalam Jawatankuasa Negeri termasuk seorang Melayu, Azman Masri, namun Exco kerajaan negeri, Ronnie Liu tertinggal dalam senarai pimpinan negeri kali ini.

Menurut Ean Yong Hian Wah (gambar), Setiausaha DAP Selangor yang baru dilantik, kelima-lima mereka dilantik dalam mesyuarat pertama jawatankuasa itu semalam, setelah mereka dipilih dalam konvensyen negeri sebelum ini.

Mesyuarat itu diadakan buat pertama kali selepas kesemua mereka dipilih oleh konvensyen DAP Selangor yang adakan sebelum ini.

Lima ahli yang dilantik adalah Azman Masri (ahli majlis Majlis Daerah Sabak Bernam (MDSB), Ganabatirau Veraman (peguam, aktivis dan ahli majlis Majlis Bandaraya Shah Alam dan bekas tahanan ISA), Lee Kee Hiong (ahli majllis Majlis Perbandaran Kajang), Ang Leng Kiat (ahli majlis Majlis Bandaraya Shah Alam) dan Lwi Kian Keong (ahli majlis Majlis Perbandaran Sepang).

Barisan penuh DAP Selangor adalah Teresa Kok (pengerusi), Tony Pua (Timbalan Pengerusi), Teng Chang Khim dan Charles Santiago (Naib Pengerusi), Ean Yong Hian Wah (Setiausaha) Ng Suee Lim (timbalan Setiausaha), Hannah Yeoh (Bendahari), Lau Weng San (Setiausaha Program), Teo Nie Ching (Penolong Setiausaha Program), Jenice Lee (Setiuasaha Publisiti), Lim Soon Hong (Penolong Setiausaha Publisiti), Tiew Way Keng (Pengarah Pendidikan Politik).

Ahli-ahli adalah Gobind Singh Deo, S.Ramakrishnan, T.Kannan, Azman Masri, Ganabatirau Veraman, Lee Kee Hiong, Ang Leng Kiat dan Lwi Kian Keong.

DAP Selangor juga telah menubuhkan tiga biro iaitu undang-undang yang diketuai oleh Ganatirau Veraman, Buruh dan NGO (Chandra Mohan) dan Kemiskinan Bandar dan Pekerja Ladang (S Ramakrishnan)

Mereka juga memutuskan untuk turun menemui ahli di peringkat akar umbi bagi memperkemaskan DAP mulai awal tahun depan.

"Langkah ini juga dibuat untuk mempersiapkan parti menjelang pilihan raya umum akan datang," kata Ean Yong.

MUFTI PERAK : AMALAN BERUNSUR KHURAFAT

Read more ...

APCO uruskan Najib, Rosmah dan Zahid ke AS











KUALA LUMPUR, 10 Dis: Blogger kontroversi Raja Petra Kamaruddin mendedahkan bahawa syarikat perunding imej kerajaan, APCO Worldwide telah terlibat penuh dalam penyusunan jadual lawatan untuk Perdana Menteri, isterinya dan Menteri Pertahanan ke Amerika Syarikat (AS) awal tahun ini.

Dalam satu dokumen yang merupakan pendedahan wajib kepada Jabatan Kehakiman AS, Petra telah mendedahkan bahawa APCO telah dipertanggungjawabkan untuk mengatur program mereka.

APCO yang berpusat di Washington, Amerika Syarikat dilantik sebagai perunding citra kerajaan pada Julai tahun lepas, untuk memberikan nasihat tentang konsep 1Malaysia diilhamkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Pada tahun ini, APCO menerima tamparan hebat kerana diheret dalam pertarungan politik negara apabila Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendedahkan bahawa lembaga pengarah syarikat tersebut dianggotai oleh beberapa kerat pemimpin Israel di Parlimen. Syarikat juga didakwa pernah melakukan kempen "One Israel" untuk Tel Aviv sebelum ini.

Ekoran pendedahan itu, Anwar dikatakan akan digantung selama enam bulan dari Dewan Rakyat. Para pemimpin PAS juga telah menghantar memorandum kepada Majlis Raja-raja bagi membantah penglibatan APCO ini.

Ogos lepas, ahli parlimen Indera Mahkota, Azan Ismail turut mendedahkan bahawa Malaysia menjadi pelanggan negara terbesar APCO, dengan bayaran RM 77 juta setahun.

Berdasarkan dokumen yang diledakkan oleh Petra, APCO mendakwa bahawa mereka terlibat dengan penggambaran dan rakaman video program Datin Seri Rosmah Mansor, yang disebut sebagai ‘Wanita Pertama’ di AS untuk kegunaan kerajaan Malaysia.

Syarikat tersebut juga mendakwa bahawa mereka terlibat penuh dalam membantu dalam merancang rundingan pakar-pakar pemikir dan majlis makan malam yang dipengerusikan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Zahid Hamidi.

Dalam dokumen itu juga turut didedahkan bahawa semasa lawatan Najib ke AS September lepas, APCO telah memainkan peranan penting dalam mengatur pertemuan Perdana Menteri dengan pelbagai wakil akhbar, lembaga-lembaga akademik, kerajaan AS dan organisasi dasar, serta pelbagai pertemuan dengan media.

“Selama kunjungan Perdana Menteri Najib ke Amerika Syarikat pada akhir September 2010, pendaftar (APCO) memberikan sokongan logistik untuk pertemuan dan wawancara antara Perdana Menteri bersama editorial New York Times, wakil-wakil dari CNN, Wall Street Journal dan Dewan Hubungan Luar Negeri.

"Pendaftar juga menghadiri ceramah Perdana Menteri di Dewan Hubungan Luar Negeri pada September 28, 2010,” tambah surat pendedahan itu.

MUFTI PERAK : AMALAN BERUNSUR KHURAFAT

Read more ...

Seniman dan budayawan beri sokongan pada Kampung Baru

KUALA LUMPUR, 10 Dis. : Setelah mengisytiharkan tujuh kampung tradisional sebagai Kampung Warisan yang dimasukkan dalam Draf KL 2020, Madrasah Tarbiah Kampung Bandar Dalam menjadi lokasi himpunan sekumpulan seniman dan budayawan prihatin berkumpul menyatakan sokongan.

Penduduk Kampung Sungai Mulia, Kampung Merali, Kampung Padang Balang, Kampung Bandar Dalam, Kampung Puah, Kampung Puah Seberang dan Kampung Chubadak gembira menyaksikan himpunan seumpama itu.

(Gambar kanan: Antara seniman, budayawan dan tokoh masyarakat yang turut hadir sebagai sokong kepada perjuangan penduduk setempat.)


Draf KL 2020 itu mendapat tentangan hebat dari penduduk kampung yang rata-rata merupakan pewaris turun temurun dari nenek moyang dan ibu bapa mereka yang datang dari Indonesia sekitar tahun 1830-an dahulu termasuk menerokai Kuala Lumpur.

Antara seniman dan budayawan yang hadir adalah Seniman Negara, Datuk (Dr) A Samad Said, Sasterawan Rakyat, Azizi Haji Abdullah, Presiden Teras, Haji Mohd Azmi Abdul Hamid, Presiden MTUC, Syed Shahir Mohamad selain Presiden Budayawan Bertindak, (Dr) Dinsman, Penyair, Prof Dr Siti Zainon Ismail dan Ketua Kampung, Cikgu Ishak Surin.

Majlis yang berlangsung kelmarin itu bermula sejak petang hari hingga ke jam 11 malam. Berbagai acara seperti lagu puisi, deklamasi sajak dan pentomen turut dipersembahkan mengiringi ucapan dari tokoh yang hadir.

Datuk A Samad Said dalam ucapannya sebelum membacakan sajak Jikanya berkata, sangat malang jika kuasawan berbelang niagawan yang melihat semua kampung sebagai kantung mereka.

(Kiri: Nyanyian lagu puisi oleh Rahmat Haroun menyemarakkan suasana himpunan malam itu.)


Menurut salah seorang AJK Penganjur, penyair Pyan Habib, himpunan ini adalah perihal tujuh kampung tradisi di pinggir Kuala Lumpur, bersempadan dengan Daerah Gombak, Selangor yang terlibat dengan Pelan Struktur Kuala Lumpur 2020 atau juga disebut Draf KL 2020.

“Apabila beberapa buah Kampung Melayu (terakhir) yang masih wujud dalam sekitaran kota metropolitan Kuala Lumpur ini hendak dihapus dan dipadamkan daripada peta tamadun kebanggaan kita - apakah kita sebagai manusia tidak tersentuh apa-apa?” soalnya.

Sebuah buku bertajuk Kampung Warisan Antologi Sajak 56 Penyair telah diusahakan penerbitannya sebagai tanda bertulis sokongan seniman dan budayawan terhadap perjuangan suci penduduk tujuh kampung pertahankan tanah pusaka berharga mereka.

Pada malam itu, peluncuran antologi itu telah disempurnakan oleh Syed Shahir yang turut berucap selepas ucapan Cikgu Ishak yang bersemangat dengan fakta sejarah yang tidak boleh dipertikainkan lagi.

Cikgu Ishak, lulusan Maktab Perguruan Sultan Idris (MPSI), Tanjung Malim, Perak merupakan salah seorang pejuang kemerdekaan negara yang masih ada dan sering menjadi rujukan mereka yang memerlukan info sejarah yang benar dan tulin.

Menurutnya, keluarga mereka tinggal di tujuh kampung itu sejak sebelum negara merdeka hinggalah ke hari ini namun tidak pernah sekali pun, pihak berwajib datang untuk berbincang bagaimana hendak dibangunkan semua tujuh kampung warisan itu.

(Gambar sebelah: Budayawan, pelukis dan penulis, Prof Dr Siti Zainon Ismail sedang diwawancarai ketika sedang melukis.)


“Kerana itu, kami telah sepakat dan bermuafakat akan tetap dan terus mempertahankan kampung kami ini dari diambil atau dilupusmilik oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

“Anak-anak muda kami di sini juga bersepakat memasang bendera berwarna hitam sebagai tanda perjuangan berkobar pertahankan hak kami dari dirampas,” tegasnya disambut dengan laungan Allahu Akbar dan tepukan bergemuruh.

Sementara itu, Prof Dr Siti Zainon pula berkata, jika Kerajaan Negeri Selangor telah berjaya menghantar memorandum Kembalikan Hak Air kepada rakyat negeri itupada 5 Disember lalu kepada Istana Negara, tidak lama lagi memo dari Kampung Warisan ini juga akan dihantar ke Parlimen untuk tujuan menarik perhatian pihak berkenaan.

MUFTI PERAK : AMALAN BERUNSUR KHURAFAT


Read more ...

Mahasiswa buat pra demo sebelum demo besar

petrol price hike protest kg baru sogo 130608 raja laut crowd
















KUALA LUMPUR, 10 Dis. : Tidak kurang 200 mahasiswa dari beberapa universiti sekitar Lembah Klang akan mengadakan perhimpunan aman di Masjid Putrajaya bagi membantah kenaikan harga bahan api dan gula selepas solat Jumaat hari ini.

Jurucakap kumpulan mahasiswa itu, Ahmad Syukri Kamarudin berkata semua mahasiswa diminta untuk berpakaian hitam sebagai tema bantahan mereka terhadap kenaikan 4 dalam 1, minggu lalu.

Katanya antara mahasiswa yang akan terbabit dengan bantahan hari ini adalah dari Universiti Malaya (UM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan Kolej Universiti Islam Selangor (KUIS).

Menurut Ahmad Syukri, selain berhimpun, beberapa pemimpin pelajar akan menyampaikan ucapan sebelum mereka berarak untuk menyampaikan memorandum bantahan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

"Kemudian empat orang pelajar akan bertemu dengan wakil perdana menteri untuk menyerahkan memorandum itu. Wakil perdana menteri sedia menerimanya," katanya ketika dihubungi Malaysiakini pagi ini.

Mahasiswa berbaju hitam itu juga akan membawa beberapa kain rentang dan poster bantahan berhubung kenaikan bahan api dan makanan itu.

Minggu lalu, kerajaan mengumumkan kenaikkan harga petrol RON95 sebanyak 5 sen menjadi RM1.90, diesel naik 5 sen menjadi RM1.80 sen, gas pula naik 5 sen menjadi RM1.90 sen sekilogram dan gula juga naik 20sen menjadi RM2.10 sen. Semua kenaikan itu dibuat di sebalik jaminan kerajaan bahawa tiada kenaikan harga untuk tahun ini.

MUFTI PERAK : AMALAN BERUNSUR KHURAFAT

Read more ...

Unsur perkauman ketara selepas Konvensyen BN





















KUALA LUMPUR, 10 Dis. : Konvensyen Barisan Nasional yang diadakan hujung minggu lalu dikemukakan dalam media propemerintah sebagai satu kejayaan, melibatkan perpaduan dan kesediaan gabungan parti pemerintah itu berhadapan dengan Pilihan Raya Umum ke-13 nanti.

Walau bagaimanapun, di sebalik imej kesatuan yang diuar-uarkan dengan slogan 1 Malaysia dan piagam baharu yang membawa prinsip lebih inklusif, realiti melibatkan parti-parti komponen utama BN sendiri mendedahkan imej perpaduan itu agak jauh daripada yang sebenarnya terlaksana.

Kebelakangan ini, BN berhadapan isu-isu berbaur perkauman yang tidak putus-putus, mengundang perdebatan terbuka melibatkan pemimpin-pemimpin parti komponen.

Kenyataan Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berhubung kurangnya penyertaan kaum bukan Melayu dalam angkatan tentera mencetuskan rasa tidak senang yang mendalam pada parti-parti komponen bukan Melayu.

Sehingga minggu ini, berdasarkan kenyataan susulan yang dibuat Zahid, isu ini kelihatan masih jauh daripada penyelesaian, malah mungkin akan terus menjadi api dalam sekam bagi BN.

Belum pun reda kontroversi kenyataan Zahid, konvensyen BN digegarkan dengan kenyataan presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek yang mengecam tindakan Umno bertindak sebagai “big brother” dalam BN.

Kenyataan keras pemimpin parti Cina terbesar dalam BN itu terus mengundang reaksi marah pemimpin-pemimpin Umno.

Seorang ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi menulis dalam akhbar pro-Umno Utusan Malaysia membidas kenyataan Chua itu, yang didakwa cuba menjadi juara dalam parti dengan menunjukkan keberanian.

Kemudian, naib presiden Umno, Datuk Seri Hishammuddin Hussein turut mengambil peluang mengulas kenyataan Chua itu dengan mengatakan ramai pemimpin Umno mencetuskan kemarahan ramai pemimpin Umno.

Hari ini, MCA membalas serangan Umno itu, apabila timbalan ketua publisitinya Loh Seng Kok dilapor berkata apa yang disebut Chua itu ialah sesuatu yang dirasakan oleh ramai pihak, dan menggesa Hishammuddin dan Puad terbuka menerima kritikan daripada orang ramai.

Malah, dalam kalangan Umno sendiri, kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz yang menyatakan penyanyi Namewee tidak melanggar undang-undang melalui lagu dan video muzik perkauman yang dihasilkan.

Nazri mencetuskan kemarahan ahli Umno yang melihat kerajaan pimpinan Najib takut atau tidak mahu bertindak terhadap individu kontroversi itu kerana menjaga hati kaum bukan Melayu demi memenangi kembali undi mereka.

Bagi ramai ahli dan penyokong Umno, yang sebahagian daripada mereka menzahirkan sentimen di blog, sensitiviti Melayu diabaikan akibat usaha memenangi hati pengundi bukan Melayu yang mereka anggap berlebihan.

Parti-parti komponen bukan Melayu juga masih tidak berpuas hati dengan keahlian terbuka BN yang diluluskan beberapa minggu lalu.

Komponen seperti Parti Gerakan mahu keahlian terus BN yang menjadikan semua ahli sama-rata dan Umno tidak lagi mendominasi.

Malah parti itu pergi jauh ke hadapan lagi apabila mencadangkan BN wujud sebagai satu parti tunggal, tindakan yang dilihat lebih berkesan menjadikan semua ahli sama-rata.

Keahlian terbuka yang diluluskan masih mengekalkan status quo kuasa Umno, dan juga parti-parti komponen. Tetapi berdasarkan realiti berasaskan kawasan pilihan raya, dominasi Umno masih kekal selepas pembukaan keahlian itu.

Tuntutan parti-parti komponen untuk mendesak slogan 1 Malaysia ditafsir dan dilaksana menurut tafsiran yang lebih liberal itu akan sentiasa wujud dan ditimbulkan dari masa ke masa.
Bagi MIC, yang bertukar pemimpin tertinggi baru-baru ini, sentimen terpinggir kelihatan masih dirasakan, ekoran kegagalan komponen itu menunjukkan prestasi yang baik dalam Pilihan Raya Umum ke-12.

Kes-kes ini hanyalah peristiwa terbaharu melibatkan pergeseran dalaman parti-parti komponen BN, ketika Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Abdul Razak bersusah-payah berkempen untuk gagasan 1Malaysia diterima semua komponen.

Keadaan BN yang sukar ini boleh menjadi sesuatu yang positif kepada Pakatan Rakyat, ketika semua sedang berteka-teki tentang pilihan raya akan datang.

Tindakan Pakatan seterusnya, yang satu tanda pentingnya ialah konvensyen kedua di Pulau Pinang nanti, akan menentukan sejauh mana pergeseran dalam BN itu akan memberi manfaat kepada Pakatan.

MUFTI PERAK : AMALAN BERUNSUR KHURAFAT


Read more ...

LHDN kena siasat Khir Toyo












SHAH ALAM, 10 Dis.: Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) diminta menyiasat bekas menteri besar Selangor kerana dakwaan yang dikenakan ke atas Datuk Seri Dr. Mohd Khir Toyo tidak menggambarkan keseluruhan kesalahan yang telah dilakukan mantan Menteri Besar Selangor itu lapor portal Harakahdaily.net.

Ia juga tidak memperlihatkan kesungguhan kerajaan dalam menangani penyakit utama negara yakni rasuah. Jauh sekali membersihkan kekotoran yang terpalit dan sebati pada Umno.

Demikian kata Setiausaha Politik MB Selangor, Faekah Husin dalam satu kenyataannya semalam.

Langkah ini perlu, apatah lagi kesalahan Dr Khir bukan semudah yang digambarkan, kata beliau dalam kenyataannya itu.

Pada 6 Disember lalu, Khir Toyo, 45, didakwa berhubung pemilikan dua lot tanah dan sebuah rumah mewah di Seksyen 7, Shah Alam.

Beliau didakwa telah mendapatkan untuk dirinya dan isteri Datin Seri Zahrah Kechik, 45, suatu barang berharga dengan suatu balasan yang beliau ketahui tidak mencukupi iaitu dua lot tanah dan sebuah rumah yang terletak di alamat no 8 & 10, Jalan Suasa 7/1 L, Shah Alam, daripada Ditamas Sdn Bhd melalui pengarah Ditamas, Shamsuddin Hayroni, dengan harga RM3.5 juta, sedangkan hartanah itu telah dibeli oleh Ditamas pada 23 Disember 2004 dengan harga RM6.5 juta.

Dr Khir didakwa melakukan kesalahan itu di kediaman rasmi menteri besar Selangor, di Jalan Permata 7/1, Seksyen 7, Shah Alam, pada 29 Mei 2007.

Adun Sungai Panjang merangkap Ketua Pembangkang DUN Selangor itu didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Menurut Faekah, siasatan perlu dilakukan samada cukai hartanah dikenakan mengikut nilai sebenar lot tanah tersebut memandangkan Dr Khir dengan sengaja memberikan taksiran palsu bagi mengelak dari membayar cukai.

Begitu juga dengan bayaran duti setem. Perkara ini tidak boleh dipandang remeh kerana perbuatan mengelak dari membayar cukai dengan melakukan 'under declare' adalah satu kesalahan yang serius.

Rakyat, katanya, merasakan pendakwaan terhadap Mohd Khir ke mahkamah semata-mata sandiwara politik yang sering dimainkan Umno dan Barisan Nasional bagi menutup salahguna kuasa yang lain.

"Pendakwaan ini lebih kepada memberi laluan mudah bagi pimpinan UMNO untuk melantik Pengerusi Negeri yang baru," dakwa beliau.

Ia juga, katanya, satu helah untuk Umno Selangor menonjolkan imej bersih dengan mengganti pemimpinnya yang sudah hilang kredibiliti.

"Ingin ditegaskan, rakyat sebenarnya tidak peduli dengan sandiwara politik ini. Bagi rakyat, apa yang lebih penting ialah tindakan yang diambil pihak berkuasa terhadap pemimpin-pemimpin Umno dan Barisan Nasional (BN) yang mengamalkan rasuah dan sejauh mana kesungguhan UMNO menangani masalah rasuah," tambah beliau.

Rakyat, katanya, tetap akan menghukum mereka kerana selama 50 tahun, pemimpin-pemimpin Umno bukan saja mengamalkan rasuah malah gagal mentadbir Negeri Selangor secara bijak, cuai dan tidak telus.

Puluhan projek pembangunan yang diluluskan tidak mengikut garis panduan yang ditetapkan. Akibatnya ia hanya menguntungkan syarikat kroni dan projek pula terbengkalai begitu sahaja. Ribuan pembeli rumah di projek Bukit Botak tertipu dan ramai pula menjadi bankrup, tambah beliau.

Projek Alam Perdana pula, kata Faekah, yang melibatkan hartanah seluas lebih 7,000 ekar juga terbengkalai; puluhan ribu pembeli rumah menggigit jari sehingga ke hari ini.
Hutang Talam sebanyak RM391 juta adalah satu lagi contoh nyata kegagalan pentadbiran UMNO-BN. Ribuan ekar tanah telah diagih-agih sesama mereka, baik dalam bentuk pembangunan mahupun sebagai peneroka felda hatta Projek Revolusi Hijau.

"Mendakwa Dr Khir tidak bermakna mereka kini sedang di dalam proses pemutihan dan pemimpin yang bakal dipilih menerajui Umno Selangor harus diberikan peluang. Pilihlah sesiapapun, rakyat Selangor telah membuat keputusan," tambah beliau.

Dosa dan perbuatan rasuah mereka, katanya, terbongkar selepas Selangor diambil alih Kerajaan Pakatan Rakyat yang kini berhempas pulas membersihkan sampah sarap yang ditinggalkan.

"Memang sukar namun hampir separuh masalah tersebut telah berjaya diselesaikan walaupun baru bertapak di Selangor kurang dari 3 tahun. Kesilapan yang dilakukan oleh Umno dan BN tidak akan diulangi oleh Kerajaan Pakatan Rakyat kerana kami tidak akan sesekali memandang rendah kebijaksanaan rakyat membuat penilaian dan pilihan," tegasnya.

MUFTI PERAK : AMALAN BERUNSUR KHURAFAT

Read more ...

Exco Umno : ‘Apa boleh buat kerana kawasan balak terletak di kawasan Orang Asli’

IPOH, 10 Dis. : Dewan Pemuda PAS Negeri Perak (DPPN Pk) melihat penjelasan Datuk Sharaani Mohamad, EXCO Kerajaan Negeri Perak yang melepaskan tanggungjawab terhadap permasalahan Orang Asli dengan menggunakan ungkapan ‘apa boleh buat kerana kawasan balak terletak di kawasan Orang Asli’ yang menjawab persoalan berkaitan pembalakan di kawasan Orang Asli yang menjejaskan persekitaran mereka akibat pembalakan tersebut.

Naib Ketua Pemuda PAS Perak Salman Salleh berkata, Sepatutnya kerajaan negeri menggariskan peraturan khas untuk kawasan pembalakan yang berjauhan daripada kawasan Orang Asli.


" Sikap tidak bertanggungjawab tersebut seolah-olah tidak memberikan jaminan keselamatan kepada Orang Asli. Umno / Barisan Nasional (BN) juga seperti sanggup menggadai Perkampungan Orang Asli daripada memastikan keselamatan mereka terjamin" katanya

Salman berkata, DPPN Pk meminta kerajaan negeri mewartakan Perkampungan Orang Asli demi memastikan persekitaran mereka terjamin dan bagi mengelakkan bencana alam akibat daripada pembalakan tersebut yang turut akan menjejaskan kawasan penempatan Orang Asli.


" DPPN Pk meminta agar Persatuan Orang Asli membuat bantahan dengan sikap lepas tangan kerajaan negeri ini" katanya

Menurutnya, DPPN Pk berharap pemeliharaan kawasan Orang Asli diberikan jaminan agar isu pembalakan di kawasan Orang Asli dihentikan segera. DPPN Pk yakin masyarakat Orang Asli memerlukan persekitaran yang terjamin demi kehidupan masa depan mereka.
DPPPk

MUFTI PERAK : AMALAN BERUNSUR KHURAFAT

Read more ...

Hapuskan undi pos, bukan tambah

http://t3.gstatic.com/images?q=tbn:bQ3rZf2md5cNWM:http://i31.photobucket.com/albums/c368/paspb/Image037-3.jpg&biw=1280&bih=598

PARIT BUNTAR , 10 Dis. : Dewan Pemuda PAS Parit Buntar membantah cadangan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang mahu menjadikan golongan doktor, jururawat, juruterbang dan wartawan sebagai pengundi pos.

Pengarah Pilihan raya Pemuda PAS Parit Buntar, Adnan Abd Rahman berkata, sistem undi pos terhadap golongan profesional terbabit bakal menutup ruang demokrasi negara yang kian dipertikaikan rakyat.

Menurutnya, pihak tertentu akan mengambil kesempatan menerusi peruntukan undi pos itu khususnya dalam pilihan raya bagi mengekalkan kemenangan parti mereka.

“Apakah jaminan SPR agar ketelusan undi pos dapat dijalankan dengan baik memandangkan ada pengalaman anggota tentera yang tidak dapat mengundi pos semasa mereka bertugas, telah diundi oleh pihak atasan mereka,” katanya.

Adnan berkata, sistem undi pos telah lama dipertikaikan rakyat, malangnya kini ia ditambah, seolah-olah terdapat agenda di sebalik penambahan berkenaan.

“Tidak perlu ada lagi undi pos kerana pengundi ini boleh mengundi awal atau apa alasan sebenarnya masih diwujudkan undi pos itu.

“Sepatutnya undi pos dihapuskan kerana masih ada kaedah lain yang lebih telus dan demokratik,” katanya.

Katanya, beliau mempersoalkan keperluan SPR menjadikan golongan itu sebagai pengundi pos memandangkan suasana negara yang tidak mendesak sedemikian.

Sementara itu, Pengarah Majlis Tindakan Dewan Undangan Negeri Kuala Kurau, Abdul Bahrain Desa (gambar ) berkata, perkembangan terbaru mendedahkan bahawa SPR menukar status pengundi awam terhadap isteri anggota tentera dan polis kepada pengundi pos.

“Ada bukti isteri anggota ini tidak memohon untuk menukar status itu tetapi SPR bertindak menukar status berkenaan.

“Terbaru anak-anak polis juga diminta mendaftar untuk dijadikan pengundi pos,” katanya.

Bahrain berkata, tindakan SPR itu dilihat seolah-olah menyambung ‘talian hayat’ UMNO dalam usaha mendominasi pemerintahan dengan memperkemaskan undi pos.

“Perkara ini dilakukan setelah mereka gagal mengharapkan undi dari kaum Cina dan India.

“Sekarang mereka menggunakan tongkat dan ‘talian hayat’ yang masih ada kepada mereka iaitu undi pos,” katanya.

Katanya, Pakatan Rakyat telah mengingatkan berulang kali bahawa Malaysia sebuah negara yang merdeka, sepatutnya tiada lagi undi pos, bahkan dihapuskan terus.SH

MUFTI PERAK : AMALAN BERUNSUR KHURAFAT

Read more ...

Konvensyen PR siapkan PR hadapi PRU 13

















GEOGRETOWN, 10 Dis. : Pakatan Rakyat akan mengadakan konvensyen tahunan buat kali kedua pada 19 Disember nanti, di Butterworth, Pulau Pinang.


Gabungan yang ditubuhkan ketika kemenangan besar Pilihan Raya Umum ke-12 masih disambut pada 2008 kini telah berusia hampir tiga tahun.

Politik nasional kini sedang menyaksikan isu-isu kontroversi dalam PR timbul, yang sebahagian besarnya merupakan ujian menghadapi realiti politik sebagai satu aliansi dan kerajaan pemerintah negeri.

Umno dan Barisan Nasional menunjukkan kesatuan dan persediaan untuk menghadapi pilihan raya umum.

Pelbagai isu yang boleh membantu BN, daripada dakwaan terhadap bekas Menteri Besar Selangor Datuk Seri Dr Khir Toyo kepada pengunduran Datuk Seri S Samy Vellu, kini timbul dan disambut baik oleh media pro-BN.

Pada masa sama, satu kajian oleh penyelidik Universiti Malaya mendapati sokongan kepada Parti Keadilan Nasional dan kepercayaan terhadap kredibiliti Datuk Seri Anwar Ibrahim terjejas.

DAP di Perak, negeri kedua paling dikuasai parti itu, juga mengalami pergolakan antara faksi yang berprofil tinggi.

PAS yang menghadapi pemilihan kepimpinan paling sengit dua tahun lalu masih merasakan sentimen yang berpotensi menjejaskan perpaduan dan kesatuan parti.

Menjelang pilihan raya umum yang prestasi PR tidak dapat tidak akan diukur dan dibandingkan dengan Pilihan Raya Umum ke-12, konvensyen kali ini perlu mencapai sesuatu yang lebih konkrit.

Tempoh hampir tiga tahun sepatutnya telah menyediakan peluang yang luas untuk mengambil pelajaran dan memastikan pakatan yang dibina dengan nama rakyat itu terus mampu menyumbang untuk rakyat.Siasah

MUFTI PERAK : AMALAN BERUNSUR KHURAFAT


Read more ...

SPR terdesak untuk menangkan Umno

http://i296.photobucket.com/albums/mm173/warkah/blog/abdul-wahid-endut.jpg

KUALA TERENGGANU, 10 Dis. : Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) semakin terdesak apabila menyarankan supaya sistem undi pos diperkenalkan kepada golongan profesional terdiri dalam kalangan doktor, jururawat, juruterbang dan wartawan.

Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Mohd Abdul Wahid Endut berkata, sistem undi pos yang disarankan itu hanya mempergunakan golongan profesional bagi kepentingan peribadi.

“Sistem ini hanya mahu memberikan kemenangan kepada UMNO dan Barisan Nasional (BN) serta memperbodohkan golongan profesional.

“Sebenarnya sistem ini tidak perlu kerana ia tidak telus dan adil selain berpihak kepada satu pihak sahaja,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Menurutnya, alasan golongan profesional seperti yang disebutkan itu sibuk dan tidak berkesempatan keluar mengundi adalah tidak logik.

“Alasan golongan profesional tidak mempunyai masa keluar mengundi adalah tidak munasabah dan ia tidak pernah dipraktikkan di mana-mana negara sebelum ini.

“Tidak mustahillah UMNO dan BN banyak menang ketika pilihan raya disebabkan undi pos, undi Felda dan undi penduduk di kawasan pedalaman sebagaimana yang kita saksikan di Galas, Kelantan,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wakaf Mempelam berkata, sebelum ini sistem itu telah diperluaskan kepada orang awam yang tidak berkenaan.:

“Isteri tentera dan polis pun pernah diperkenalkan menggunakan sistem ini bagi memberikan kemenangan kepada mereka. Ini tidak adil, tidak wajar dan kita tidak boleh terus diperbodohkan dengan sistem ini,” katanya.

Terdahulu, SPR menyarankan sistem undi pos diperluaskan kepada golongan profesional seperti doktor, jururawat, juruterbang dan wartawan sebagai tambahan kepada sistem sedia ada.SH

MUFTI PERAK : AMALAN BERUNSUR KHURAFAT

Read more ...

Orang Asli tuntut Umno tunai janji

https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEgkZgz26rZkWk1DcBGrBQrKhWx5HjMDA5SB31awlwbYmMtd_k7QUodn236nGuk01yLkUhnS_3JUyub5o93DgVr-XbkwMmO3ZLJwgsdN8kdEdPKlM6pUwlPKZxfaH8veZelt2j9fUdWRhdA/s72-c/kati+senget.jpg

BATU CAVES, 10 Dis. : Penduduk orang asal di kawasan Ulu Yam di sini, masih menaruh harapan untuk mendapatkan kemudahan asas yang masih belum tertunai seperti yang dijanjikan Kerajaan Pusat UMNO sebelum ini.

Seorang penduduk, Ramli Daud 24, berkata, dia telah 14 tahun mendiami kawasan itu dan masih tiada perubahan yang dirancangkan seperti dijanjikan pihak berkenaan.

“Bekalan elektrik yang dijanjikan pihak UMNO, BN dan MIC yang datang ke kawasan ini masih tidak tertunai lagi,” katanya

Menurutnya, ketiadaan bekalan elektrik menyukarkan penduduk lebih-lebih lagi pada waktu malam dan mereka terpaksa mengharapkan cahaya lampu pelita.

Katanya, lebih malang lagi minyak tanah sukar untuk diperoleh sehingga mereka terpaksa keluar kawasan sejauh 13 kilometer untuk mendapatkan bekalan.

“Nasib baik bekalan air ada dengan menggunakan air bukit kalau tidak menjadi kesulitan pada kami di sini lebih-lebih lagi untuk menguruskan anak kecil,” katanya.

Sementara itu, Tok Batin kawasan itu, Mat Deli Moh melahirkan kekesalan dengan segala janji kosong yang diberikan pihak berkenaan.

Mat Deli mendakwa, Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (JHEOA) juga dikatakan tidak mengambil tindakan biarpun pertemuan diadakan melalui mesyuarat bersama kerajaan namun mereka hanya menyatakan hasrat berkenaan akan ditunaikan suatu hari nanti.

“Pelbagai janji yang mereka berikan untuk mengaburi mata kami warga asal di sini sehingga kami percaya.

“Mereka beritahu hasrat itu akan ditunaikan juga suatu hari nanti kerana kerja pemasangan elektrik sukar di kawasan ini,” katanya.

Menurutnya, kini telah 17 tahun berlalu namun penduduk di sini masih menanti kemudahan itu.

Selain itu katanya, infrastruktur juga tidak dinaiktarafkan sehingga jalan yang menjadi laluan utama kerap berlaku kemalangan.

Jumlah penduduk Orang Asli di kawasan itu adalah seramai 140 orang dengan 26 ahli keluarga yang menetap di sini. 23 ahli keluarga terdiri daripada beragama Islam dan tiga keluarga lagi masih tiada pegangan agama.

Selain itu, hanya enam yang bersekolah dan selainnya masih belum bersekolah kerana tidak mampu.SH

MUFTI PERAK : AMALAN BERUNSUR KHURAFAT

Read more ...

Khir Toyo buat taksiran palsu elak bayar cukai






















KUALA LUMPUR, 9 Dis. : Dakwaan rasuah yang melibatkan pembelian tanah lot banglo dikenakan terhadap Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo tidak mengambarkan keseluruhan kesalahan yang telah dilakukan mantan Menteri Besar Selangor itu.

Menurut Setiausaha Politik Menteri Besar Faekah Hussin , ia juga tidak memperlihatkan kesungguhan kerajaan dalam menangani penyakit utama negara yakni rasuah malah jauh sekali membersihkan kekotoran yang terpalit dan sebati pada Umno.

"Apatah lagi kesalahan Dr Khir bukan semudah yang digambarkan. Selain SPRM, kes ini juga melibatkan Lembaga Hasil Dalam Negeri. Siasatan perlu dilakukan samada cukai hartanah dikenakan mengikut nilai sebenar lot tanah tersebut memandangkan Dr Khir dengan sengaja memberikan taksiran palsu bagi mengelak dari membayar cukai.

"Begitu juga dengan bayaran duti setem. Perkara ini tidak boleh dipandang remeh kerana perbuatan mengelak dari membayar cukai dengan melakukan 'under declare' adalah satu kesalahan yang serius.

"Rakyat merasakan pendakwaan terhadap Mohd Khir ke mahkamah semata-mata sandiwara politik yang sering dimainkan Umno dan Barisan Nasional bagi menutup salahguna kuasa yang lain," kata Faekah dalam kenyataannya semalam.

Kata beliau pendakwaan ini lebih kepada memberi laluan mudah bagi pimpinan Umno untuk melantik Pengerusi Negeri yang baru.

Ia juga satu helah untuk Umno Selangor menonjolkan imej bersih dengan mengganti pemimpinnya yang sudah hilang kredibiliti.

"Ingin ditegaskan, rakyat sebenarnya tidak peduli dengan sandiwara politik ini. Bagi rakyat, apa yang lebih penting ialah tindakan yang diambil pihak berkuasa terhadap pemimpin-pemimpin Umno dan Barisan Nasional (BN) yang mengamalkan rasuah dan sejauh mana kesungguhan Umno menangani masalah rasuah.

"Rakyat tetap akan menghukum mereka kerana selama 50 tahun, pemimpin-pemimpin Umno bukan saja mengamalkan rasuah malah gagal mentadbir Negeri Selangor secara bijak, cuai dan tidak telus. Puluhan projek pembangunan yang diluluskan tidak mengikut garis panduan yang ditetapkan. Akibatnya ia hanya menguntungkan syarikat kroni dan projek pula terbengkalai begitu sahaja. Ribuan pembeli rumah di projek Bukit Botak tertipu dan ramai pula menjadi bankrup," tegas Faekah.

Tambahnya lagi antaranya adalah projek Alam Perdana yang melibatkan hartanah seluas lebih 7,000 ekar juga terbengkalai; puluhan ribu pembeli rumah menggigit jari sehingga ke hari ini.

Hutang Talam sebanyak RM391 juta adalah satu lagi contoh nyata kegagalan pentadbiran Umno-BN.

"Ribuan ekar tanah telah diagih-agih sesama mereka, baik dalam bentuk pembangunan mahupun sebagai peneroka felda hatta Projek Revolusi Hijau.

"Mendakwa Dr Khir tidak bermakna mereka kini sedang di dalam proses pemutihan dan pemimpin yang bakal dipilih menerajui UMNO Selangor harus diberikan peluang. Pilihlah sesiapapun, rakyat Selangor telah membuat keputusan.

"Dosa dan perbuatan rasuah mereka terbongkar selepas Selangor diambil alih Kerajaan Pakatan Rakyat yang kini berhempas pulas membersihkan sampah sarap yang ditinggalkan. Memang sukar namun hampir separuh masalah tersebut telah berjaya diselesaikan walaupun baru bertapak di Selangor kurang dari 3 tahun. Kesilapan yang dilakukan oleh Umno dan BN tidak akan diulangi oleh Kerajaan Pakatan Rakyat kerana kami tidak akan sesekali memandang rendah kebijaksanaan rakyat membuat penilaian dan pilihan," ujar beliau.


MUFTI PERAK : AMALAN BERUNSUR KHURAFAT



Read more ...