Seorang peraih undi Barisan Nasional (BN) cedera di leher selepas ditumbuk dan ditendang oleh seorang lelaki semasa berkempen di Taman Desa Aman di sini tengah hari semalam.
Ketua Polis Perak Datuk Acryl Sani Abdullah Sani berkata wanita itu berusia 50-an dan merupakan anggota Parti Progresif Penduduk (PPP) dalam laporan polisnya mendakwa telah ditendang dan ditumbuk di leher semasa berkempen dari rumah ke rumah di taman perumahan itu bersama-sama tiga lagi rakannya pada pukul 1.30 petang semalam.
Wanita itu membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Hilir Perak, 20 minit selepas kejadian dan kes sedang disiasat, katanya kepada pemberita selepas meninjau perjalanan pengundian awal pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Teluk Intan di Dewan Serba Guna, Ibu Pejabat Polis Daerah Hilir Perak, di sini hari ini.
Beliau berkata lelaki yang didakwa mencederakan wanita itu turut membuat laporan polis semalam dengan mendakwa wanita tersebut cuba mencuri buah mangga dan daun karinya sebelum berlaku pertengkaran antara mereka.
Menyentuh perjalanan kempen PRK itu yang memasuki hari kesembilan, Acryl Sani berkata suasana keseluruhannya adalah terkawal dan tenang.