Friday, April 22, 2011

Haji Muhammad Sabu terus dapat pencalonan

https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEin7SV_HqyKZumRp3SCtY9b90JX3kBONC5iBjHKBG3kGZt_Aego4QhhBQbHFnD95PDgRaeTWa8G3PiyMydK8qZzZKa3zVNtsfah8s5Zx9IIgzF215MGbMkB5BGXnsrB8JCNaOyEnb4Ryu8/s1600/mat-sabu_Timb.jpgPARIT BUNTAR, 22 April : AJK PAS Pusat Haji Muhammad Sabu terus mendapat pencalonan sebagai Timbalan Presiden daripada PAS Kawasan yang telah mengadakan mesyuarat agung. Terbaru, PAS Parit Buntar yang mengadakan mesyuarat jawatankuasa kerja pertamanya telah mencalonkan Tuan Haji Muhammad Sabu sebagai Timbalan Presiden PAS dan mengekalkan Tuan Guru Dato' Seri Haji Abdul Hadi Awang sebagai Presiden

Sementara bagi jawatan Naib Presiden, Haji Salehudin Ayub, Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man dan Dato' Ir Amiruddin Hamzah telah dicalonkan oleh PAS Parit Buntar.

Mesyuarat jawatankuasa kerja PAS Parit Buntar ini juga telah memutuskan perlantikan kepimpinan PAS Parit Buntar untuk sesi 2011 - 2013.

En. Azhari Hadi dikekalkan sebagai Setiausaha PAS Parit Buntar, manakala Sdr. Ridhuan Osman, Sdr. Hairul Nizam Ishak dan Puan Izan Aqilah Muhammad telah dilantik sebagai Penolong Setiausaha.

Tuan Haji Tyndareus Haji Awang juga dikekalkan sebagai Bendahari PAS Parit Buntar, En. Fakhrurazi Haji Khalid kekal sebagai Ketua Penerangan manakala bekas Ketua Pemuda PAS Parit Buntar Sdr. Khairulzami Muhammad dilantik sebagai Pengarah Pilihanraya.

Seramai lapan AJK tambahan telah dilantik iaitu En. Said Jaafar, Haji Bahtiar Arshad, En. Idris Budin, Ust. Ahmad Ismail, Sdr. Noraidi Mat Isa, Sdr. Ridhuan Osman , Puan Izan Aqilah Muhammad dan Ust. Haji Shafie Ismail.

Read more ...

Wayang fitnah terhadap Anwar jadi sajian rakyat Malaysia



SHAH ALAM 22 APRIL : Tv3 selesai merakamkan siri laporan terbaru merangkumi tuduhan- tuduhan seks terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika Ketua Pembangkang itu bergelut dengan fitnah video lucah 'Datuk T', sumber- sumber memberitahu Tv Selangor.

Laporan yang bakal disiarkan di Buletin Utama itu akan menyaksikan S. Nallakarupan membuat pelbagai dakwaan terhadap Anwar, sumber- sumber yang rapat dengan bekas pemimpin MIC itu mengesahkan.

“Kemungkinan besar dakwaan- dakwaan Nallakarupan itu akan disiarkan dalam tempoh terdekat untuk memberikan lebih tekanan kepada Anwar, “ kata sumber itu tanpa mengulas lanjut.

Kebanyakan dakwaan- dakwaan Nalla itu “bukan perkara baru,” cuma disadurkan dengan butir- butir terperinci dalam usaha meyakinkan rakyat terutama pengundi Melayu, kononnya Anwar pemimpin tidak bermoral.

Rasanya tidak perlu dihuraikan rekod Nalla, seorang rakan karib Anwar yang kemudian merajuk dan berpaling tadah apabila tidak dipilih menjadi calon untuk pilihanraya kecil Ijok pada tahun 2006.

Hakikatnya adalah, dakwaan dan tuduhan terhadap Anwar diperhebatkan di Tv3 dan media arus perdana kawalan UMNO sejak pilihanraya Sarawak.

Walaupun PRN Negeri itu sudah berlalu, namun serangan terhadap Anwar tetap dipanjangkan dan menimbulkan persepsi BN, khususnya UMNO, sedang mempersiapkan diri untuk menghadapi pilihanraya umum dalam tempoh terdekat.

Awal minggu ini, Parti Keadilan Rakyat memberi amaran kepada rakyat bahawa Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail tetap akan mencari ikhtiar untuk mendakwa Anwar bersabit video lucah Datuk T.

Ramalan itu terbukti benar apabila pejabat Peguam Negara memulangkan kertas siasatan kepada polis kerana tidak berpuas hati dengan rumusan yang dibuat oleh badan itu.

Justeru arahan diberi kepada polis untuk menyiasat lagi kes video lucah tanpa terikat kepada sebarang tarikh untuk menyiapkan siasatan.

Pada masa sama, Berita Harian, sebuah lagi akhbar kawalan UMNO memetik sumber- sumber sebagai mendakwa sebuah agensi penyiaran Korea Selatan kononnya mengesahkan pelaku dalam video 'Datuk T' sepadan dengan badan Anwar menerusi ujian bio metrik.

Semua “fakta- fakta” ini adalah untuk mempengaruhi rakyat, khususnya pengundi Melayu supaya menolak Anwar dan pada masa sama merencatkan hubungan PKR pimpinan Anwar dengan PAS dan DAP.

Perkembangan terbaru memberi petanda jelas bahawa rakyat Malaysia harus bersedia untuk disajikan dengan pelbagai fitnah terhadap Anwar bersabit video 'Datuk T'.

Pada masa sama, individu- individu seperti Nalla dan Umi Hafilda dipergunakan untuk menabur tuduhan- tuduhan lain terhadap Anwar.

Kenapa begitu banyak tumpuan diberikan oleh kerajaan pimpinan UMNO, polis dan pejabat Peguam Negara terhadap kes Anwar ?

Jawapannya berkait dengan Piliharaya Umum ke- 13 dan pemilihan UMNO yang akan datang. Kedua- duanya mempunyai impak besar ke atas kelangsungan jangka hayat politik Datuk Seri Najib Tun Razak.

Para strategis UMNO menjangka peluang parti itu menguasai pengundi Melayu atas pagar akan cerah jika ia berjaya memusnahkan kredibiliti Anwar sebagai pemimpin Islam dan menampilkan beliau sebagai peliwat dan kaki perempuan.

Analisis yang dijalankan oleh Biro Tata Negara menunjukkan pengundi Melayu amat menitik- beratkan soal agama dan moral – justeru itu Anwar menjadi sasaran tuduhan seks bertalu- talu dalam hasrat UMNO untuk memberi isi kepada persepsi itu.

Justeru tidak sukar memahami kenapa video lucah 'Datuk T' dimainkan di kem- kem BTN sebagaimana yang didedahkan oleh Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang, Datuk Mansor Othman.

Pengundi atas pagar kaum Melayu memegang kunci untuk memastikan sama ada Najib akan dapat merebut balik majoriti dua pertiga di Parlimen atau kecundang terus di medan pilihanraya kepada Pakatan Rakyat pimpinan Anwar.

Jika Najib tewas atau gagal menawan balik majoriti dua pertiga BN, usia remaja beliau sebagai PM dan Presiden UMNO akan mendapat saingan hebat daripada gandingan Mahathir Mohamad dan Muhyiddin Yassin.

Walaupun pemilihan UMNO masih dilihat sebagai jauh lagi, garisan- garisan pertempuran (battlelines) sedang pun dilakar dan kem- kem tertentu dibentuk dan dipupuk.

Kunci kepada siapa sokong siapa dan siapa lawan siapa akan berpaksi kepada pencapaian Najib pada PRU 13 – jika BN menang majoriti dua pertiga – Najib akan dijulang sebagai penyelamat maruah Umno.

Jika tidak, beliau dan gagasan 1Malaysia akan dikritik sebagai penyebab maruah Melayu tergadai di bumi sendiri.

Berasaskan sifir politik ini, bukanlah menjadi misteri kenapa Anwar Ibrahim harus ditumbangkan dalam apa cara sekalipun sebelum Najib mengadakan pilihanraya umum.

Hanya apabila yakin cabaran Anwar sudah ditumpulkan, kredibiliti dan maruah beliau sudah musnah di mata rakyat, maka hanya pada masa itu, Najib akan mendapat “ilham” untuk memanggil pilihanraya umum.

Sementara menunggu detik itu, rakyat khususnya pengundi Melayu harus melazimkan diri dengan membaca “cerita bukan-bukan” mengenai Anwar di muka depan Utusan Malaysia, Berita Harian dan menonton topik yang sama menerusi RTM serta TV3.

Read more ...

Polis bersekongkol ?

Biometrik : Undang PKR Analisis Video Seks, Jika Benar Terbukti Berkesan


SHAH ALAM 22 APRIL : Parti Keadilan Rakyat (PKR) hari ini mencabar pihak berkuasa supaya mengemukakan bukti terhadap laporan analisis rakaman video seks sebuah agensi penyiaran terkemuka Korea Selatan, yang mengatakan pelaku dalam rakaman itu sepadan dengan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli berkata, analisis yang kononnya menggunakan proses biometrik itu tidak akan bermakna jika tidak disusuli dengan fakta dan bukti yang kukuh.

Sehubungan itu, Rafizi menegaskan laporan akhbar Berita Harian semalam berjudul 'sepadan anwar' tidak lebih daripada agenda politik jahat UMNO BN untuk mengaburi mata rakyat.

Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Acryl Sani Abdullah Sani sebelum ini bertindak menghantar sampel rakaman video seks itu kepada agensi penyiaran terkemuka itu untuk dianalisis, 4 April lalu.

Keputusan analisis kononnya menggunakan proses biometrik atau mesin imbasan diri berkomputer, itu diperolehi Acryl 10 April lalu.

Rafizi menambah, jika benar apa yang didakwa agensi penyiaran terkemuka itu, polis seharusnya mengemukakan bukti dan mengundang parti PKR untuk turut sama menganalisis video itu menggunakan teknik yang sama.

“Kalau mereka betul-betul berani dan yakin bahawa laporan pakar tu betul dia patut bagi satu salinan kepada kita untuk kita juga hantar kepada pakar yang kita lantik.

“Sebab pakar berdasarkan rekod dia selama ini yang dia kata pakar itu tak pakar pun yang dia buat test itu sebenarnya tak wujud semata-mata dibuat cerita untuk jadi bahan politiklah,” katanya ketika dihubungi Tv Selangor hari ini," kata Rafizi.

Beliau berkata, cerita terbaru ini adalah satu lagi cerita yang direka kerana sebelum ini terdapat beberapa cerita yang dilaporkan berhubung kes video seks itu.

Rafizi juga membidas Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar yang bersikap sambil lewa dan tidak menjawab kepada persoalan pokok. Beliau juga dilihat seringkali memberikan hasil laporan yang tidak lengkap kepada pemberita.

“Sebelum ini pun dia gunakan plot yang sama dia buat cerita dalam media tanpa memberikan fakta yang sepenuhnya pada rakyat contohnya kalau dalam cerita video ini mulanya dia cerita pasal jam Omega. Kemudian dia kata dia sudah dapat kenal pasti siapa tuan punya jam Omega.

"Hari ini dalam laporan yang sama polis beritahu bahawa dia tidak boleh kenal pasti jam Omega tu siapa-siapa sebab pendaftaran nama jam Omega hanya bermula tahun 2008,” katanya.

Read more ...

Muhyiddin Memburu Guru, Kebajikan Terabai



KUALA LUMPUR 22 APRIL: PAS kesal terhadap sikap Kementerian Pelajaran di bawah kendalian Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Dr Fuad Zarkashi yang sibuk memburu guru-guru yang terlibat dengan pembangkang sebaliknya mengabaikan kebajikan guru-guru di sekolah.

Terkini, tindakan pertukaran Cikgu Maaruf Mutalib daripada Sekolah Menengah Tenang ke Sekolah Menengah Kebangsaan Pengelih Pengerang Kota Tinggi, adalah satu contoh "politik barbarian" yang diulang semula di Kementerian Pelajaran.

Pertukaran kerana surat cuti sakit Cikgu Maaruf semasa pilihan raya kecil Tenang.

“Persoalannya surat sakit yang dikemukakan ialah daripada doktor hospital kerajaan, bukan daripada dukun,” kata Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad (gambar).

Beliau berkata, sepatutnya Muhyiddin dan Dr Fuad perlu turun ke padang melihat sendiri kebajikan guru-guru yang dibebankan dengan berbagai tugas.

Menurutnya, pendedahan Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) mengenai tuntutan perjalanan yang dibuat oleh guru-guru yang pergi kursus anjuran Jabatan Pendidikan Negeri dan Pejabat Pelajaran Daerah sejak bulan Mac 2010 masih tidak dapat.

Begitu juga, katanya lambakan guru Sains dan Matematik seramai 26,000 merupakan satu lagi ukuran kegagalan Muhyiddin dan Dr Fuad untuk membuat unjuran keperluan guru-guru di sekolah-sekolah.

“Akhirnya guru ini terpaksa mengajar mata pelajaran lain daripada pengkhususannya.

“Apabila keadaan ini berlaku yang menjadi mangsanya ialah murid-murid sedangkan Muhyiddin begitu lantang mengkritik tawaran Pakatan Rakyat kepada guru-guru, imbuhan bulanan RM500, sehingga menuduh negara akan hancur dan bankrap.

“Nampaknya sekarang siapa yang bankrap sehingga peruntukan untuk kementerian beliau tidak cukup,” ujarnya.

Beliau berkata, jika itulah watak menteri yang menguruskan kilang yang melahirkan modal insan, maka negara akan hancur kerana meritnya bukan kebolehan tetapi ketaksuban kepada Umno.

Idris turut mempersoalkan kenapa Pengarah Pendidikan Johor, Markom Giran tidak diambil tindakan kerana berkempen kepada guru-guru ketika pilihan raya kecil Tenang.

“Akhirnya kita ingin mengingatkan kepada Tan Sri Muhyiddin janganlah kamu melakukan kezaliman, kerana doa orang yang zalim tidak ada hijab dengan Allah.

“Ingatlah bahawa kamu ada anak isteri dan keluarga, kalau kamu tidak suka dizalim, Cikgu Maaruf dan Cikgu Normala juga tidak suka dizalimi,” ujarnya.

Beliau turut memberi peringatan khas untuk Fuad Zarkashi mengenai kata-kata Asy-syahid Syed Qutb di dalam buku yang dibaca sewaktu bersama PAS dahulu iaitu "kezaliman walaupun nampak kuat, ia tidak kekal, sedangkan kebenaran walaupun nampak lemah, ia akan menang".-Harakahdaily

Read more ...

Berita Harian tiada etika

PKR Kecam Laporan 'Sensasi' Berita Harian


SHAH ALAM 22 APRIL : Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution kesal dengan tindakan media kawalan Umno-Barisan Nasional (BN), Berita Harian yang sengaja mensensasikan isu video seks yang dikaitkan dengan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim sedangkan kes masih dalam siasatan polis.

Malah, beliau amat kesal apabila Berita Harian hanya menjadi pekakas Umno-BN untuk merekayasa "perbicaraan melalui media" (trial-by-media) yang cukup jelas bernada politik demi mengaibkan dan terus-menerus menganiaya ahli parlimen Permatang Pauh itu.

Saifuddin berkata, PKR sekali gus menolak serta membantah sekeras-kerasnya laporan muka hadapan akhbar itu bertarikh 21 April 2011 yang mendakwa sebuah agensi penyiaran terkemuka Korea Selatan telah menganalisis serta mengesahkan bahawa pelaku dalam video tersebut adalah sepadan dengan Anwar berdasarkan perincian saiz tubuh beliau dalam rekod polis.

Menurut akhbar kawalan Umno itu lagi, polis juga telah mengenalpasti lokasi video seks tersebut dirakamkan iaitu di sebuah kondominium pinggir Kuala Lumpur manakala wanita yang terbabit dalam video seks itu dipercayai seorang pelajar di sebuah institusi pengajian tinggi swasta di ibu negara.

Selain itu, akhbar tersebut juga melaporkan siasatan polis tidak terlalu memfokuskan pada isu jam tangan Omega, yang sebelum ini didakwa kepunyaan Anwar yang diserahkan kepada polis bersama video berkenaan.

Tegas Saifuddin, syarikat Korea Selatan itu juga telah dipilih dan diberi maklumat khusus oleh Polis DiRaja Malaysia (PDRM) bahawa pihaknya harus menuruti segala kehendak barisan kepimpinan Umno-BN untuk melunaskan dendam kesumat mereka terhadap Anwar sekali gus menamatkan perjuangan reformasi politik ketua umum PKR itu.

" Harus diingat bahawa syarikat Korea Selatan tersebut telah dipilih dan diberi maklumat khusus oleh Polis DiRaja Malaysia (PDRM), yang mana ketua-ketua mereka masih menuruti kehendak barisan ahli politik yang mempunyai dendam kesumat terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim dan berusaha menamatkan perjuangan reformasi politik beliau," jelas Saifuddin dalam kenyataan medianya.

Malah tambah Saifuddin, Anwar sendiri selama ini menafikan sekeras-kerasnya penglibatan beliau dalam video berkenaan.

" Justeru kredibiliti PDRM sekali lagi terjejas dan dipersoalkan selepas pendedahan oleh bekas ketua Jabatan Siasatan Jenayah KL, Datuk Mat Zain Ibrahim, dalam beberapa surat terbuka beliau," tambahnya lagi.

Justeru Saifuddin sekali mengingatkan empat laporan polis yang dibuat Anwar pada 9 Julai 1999 dan 20 Ogos 1999 mengenai salah guna kuasa sebilangan individu tersohor di negara ini.

Semalam Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli mencabar pihak berkuasa supaya mengemukakan bukti terhadap laporan analisis rakaman video seks agensi penyiaran terkemuka Korea Selatan itu, yang mengatakan pelaku dalam rakaman itu sepadan dengan Anwar.

Rafizi Ramli berkata, analisis yang kononnya menggunakan proses biometrik itu tidak akan bermakna jika tidak disusuli dengan fakta dan bukti yang kukuh.

Sehubungan itu, Rafizi menegaskan laporan akhbar Berita Harian semalam berjudul 'sepadan anwar' tidak lebih daripada agenda politik jahat UMNO BN untuk mengaburi mata rakyat.

“Kalau mereka betul-betul berani dan yakin bahawa laporan pakar tu betul dia patut bagi satu salinan kepada kita untuk kita juga hantar kepada pakar yang kita lantik," kata Rafizi.

Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Acryl Sani Abdullah Sani sebelum ini bertindak menghantar sampel rakaman video seks itu kepada agensi penyiaran terkemuka itu untuk dianalisis, 4 April lalu.

Keputusan analisis kononnya menggunakan proses biometrik atau mesin imbasan diri berkomputer, itu diperolehi Acryl 10 April lalu.

Read more ...

PR Perlu Perbaiki Muafakat Politik



SHAH ALAM 22 APRIL: Lonjakan undi popular Pakatan Rakyat ke tahap 44.76 peratus pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak 16 April lalu sebagai bukti wujudnya senario baru dalam politik di negara ini.

Bahkan rakyat di Bumi Kenyalang mula menerima pakai dasar relevan yang dibawa parti gabungan itu bersesuaian dengan revolusi kebangkitan rakyat menolak cengkaman Barisan Nasional (BN) yang diketuai Tan Sri Abdul Taib Mahmud berbanding lima tahun dahulu.

Namun masih terdapat ruang bagi gagasan itu memperbaiki objektif strategik yang disepakati menjelang Pilihan Raya Umum ke 13 nanti menurut AJK PAS Pusat, Dr Dzulkefly Ahmad.

Dalam kenyataan media kiriman beliau, Dzulkefly menjelaskan muafakat politik masih belum menebal dalam Pakatan Rakyat untuk dilihat sebagai sebuah entiti berdasarkan analisis sepanjang kempen 10 hari di Sarawak.

Katanya, manifesto yang kurang menyerlah wajar diperbaiki justeru mampu untuk membantu gagasan itu menonjolkan kekuatan calon-calon yang bertanding.

Malah beliau berpendirian persepsi negatif terhadap kepincangan pentadbiran Abdul Taib sepanjang 30 tahun di negeri itu seharusnya diambil kesempatan oleh kepimpinan bagi membuktikan Pakatan Rakyat benar-benar serius untuk memerintah negeri Sarawak.

"Penulis berani menyimpulkan bahawa sebagai contohnya, sehingga ke garis penamat, Pakatan tidak punya objektif strategik yang disepakati, sama ada mahu menang memerintah atau sekadar menafikan 2/3 majoriti sahaja. Soalan ini bukan sekadar akademik tetapi membawa kesan dan menyangkut pendekatan penerangan," jelas beliau.

Beliau turut menyentuh kegagalan Pakatan Rakyat untuk mengikat SNAP sekaligus membawa kesan yang buruk terhadap prestasi pencapaian khususnya PKR dan penguasaan kerusi Pakatan di DUN Sarawak dengan mengambilkira undi kaum Iban dan Dayak.

Dzulkefly seterusnya mengakui PAS masih mencari-cari sentuhan di negeri itu namun menyifatkan ianya sebagai permulaan yang baik berdasarkan penerimaan kaum Melayu-Malanau walaupun kalah tipis di Beting Maro selain memenangi 10 dari 19 saluran di DUN tersebut.

Dengan pendekatan “Grand Coalition”, Dzulkefly yakin komitmen yang bakal ditunjukkan dalam jangka masa singkat mampu melakar keputusan yang lebih baik menjelang pilihan raya akan datang malah lebih baik daripada keputusan 2008.

Justeru beliau percaya sekiranya gabungan PKR, DAP dan PAS mampu menggerakkan seluruh segmen rakyat maka negara bakal menyaksikan menyinsingnya sebuah Malaysia Baru yang diimpikan semua.

Pada PRN Sarawak minggu lalu, Pakatan Rakyat termasuk SNAP dan Bebas berjaya memberi saingan sengit kepada BN dengan memperoleh 300,288 jumlah undi iaitu perbezaan sebanyak 72,109 berbanding undi parti yang telah bertapak di Sarawak lebih dari 3 dekad.

Penganalisis merumuskan PRN terbaru ini adalah yang paling sengit berbanding tahun-tahun sebelumnya.

Keputusan tersebut berjaya menghakis rasa selesa Perdana Menteri Najib Razak dan Abdul Taib yang menganggap Sarawak sebagai negeri simpanan tetap parti BN.

Read more ...

Calon BN Sarawak didakwa rasuah pengundi dengan cek tendang

Sarawak Report Desak SPR Gantung Keputusan DUN Temin

SARAWAK 22 APRIL : Laman sesawang Sarawak Report mendesak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menggantung keputusan Pilihan Raya Negeri Sarawak ke 10 bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) N52 Temin kerana mendapati calon Barisan Nasional (BN), Joseph Mauh telah ‘ditangkap’ kerana melakukan penipuan berganda.

Sarawak Report turut mendesak pihak polis segera bertindak menyoal siasat Joseph, kerana beliau bukan sahaja menjanjikan RM10,000 bagi meraih undi, tetapi suapan itu adalah dalam bentuk cek tendang.

“Jika buktinya didapati benar, maka suatu pilihanraya semula harus diadakan. Kesemua dakwaan mengenai jenayah rasuah yang dilakukan di seluruh negeri Sarawak harus juga disiasat.

“Kami bukannya bercakap mengenai ‘pembangkang pengacau’, tetapi kami ingin bercakap mengenai Ketua-ketua masyarakat yang dilantik oleh kerajaan dihormati,” kata laporan tersebut.

Penyelewengan itu didedahkan oleh Kuching ak Moyan, seorang Tuai Rumah dari kawasan Tamin melalui pengakuannya yang dibuat melalui rakam video selama 5 minit 20 saat dan boleh dilayari di laman youtube bertajuk ‘Testimony of Tuai Rumah Kuching’.

Melalui seorang penterjemah, Kuching mendedahkan bahawa pada 13 April 2011, beliau diberikan tiga keping cek bernilai RM2,000, RM3,000 dan RM5,000 oleh calon Barisan Nasional, Joseph Mauh supaya memberikan sokongan kepada Barisan Nasional.

“Saya telah menunaikan kedua keping cek yang pertama dengan jumlah RM5,000. Tetapi cek ketiga yang bernilai RM5,000 telah ditolak oleh pihak bank sebagai cek tendang,” kata Kuching.

Kuching turut mendedahkan, pada Pilihan Raya Negeri 2006 lalu, setiap seorang pengundi di kawasan itu diberikan hanya RM20, tetapi pada pilihanraya kali ini, nilainya telah dinaikkan kepada RM50 setiap seorang pengundi.

“Saya ingat semua kami di sini telah mengundi Barisan Nasional. Memanglah saya tahu bahawa duit yang diberikan oleh Barisan Nasional itu tidak bernilai jika kerajaan mengambil tanah kami. Tapi apakan daya kami, kami harus mengundi kerajaan kerana kerajaanlah yang memberi kami duit itu.

“Ya, saya tahu kita boleh mengambil duit Barisan Nasional dan kemudian kita mengundi pembangkang, tetapi memandangkan setiap orang di sini mengundi Barisan Nasional pada kali ini, saya juga turut serta,” kata Kuching.

Berdasarkan bukti tersebut, Sarawak Report menjangkakan ia hanyalah permulaan kepada penemuan-penemuan lain.

“Kita hairan dengan gelagat BN di KL yang kelihatan resah dan risau mengenai pilihanraya ini dan kemudian mereka kelihatan lega dengan keputusannya.

“Taib kelihatan bergegas di tengah malam minggu untuk mendapatkan Tuan Yang Terutama bagi mengangkat sumpah sebelum sesiapa sempat berteriak ‘tangkap pencuri itu!’ ulas laporan tersebut.

Dalam pada itu, Sarawak Report turut mempersoalkan sama ada wujud penafian hak mengundi oleh Ketua Menteri, Tan Sri Abdul Taib Mahmud dengan tidak mendaftarkan setengah juta pengundi dari kalangan orang asli.

“Perkara ini yang meresahkan dan merisaukan BN. BN adalah sebuah kerajaan yang tidak sah yang telah menodai proses pilihanraya dan mereka seharusnya disiasat dan didakwa dan dijatuhkan hukuman seberat yang mungkin.

“Sarawak Report kini berada di Geneva, dengan kerjasama NGO yang lain telah dipelawa untuk mengemukakan segalanya di UN mengenai masalah yang berkisar kepada pelanggaran hak asasi manusia dan demokrasi di Sarawak.

“Kami akan mengemukakan kes Tuai Rumah ini dan juga kes-kes yang lain yang telah dan pernah ditipu semasa pilihan raya ini,” jelas laporan tersebut.

Read more ...