Selain mahu mempertahankan Putrajaya, Najib juga ghairah untuk merampas
Selangor daripada Pakatan Rakyat.
Antara sebab kenapa Selangor menjadi
sasaran sudah tentulah kerana negeri itu merupakan negeri yang paling
kaya dalam Malaysia.
Keghairahan Najib mahu menawan Selangor bukan saja
disandarkan kepada kesediaannya menjadi Pengerusi UMNO Selangor tetapi
juga melalui kekerapannya turun ke negeri itu.
Walaupun berasal dari Pahang tetapi Najib dilihat lebih kerap turun dan
mencurahkan wang yang banyak untuk Selangor berbanding negeri
kelahirannya sendiri.
Berjaya mempertahankan Putrajaya dan menawan
Selangor sekaligus adalah impian politik Najib dalam pilihanraya umum
ini.
Tetapi sebagaimana kata bekas Presiden MCA, Tun Ling Liong Sik, cabaran
Najib untuk menawan Selangor ialah imej kerajaan dan pimpinan negeri itu
yang diketuai oleh Khalid Ibrahim yang dilihat mempunyai imej lebih
baik, bersih dan telus berbanding UMNO dan BN.
Dalam masa yang sama imej UMNO Selangor tetap tidak menunjukkan
peningkatan kerana wajah-wajah pemimpin yang ada adalah wajah yang
langsung tidak meyakinkan rakyat seperti Noh Omar atau Zin Mohamed dan
lain-lain Ketua UMNO Bahagian. Wajah pemimpin muda dan pelapis yang
membanggakan langsung tidak ada dalam barisan kepimpinan UMNO Selangor
sekarang ini.
Bercakap soal kualiti kepimpinan di Selangor, bukan saja Ling Liong Sik
tetapi sebahagian besar penduduk Selangor sendiri tidak yakin UMNO mampu
merampas kembali negeri itu jika bersandarkan wajah pemimpin yang sedia
ada. Bahkan ramai pula yang tidak mahu memberikan UMNO kemenangan jika
wajah-wajah yang ada ini dikekalkan.
Dalam soal pemilihan calon pilihanraya di Selangor, Najib sendiri
memahami keadaan itu. Meletakkan calon-calon dari kalangan pemimpin UMNO
semata-mata mungkin akan menyebabkan kekalahan diketahui lebih awal
lagi.
Mahu tidak mahu, Najib terpaksa meletakkan calon yang dianggap
"winnable" dan bukan dari kalangan kepimpinan UMNO Bahagian bagi
merealisasikan hasratnya menawan negeri itu.
Bagi Najib mengetepikan sebahagian besar pemimpin UMNO dan
menggantikannya dengan calon "winnable" adalah jalan terbaik untuk
mencapai kemenangan serta lebih mudah untuk meyakinkan pengundi,
terutama pengundi muda dan atas pagar.
Lagi pula dalam setiap kali
kunjungan Najib ke Selangor, beliau sering menekankan faktor "winnable"
dan ikrar daripada pemimpin UMNO bahagian-bahagian bahawa mereka akan
akur dengan sesiapa saja calon yang dipilih oleh pucuk pimpinan juga
sudah pun diperolehi.
Malahan Tun Mahathir sendiri dalam perjumpaannya dengan jentera BN
Selangor turut menekankan betapa pentingnya mengutamakan parti melebihi
kepentingan peribadi. Kata Mahathir, kemenangan UMNO lebih penting dari
kemenangan peribadi.
Saranan Najib dan Mahathir itu pada asasnya adalah bagi memudahkan
calon-calon yang bermasalah atau mereka yang memegang jawatan dalam UMNO
tetapi tidak diyakini boleh menang, untuk diketepikan. Dari segi
politiknya, Najib sudah ada kebebasan untuk memilih calon tanpa terikat
dengan kehendak UMNO Bahagian-bahagian.
Oleh itu, difahamkan lebih daripada 50 peratus calon pilihan Najib untuk
mewakili UMNO di Selangor dalam piliharaya akan datang ini bukan
terdiri daripada kepimpinan UNMNO Bahagian. Sebahagian mereka yang
dipilih ialah kalangan pemimpin NGO, tokoh motivasi, tokoh pengguna dan
kalangan profesional yang terdiri daripada arkitek, jurutera, akauntan
dan pegawai bank.
Bagi kalangan profesional yang dipilih, mereka ini
tidak memegang jawatan yang penting dalam UMNO tetapi disenangi di
kalangan penduduk tempatan manakala bagi pemimpin NGO pula pemilihan
mereka lebih kepada kekerapan muncul di dada-dada media yang pada Najib
menunjukkan kesungguhan mereka membantu perjuangan politiknya.
Calon Menteri Besar pilihan Najib ialah Ezam Mohd Nor yang kini
merupakan seorang Senator dan penasihat Tibai, sebuah NGO yang
berperanan menghentam Anwar berkaitan isu-isu seks dan moral. Beliau
difahamkan akan diletakkan bertanding di DUN Sri Muda untuk berhadapan
dengan Ketua Penerangan PKR Selangor, Suhaimi Shafie.
FD Iskandar, Bendahari UMNO Selangor dan Rozali Ismail, pemilik Puncak
Niaga yang sebelum ini turut disebut-sebut sebagai bakal Menteri Besar
jika UMNO kembali berkuasa, didapati tiada dalam senarai calon
pilihanraya. Calon tunggal Menteri Besar hanyalah Ezam Mohd Nor.
Turut dicadangkan untuk dipilih sebagai calon di Selangor ialah
beberapa tokoh NGO seperti Pengerusi Gerakan Anti Penyelewengan Selangor
atau GAPS, Hamidzun Khairuddin, tokoh pengguna Dr Maamor Othman, tokoh
motivasi Fadzillah Kamsah, Pengerusi Jati, Dr Hassan Ali, bekas Ahli
Parlimen Kulim Bandar Baru, Zulkifli Nordin dan beberapa lagi daripada
kalangan profesional yang sedang berkhidmat dengan sektor swasta.
Hamidzun difahamkan akan diletakkan bertanding di Dun Sementa, Dr Maamor
di Ampang dan Fadzillah Kamsah dijangka diletakkan di DUN Bukit
Antarabangsa untuk menentang Azmin Ali.
Bagi Dr Hassan Ali dan Zulkifli Nordin pula, kedua-dua mereka akan
melalui ranjau "kamikaze" dalam piihanraya kali ini kerana Najib lebih
berminat untuk meletakkan kedua-duanya bertanding di peringkat Parlimen
dengan Hassan Ali dijangka diletakkan di Gombak untuk berhadapan dengan
Azmin Ali manakala Zulkifli Nordin pula di Shah Alam untuk menentang
Khalid Samad.
Daripada sudut yang lain, Najib nampaknya benar-benar mahu membuatkan
Azmin Ali begitu sibuk dan menghadapi cabaran paing sengit kali ini.
Jika Azmin bertanding di Gombak, musuhnya ialah Hassan Ali manakala jika
bertanding di DUN Bukit Antarabangsa pula, cabarannya ialah Dr
Fadzillah Kamsah.
Bersandarkan kepada asas "winnable" juga, calon daripada kalangan
pemegang jawatan dalam UMNO hanya akan dipilih sekiranya mereka itu
benar-benar boleh membawa kemenangan dan bersih daripada sebarang
masalah, selebihnya kouta itu akan dipilih daripada kalangan AJK
Bahagian atau pun golongan profesional yang diketahui mirip kepada UMNO.
Bagi Noh Omar dan Zin Mohamed pula, walaupun mereka tidak begitu
disenangi oleh ramai penduduk Selangor tetapi berasaskan jawatan sebagai
Timbalan Pengerusi UMNO Selangor dan Penyelaras BN Selangor serta
hubungan akrab dengan Najib, kedua-duanya dijangka akan dikekalkan untuk
bertanding di kerusi Parlimen sedia ada iaitu di Tanjung Karang dan
Sepang.
Persoalan yang menarik untuk dilihat ialah sama ada tindakan Najib
mengetepikan sebahagian besar pemimpin UMNO ini akan menyebabkan
berlakunya sabotaj ketika pilihanraya atau sebaliknya.
Jika berlaku
sabotaj oleh mereka yang tidak terpilih itu, harapan Najib untuk
mencapai kemenangan pasti menjadi bertambah sukar. Kiranya sabotaj dapat
dielakkan dan pemimpin UMNO yang tidak terpilih itu dapat memberikan
kerjasama sepenuhnya, UMNO dan BN mungkin mampu memberi cabaran sengit
kepada Pakatan Rakyat.
Apakah UMNO Selangor sedia menerima Ezam menjadi Menteri Besar? Mahukah
mereka melihat kalangan yang pernah rapat dengan Anwar dan kini berdiri
atas pelbagai NGO dan hanya bermodalkan isu-isu seks dan moral yang
dikaitkan dengan Anwar tetapi tidak memegang apa-apa jawatan dalam UMNO,
mengambil alih pula kedudukan sebagai Yang Berhormat.
Apakah juga pemimpin UMNO Selangor sentiasa patuh dan berpegang kepada
ikrar yang mereka lafazkan kepada Najib bahawa mereka akan akur sesiapa
saja calon yang dipilih?
Tetapi mengenali kebanyakan yang bergelar pemimpin dalam UMNO yang
hanya mengutamakan kepentingan peribadi melebihi segala-galanya, formula
Najib di Selangor ini mungkin membawa kekalahan yang lebih parah lagi.
(SAHBUDIN HUSIN 28/05/2012)
Read more ...