Saturday, April 30, 2011

PAS tak kelapaq ke UMNO

PAS tolak pelawaan Najib, dakwa Umno-BN terdesak

KUALA LUMPUR, 30 April – Sambil mengucapkan “terima kasih” kepada Datuk Seri Najib Razak, PAS dalam reaksi segera menolak sama sekali pelawaan terbaru Perdana Menteri agar parti Islam itu menyertai Barisan Nasional (BN).

“Terima kasihlah atas jemputan, kami akan tetap setia dengan Pakatan Rakyat dan tidak akan meninggalkan semangat kesetiakawanan yang sudah dibentuk dengan PKR dan DAP,” kata Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub (gambar) ketika dihubungi The Malaysian Insider petang ini.

Najib yang juga Presiden Umno meneruskan usahanya dengan hari ini sekali lagi mempelawa PAS agar menyertai BN sambil berkata, sudah tiba masanya PAS meninggalkan DAP atas alasan ternyata tidak pernah sekalipun memperjuangkan Islam.

“Kenapa buat baik dengan DAP? Adakah DAP boleh perjuangkan Islam?

“Hadi (Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang), cukup-cukuplah dengan DAP, tinggalkan DAP, masuk BN,” kata Perdana Menteri ketika berucap pada majlis Perjumpaan Mesra Perdana Menteri Bersama Rakyat Dewan Undangan Negeri kawasan Manir di Kampung Pulau Bahagia, Kuala Terengganu pagi tadi.

Salahuddin yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian berkata, jemputan dibuat Najib di Kuala Terengganu adalah tindakan “terdesak” selepas BN terus gagal memperoleh sokongan masyarakat Cina termasuk ketika pilihan raya negei Sarawak baru-baru ini manakala gagasan 1 Malaysia digerakkan pentadbiran beliau tidak mendapat sambutan.

“Saya fikir pelawaan ini satu tindakan terdesak kepimpinan Najib. Saya tidak terkejut dengan pelawaan ini,” kata Salahuddin.

Kata beliau, kepimpinan Umno-BN akan menggunakan isu perkauman apabila setiap kali berhadapan dengan persekitaran terdesak sebagaimana dialami sekarang.

“Ini bukan kali pertama pelawaan macam ini dibuat... PAS tidak akan terperangkap,” katanya lagi.

Salauddin juga mendakwa pelawaan itu sebagai “terdesak” apabila mengatakan PAS harus meninggalkan DAP atas alasan ternyata tidak pernah memperjuangkan Islam.

Kata beliau, soal PAS harus keluar Pakatan Rakyat hanya kerana kononnya DAP tidak pernah memperjuangkan Islam tidak timbul sama sekali.

Malah kata beliau, DAP juga sudah memberi jaminan bahawa ia akan menghormati perkara-perkara yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Misalnya kata beliau, Islam adalah agama rasmi negara dan peruntukan ini termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dengan Raja-raja Melayu adalah ketua.

“Kita ada Perlembagaan, agama rasmi adalah Islam dengan raja-raja adalah ketua... jadi tak timbul soal ini,” katanya sambil menambah, kerajaan negeri Pulau Pinang yang diketuai oleh wakil DAP juga “tidak pernah mengabaikan soal berkaitan dengan Islam... tiada apa-apa masalah.”

“Bagi kami ini bukan satu isu, dan soal ini tidak berbangkit sama sekali,” kata Salahuddin yang turut menyifatkan pelawaan itu sebagai “madu manis yang berbisa.”

Salahuddin juga berkata, beliau yakin yang prinsip dibawa DAP itu akan terus diamalkan sekiranya Pakatan Rakyat mengambil alih Putrajaya kelak.

Pelawaan BN-Umno hari ini bukan sesuatu yang baru khususnya sejak selepas pilihan raya umum ke-12 8 Mac 2008.

Ini termasuklah satu pertemuan membabitkan empat pemimpin kanan - masing-masing dua dari Umno dan PAS sempena majlis santapan bersama Yang di-Pertuan Agong di Istana Terengganu di Kuala Lumpur.

Bagaimanapun menjelaskan isu di sebalik pertemuan 24 Disember itu, Ketua Umum Pakatan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 13 Januari lalu berkata, PAS telah mengulangi jaminan kepada rakan-rakannya dalam perikatan itu parti Islam itu tiada rancangan untuk menjalin kerjasama politik dengan Umno.

Anwar memberitahu, Hadi telah memberi penjelasan mengenai objektif pertemuan di Istana Terengganu.

“Kami berpuas hati dengan penjelasan. Sebagaimana dikatakan oleh (Mursyidul Am PAS Datuk) Nik Aziz (Nik Mat), PAS komited untuk bersama dengan Pakatan Rakyat.

“Tidak perlu untuk kita membangkitkan isu ini lagi atau meragui mereka,” kata beliau.

Bagaimanapun seminggu sebelum itu, Najib mengambil langkah untuk tidak mendedahkan hasil pertemuan bersama pemimpin 24 Disember lalu, yang dihadiri atas jemputan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin.

Nik Aziz, yang tegas dengan pendirian menolak idea kerajaan campuran antara PAS-Umno, juga hadir pada pertemuan itu.

Menteri Besar Kelantan itu telah berulang kali menekankan bahawa PAS tidak akan kembali menjalin kerjasama politik dengan Umno atas alasan telah dikhianati pada akhir 1970-an.

PAS pernah menyertai BN pada 1974 atas jemputan perdana menteri ketika itu Tun Abdul Razak, yang juga bapa kepada Najib.

PAS membentuk kerjasama dengan DAP dan PKR untuk mewujudkan perikatan PR pada April 2008.

Justeru PAS mengetuai kerajaan negeri Kelantan dan Kedah sekarang, Pulau Pinang pula wakil dari DAP manakala Selangor pula pemimpin PKR.

Read more ...

Boleh percaya ka pada polis ?

Video seks: MP Kapar terima CD dari Thai, pertikai PDRM

KUALA LUMPUR, 30 April — Ahli Parlimen Kapar S. Manikavasagam mempertikaikan PDRM selepas beliau menerima cakera padat (CD) yang mengandungi rakaman aksi seks penuh, si pelakunya didakwa mirip Datuk Seri Anwar Ibrahim, dari Thailand semalam.

Manikavasagam (gambar) , wakil rakyat PKR, juga mempersoalkan bagaimana CD berkenaan masih boleh disebarkan sedangkan “Datuk T” mendakwa rakaman asal sudah pun diserahkan kepada polis bulan lalu.

Beliau mengesahkan telah menonton CD itu empat kali, sekali gus menegaskan lelaki yang dimaksudkan bukan Anwar.

Wakil rakyat penggal pertama itu menerima CD itu semalam yang dihantar ke pejabatnya.

“Saya telah melihat VCD ini tiga kali dan saya juga menonton sekali lagi pagi ini. Tetapi, sah si pelakunya bukan Datuk Seri Anwar Ibrahim. Rupa bentuk fizikal dan rambutnya semua berbeza,” kata beliau kepada pemberita di sini.

“Ini adalah CD penuh, jadi mahu minta polis menyiasat dan saya juga ada menyatakan dalam laporan polis bahawa Datuk T telah memberi CD asal kepada polis, tetapi kemudian CD ini masih disebarkan?” kata beliau kepada pemberita selepas membuat laporan di ibu pejabat polis daerah Dang Wangi di sini.

Katanya, CD itu membuktikan bahawa polis tidak boleh dipercayai dan mahu satu badan bebas menyiasat kes ini.

“Saya tidak yakin dengan polis (lagi) kerana jika CD asal sudah diserahkan, maka bagaimana (salinan) boleh ada untuk disebarkan? Saya telah minta supaya sebuah badan bebas dibentuk untuk siasatan,” kata beliau bersama Naib Presiden PKR N. Surendran, yang juga seorang peguam.

Bagaimanapun, apabila ditanya sama ada CD itu asasl atau sebaliknya, Manikavasagam menafikan beliau ada menonton video seks asal.

“Saya tidak melihat video tersebut, tetapi selalu keluar di TV3 dan ia sama,” katanya.

Surendran menambah, sampul surat yang mengandungi CD itu diemel dari Thailand.

“Tanda pos pada sampul surat adalah dari Thailand, jadi adalah jelas mereka di belakang cuba untuk mengelak pergerakan mereka dikesan.

“Mereka sangat takut bahawa kami akan mengesan siapa di belakangnya kerana jika anda ikut kesemua kaitan ini, anda akan lihat bahawa ia menunjukkan Umno dan BN,” kata Surendran.

Semalam, salah seorang “Datuk T” iaitu ahli perniagaan Datuk Shazryl Eskay Abdullah melakukan sumpah laknat berhubung isu video seks di Masjid Amru al-As, Bandar Baru Sentul.

Turut hadir dua lagi “Datuk T”, bekas ketua menteri Melaka Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik dan bekas bendahari agung Perkasa Datuk Shuib Lazim.

Kelmarin, rakaman video seks yang tidak diedit dimuat naik di YouTube, dilihat sebagai langkah mengenakan tekanan ke atas Ketua Pembangkang itu yang sejak sebulan lalu menafikan beliau sebagai si pelaku dalam aksi seks terbabit.

Rakaman video itu dibahagi kepada empat segmen dan berlarutan kira-kira empat minit dan 28 saat. Dalam video itu, seorang wanita pada awalnya dilihat mengadakan seks oral dengan seorang lelaki mirip Anwar.

Kedua-dua mereka kelihatan mengadakan hubungan seks kira-kira lima minit.

Rakaman tidak diedit ini yang disebarkan hari ini termasuk sedutan klip yang telah pun dimuat naik dua kali termasuk yang terbaru semalam.

Video seks 21 minit itu buat kali pertama dipertontonkan kepada wakil media terpilih di hotel Carcosa Seri Negara di sini, 21 Mac lalu.

Pada sidang media 24 Mac lalu, Rahim berkata rakaman video seks itu didedahkan untuk membuktikan “lelaki yang mahu menjadi perdana menteri itu tidak layak.”

Polis sedang menyiasat “Datuk T” di bawah Seksyen 292 Akta Kanun Keseksaan kerana kesalahan mengedar bahan lucah.

Awal minggu ini, Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Khalid Abu Bakar berkata pihaknya masih menjalankan siasatan dan yakin akan menyerahkan hasil siasatan kepada pejabat Peguam Negara minggu ini.

Beliau juga berkata akan “mendedahkan” identiti pelaku pada masa yang sesuai.

Khalid berkata polis telah memulakan siasatan terhadap penyebaran sedutan klip kedua video seks oleh beberapa portal dan blog sejak tengah hari kelmarin.

Khalid berkata pihaknya dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sedang mengenal pasti pihaknya yang bertanggungjawab memuat naik bahan itu di YouTube.

Satu rakaman klip video hitam putih aksi seks yang dikatakan membabitkan seorang pemimpin tertinggi pembangkang telah dimuat naik dalam laman Internet tiga hari lalu.

Sedutan klip video dengan durasi satu minit 47 saat itu menampilkan seorang lelaki dan wanita dalam keadaan bertuala dan kemudian berbogel sebelum lelaki itu memakai seluar.

Pada 4 April lalu, satu klip video berdurasi yang sama tersebar luas di Internet.

Read more ...

Eskay pegang naskah al-Quran terbalik, nak bersumpah juga




SENTUL 29 APRIL : Ahli perniagaan, Datuk Shazryl Eskay hari ini melafaz sumpah laknat dengan memegang naskah Al-Quran terbalik, sebelum diperbetulkan oleh seorang pendakwah bebas di Masjid Amru Al-As Sentul petang tadi.

Dan beliau bertegas menfitnah Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai kononnya pelaku dalam video lucah yang ditayangkannya 21 Mac lalu walaupun dinasihati oleh pendakwah Firdaus Supri mengenai nas-nas Islam.

"Saya nak beritahu, sumpah ini tidak boleh digunakan dalam menuduh seseorang berzina kerana ia tiada dalam syariat Islam," kata beliau kepada Eskay sebelum menyerahkan senaskah buku mengenai hukum Qazaf kepada ahli perniagaan itu.

Firdaus kemudian membetulkan cara Eskay memegang Al-Quran sebelum ahli perniagaan itu menyempurnakan sumpah laknat bahawa beliau dan Anwar ada dalam rakaman video lucah yang diedarkan menerusi Internet sejak 4 April lalu.

Eskay, bekas Ketua Menteri Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik dan bekas Bendahari Perkasa Shuib Lazim hadir di masjid itu memakai baju kalis peluru seolah-olah keselamatan mereka terancam.

Rahim semalam berkata beliau dan Shuib telah mewakilkan Eskay untuk membuat sumpah laknat itu bagi pihak mereka.

Terdahulu, Pengerusi Masjid Amru Al-As Bandar Baru Sentul, Abdul Razak Hussin mengesahkan bahawa majlis sumpah laknat itu dibatalkan apabila gandingan Datuk T itu tidak hadir.

Selesai upacara mengangkat sumpah laknat, tiga Datuk T itu bergegas meninggalkan masjid tanpa menjawab soalan pemberita.

Terdahulu keadaan selepas solat Jumaat menjadi kecoh seketika apabila sekumpulan jemaah memasuki ruang solat dan menuntut penangkapan Eskay kerana menabur fitnah bersabit video lucah itu.

Hadir bersama mereka adalah Ketua Angkatan Muda Keadilan Samsul Iskandar Md Akin.

Shamsul Iskandar Md Akin berkata Eskay memperalatkan sumpah laknat dan membelakangkan hukum Qazaf yang jauh lebih sesuai untuk kes-kes fitnah.

AMK telah menfailkan pertuduhan Qazaf terhadap Datuk T, kerana menfitnah Anwar dan isterinya yang juga Presiden Parti Keadilan Rakyat.

Shamsul kesal kerana pihak berkuasa Islam seolah-olah merestui sumpah laknat Eskay.

"Saya hairan dengan kehadiran pegawai Jawi sedangkan penyiasatan dikatakan sedang dilakukan oleh Jawi tentang kes Qazaf saya.

"Ini bukan caranya, kita ada Mahkamah dan (sumpah) ini bukan cara yang betul," kata Shamsul kepada media.

Read more ...

Inilah cakap orang tak ada ilmu agama, ikut sedap mulut



Kata Perdana Menteri Najib Razak, sumpah laknat itu adalah hak individu. Jika ahli perniagaan, Shazryl Eskay Abdullah dan rakan kongsinya dalam kumpulan Datuk T, atau sesiapa sahaja mahu bersumpah bahawa mereka bercakap benar apabila menuduh Anwar Ibrahim berzina, kata Najib, itu adalah hak peribadi mereka.

Oleh itu, katanya lagi, tidak boleh sesiapa atau mana-mana parti politik menghalang Eskay dan kawan-kawannya untuk melafazkan sumpah demi menyokong pendirian atau tuduhan mereka terhadap sesiapapun. Dan, sekali lagi, Najib berkata, tidak ada mana-mana pihak, termasuk parti Umno yang dipimpinnya, boleh menyuruh Eskay dan rakan-rakannya bersumpah atau menghalang mereka.

Kenyataan Najib ini merisaukan. Ini kerana ternyata, komennya itu tidak bersandarkan ilmu dan perintah agama dan jauh sekali daripada menghormati pandangan ulama. Lebih menyedihkan pula ia menyerlahkan sikap Najib terhadap tiang bina jatidiri negara ini sendiri.

Dengan mengizinkan sumpah laknat dibuat oleh sesiapa sahaja kerana ia hak individu, maka Najib telah terang-terang membelakangkan prinsip Rukun Negara – kesopanan dan kesusilaan. Bayangkan jika pandangan Najib ini dijadikan pedoman oleh rakyat, betapa berkecamuk Malaysia jadinya.

Jika kita tidak suka pada mana-mana individu atau pemimpin, hatta Najib sendiri, kita boleh sahaja melontarkan pelbagai tuduhan – perasuah, perogol, penipu dan sebagainya. Untuk menghalalkan tindakan kita di sisi agama, kita pun pergi ke mana-mana masjid dan bersumpah di depan saksi (yang dijemput) bahawa tuduhan kita benar dan jika tidak, akan dilaknati Allah.

Ini bahaya. Jika setiap yang bersengketa dan memendam kesumat terhadap orang lain berbuat seperti Eskay kerana dihalalkan oleh Najib sebab ia adalah hak individu, berantakanlah masyarakat dan berhamburanlah sumpah dilafazkan.

Si fulan boleh menuduh bahawa si anu berzina dengan artis, model atau isteri orang di Port Dickson atau di mana sahaja. Si anu pula boleh menuduh si fulan melakukan seks di luar tabii dengan sesiapa sahaja dan, untuk mengukuh atau “mengislamkan” tuduhan, maka si anu dan si fulan boleh lafaz sumpah laknat.

Laknat bagaimana akan menimpa orang bersumpah, bukan perhitungannya.

Memang benar sesiapapun boleh bersumpah. Malah seorang suami yang mengesyaki isterinya berzina boleh bersumpah bahawa tuduhannya itu benar. Namun keizinan bersumpah itu semua itu ada peraturannya. Ini semua sudah ditetapkan Allah

Dalam kes tuduhan zina, yang dituduh berhak mendapat perlindungan pihak berkuasa untuk membela diri dan maruah. Ini hukum qazaf namanya. Pihak berkuasa diberi mandat oleh Allah untuk menghakimkan tuduhan berkenaan dengan panduan yang jelas.

Peraturan yang ditetapkan Allah ialah, yang menuduh mesti mengemukakan empat saksi yang melihat perzinaan membabitkan yang tertuduh berlaku. Jika tidak, yang menuduh mesti dirotan lapan puluh kali.

“Dan orang-orang yang menuduh perempuan-perempuan yang baik (berzina) dan mereka tidak mendatangkan empat orang saksi, maka deralah mereka delapan puluh kali, dan janganlah kalian terima kesaksian mereka untuk selama-lamanya. Merekalah orang-orang yang fasik.” Surah Annuur ayat 4.

Ayat perintah ini tidak kabur. Sesiapa yang membacanya akan dapat menghayati rasional di sebaliknya. Bahawasanya soal maruah si tertuduh zina wajib dipertahankan. Itu yang utama. Sebab itu Allah meletakkan syarat yang ketat dalam penghakiman tuduhan.

Memang bukan senang mencari empat saksi. Itu Allah tahu. Tetapi itu yang ditetapkanNya. Ini kerana Allah tahu yang manusia akan menggunakan pelbagai dalih untuk menguatkan tuduhannya. Ada yang mahu guna foto dan video. Namun bak fatwa tiga mufti - Tan Sri Harussani Zakaria, Juandah Jaya (Perlis) dan Datuk Tamyes Abdul Wahid (Selangor) yang ditetapkan empat saksi dan bukan video atau foto.

Jika gagal berbuat demikian, maka si penuduh wajib disebat 80 kali. Siapa yang wajib melakukan hukuman? Jawapannya ialah pihak berkuasa agama. Dalam konteks Malaysia yang berkuasa ialah kerajaan. Najib ketua kerajaan. Maka Najib mesti memastikan hukuman ini dijalankan.

Memang benar Najib ada menteri halehwal agama dan juga Majlis serta dan Jabatan Agama untuk melaksanakan perintah ini tetapi dia tetap Ketua Kerajaan. Padanya terletak kuasa pengurusan ehwal agama, termasuk dalam bab tuduhan palsu membabitkan zina ini, Maka beliau wajib laksanakan hukum Allah.

Demi memelihara keharmonian masyarakat dan maruah individu, Najib wajib perintahkan jabatan agama laksanakan hukum sebat jika Eskay, Rahim Thamby Chik dan Shuib Lazim gagal kemuka empat saksi.

Maka adalah salah bagi Najib bila berkata, bersumpah untuk menguatkan tuduhan zina ke atas seseorang adalah hak individu. Allah tidak menetapkan begitu. Najib tidak boleh berdalih beliau tidak tahu.

Najib ada peluang dan ada kuasa untuk mengetahui dan memahami hukum Allah. Dia ada menteri yang boleh menasihatinya. Dia ada ulama yang digaji untuk menegurnya. Malah dia ada sekurang-kurangnya empat puluh ulama muda yang baru menyertai partinya untuk membimbingnya.

Najib tidak perlu rasa tertekan oleh peraturan Allah ini. Sebagai hamba Allah dan bukan hamba mana-mana parti dia mesti akur perintah Allah dan bukan gusar tidak pertahan maruah ahli-ahli partinya. Dia tidak boleh kata Umno tidak berhak galak atau halang orang untuk bersumpah laknat. Yang mahu bersumpah juga sumpahlah. Yang menuduh secara terbuka dan diberi publisiti meluas kerana membuat tuduhan, perlu dikenakan hukuman Allah bila tiada empat saksi.

Menurut hukum dunia dan hukum negara, yang menayang video lucah boleh didakwa dan dihukum jika didapati bersalah. Tetapi mengikut hukum Allah adalah salah menuduh orang berzina tanpa ada saksi. Sudah pasti sebagai seorang muslim, Najib tahu dia wajib ikut hukum Allah.

Dia tidak boleh begitu liberal mengatakan hak individu untuk bersumpah dengan nama Allah untuk mencemar maruah insan lain. Ini nyata satu percubaan mencemar perintah Allah. Melanggar ketetapan Allah adalah satu keingkaran. Cuma orang yang angkuh dan tidak yakin penuh akan kuasa Allah berani membelakangkan ketetapan Allah.

Read more ...

Memang patut kena baling dengan kasut

Polis Dearborn cuba menenangkan penunjuk perasaan membantah kemunculan Pastor Terry Jones di pekarangan Dewan Bandaraya Dearborn, Dearborn, Michigan semalam. — Foto Reuters

Pastor bakar Al Quran muncul lagi ,’disambut’ kasut dan botol

DEARBORN (Michigan), 30 April — Pastor kontroversial dari Florida yang minggu lalu dilarang daripada mengadakan protes di masjid terbesar Amerika Syarikat, yang terletak Dearborn, terpaksa memendekkan demonstrasi ekoran perhimpunan balas diadakan kumpulan yang menentangnya.

Pastor Terry Jones, 59, bertekad untuk kembali minggu ini walaupun perintah mahkamah melarangnya mengadakan demonstrasi di hadapan Pusat Islam Amerika di sini.

Dia mendakwa perintah itu bercanggah dengan peruntukan Perlembagaan Amerika Syarikat.

“Kami berada di sini untuk bercakap mengenai isu-isu berkaitan dengan rakyat Amerika,” kata Jones, yang bercakap menggunakan mikrofon tanpa wayar di podium yang didirikan di atas tangga dewan bandar raya.

Bulan lalu dia membakar al-Quran di Florida, menyebabkan kemarahan di banyak negara. Zon sekatan juga didirikan di sepanjang jalan empat lorong di Michigan Avenue.

Seramai 75 pengikut Jones, dilihat kecil telah diatasi oleh kumpulan penentangnya yang lima kali lebih besar.

Datuk Bandar Dearborn John O’Reilly Jr kemudian memberitahu pemberita bahawa perhimpunan itu dihentikan atas sebab-sebab keselamatan.

“Mereka meminta dia tidak melangkah ke arah sekatan dan dia patuh arahan itu,” kata O’Reilly.

“Tugas kami ialah melindungi komuniti kami dan itu yang kami lakukan,” katanya lagi.

Jones merancang untuk mengadakan demonstrasi selama tiga jam tetapi berakhir dalam 75 minit, dan dia diiringi oleh polis ke arah kereta yang sedang menanti.

Masyarakat Islam dan Kristian, tidak kira muda atau tua berbaris memperlihatkan sokongan membantah Jones, yang menurut mereka dia membwa mesej membenci.

“Kami tidak mengecam anda. Kami berada di sini bukan untuk protes anda. Kami berada di sini untuk menjemput anda kepada Islam,” kata penduduk Dearborn Monzer Jaber.

“Setiap orang berhak kepada kebebasan berucap tetapi saya tidak menganggap yang itu sebagai kebebasan berucap,” kata Matty O’Dea yang dipetik Fox Detriot.

“Saya fikir adalah sangat penting kita biar orang lain mengetahui bahawa Dearborn adalah satu komuniti yang bersatu.

“Kami mengambil berat dan menghormati satu sama lain,” kata seorang lagi penduduk Dearborn Roxanne McDonald.

Awalnya protes bermula dengan tenang dan aman.

Jones berada di podium sambil bercakap menyentuh Islam radikal manakala kumpulan yang antibeliau pula melemparkan kata-kata yang mencabarnya.

“Ini Amerika dan sangat cantik, malah walaupun ia kontroversial, tapi dalam hal ini mereka boleh menyuarakan pandangan mereka. Ramai yang tidak boleh melakukan begitu di banyak negara,” katanya.

Bagaimanapun Jones dengan menarik mikrofon terus berjalan ke arah penunjuk perasaan yang mengecamnya.

Polis Dearborn tidak dapat mengawal keadaan apabila berpuluh-puluh orang melepasi sekatan lalu menjerit dan membaling botol dan kasut ke arah Jones dan pengikutnya.

tmi

Read more ...

"1 Melayu, 1 Bumi" Muslihat Politik BN




KUALA LUMPUR 30 APRIL : Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan slogan "1 Melayu, 1 Bumi" yang dicanang akhbar kawalan Umno-Barisan Nasional(BN), Utusan Malaysia sebagai satu muslihat politik.

Menurut Anwar, hal ini berlaku berikutan kegagalan Barisan Nasional(BN) Sarawak untuk mengekalkan undi popularnya pada pilihan raya lalu yang jelas ditolak bulat-bulat oleh masyarakat bandar 'Bumi Kenyalang'.

Jelas Anwar, UMNO hanya melindungi kekayaan keluarga masing-masing malah perikatan BN tidak pernah menjadi pelindung hak orang Melayu bahkan terus mengabaikan golongan miskin dan meminggirkan anggota masyarakat sendiri.

"Bila dia (UMNO) tengok Cina dah tak sokong, (buat) 1 Melayu. Mana ada 1 Melayu 1 Bumiputra. Tengok Melayu Kampung Sungai Putih. Tengok Melayu, Bumiputera di Kapit, di Ulu Pahang, siapa peduli?

“Melayu bagi mereka ialah ahli-ahli perniagaan Melayu, keluarga menteri, keluarga Rosmah (isteri Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak) dan anak-anak (bekas perdana menteri Tun Dr) Mahathir (Mohamad). Ini definisi orang Melayu.

“Mereka tidak mahu mempertahankan nasib orang miskin,” katanya lagi.

“Bagi mereka hak-hak orang Melayu adalah keluarga mereka, bagi kami hak-hak Melayu adalah hak komuniti,” kata beliau dalam Majlis Ceramah Perdana di Ampang semalam.

Minggu lalu, Timbalan Ketua Pengarang Utusan, Datuk Zaini Hassan dalam artikelnya mencadangkan Umno untuk melancarkan gerakan 1Melayu, 1Bumi bagi mempertahankan kuasa politik orang Melayu.

Penulisannya turut menyentuh bagaimana masyarakat Melayu telah hilang perpaduan berbanding kaum Cina selain memperlekehkan slogan 1Malaysia yang digembar-gemburkan Najib Razak.

Kelmarin, bekas Menteri Besar Selangor Dr Khir Toyo juga turut menyatakan betapa kaum Cina menerusi DAP cuba menghapuskan hak orang Melayu.

Anwar kemudiannya melontarkan pertanyaan mengenai kehilangan RM 50 bilion dari RM 52 bilion wang saham amanah bumiputera yang sehingga kini tidak dijawab kabinet Najib.

"Melayu, kalau miskin merempat. Bukan masalah Cina, bukan salah Cina. Kita ada RM 52 bilion saham. Saham Bumiputera, diakui oleh Najib. Apa Cina curi? Saya nak beritahu, orang Cina, India kita pertahankan, hak orang Melayu, keluarga kita, tetap kita pertahankan.

Read more ...

Mana integriti polis?




PETALING JAYA 29 APRIL: Integriti Polis Diraja Malaysia (PDRM) semakin hangat diperkatakan apabila siasatan rakaman video seks yang dikaitkan dengan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim di bawah Seksyen 292 Kanun Keseksaan, mula diketepikan.

Malah, beban tersebut dialih pula kepada Anwar Ibrahim untuk membuktikan bahawa dirinya bukan pelaku dalam video seks berkenaan seperti mana yang didakwa trio ' Datuk T'.

Walhal, beliau merupakan individu utama yang membuat laporan berhubung penayangan video lucah dan intimidasi jenayah terhadapnya oleh trio 'Datuk T' iaitu Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik, Datuk Shazryl Eskay Abdullah dan Shuaib Lazim, 22 Mac lalu.

Tindakan pejabat Peguam Negara yang diketuai Tan Sri Abdul Gani Patail mengembalikan kertas siasatan buat kali kedua kepada polis mula menampakkan campur tangan politik.

Lantas, Abdul Gani memberi alasan bahawa siasatan polis terhadap video itu masih tidak lengkap dan memerlukan pihaknya untuk memanggil Anwar untuk kali kedua bagi memberi keterangannya.

Namun, apa yang jelas polis masih belum memanggil ketiga-tiga individu yang mengaku menjadi dalang dalam menayangkan video lucah tersebut sehingga kini.

Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar dalam kenyataannya hari ini membidas jawapan tidak konsisten polis berhubung tumpuan siasatan selepas laporan itu dibuat bapanya lebih sebulan lalu.

Justeru dakwaan terdapat konspirasi politik dalam kes terbabit semakin jelas apabila polis mula menampakkan tindakanya bersekongkol dengan parti pemerintah untuk memerangkap Anwar walaupun prinsip undang-undang jelas menyatakan bahawa tertuduh perlu dilindungi.

"Semalam jawapan yang kami terima kenapa Datuk T tidak ditangkap, adalah kerana kes tersebut telah diserah semula kepada pejabat Peguam Negara. Tapi sehingga kini jawapan yang diberi itu tiada penjelasan.

"Dalam hal ini, apabila kita bercakap soal konspirasi kepimpinan BN sendiri banyak peristiwa yang berlaku telah menimbulkan pelbagai persoalan yang tidak terjawab oleh mereka," kata beliau pada sidang media di Ibu Pejabat PKR hari ini.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Batu Tian Chua turut mengarahkan polis untuk kembali memberi tumpuan terhadap siasatan di bawah Seksyen 292 Kanun Keseksaan.

"Secara keseluruhan isu ini adalah untuk mewujudkan tanggapan bahawa Anwar telah disiasat sebagai pelaku video berkenaan. Malah ianya langsung tidak menyentuh seksyen 292 Kanun Keseksaan yang mengariskan kesalahan menggunakan video lucah untuk melakukan intimidasi jenayah serta memalukan beliau. Jadi anda selesaikan itu dahulu," kata beliau.

Menurut Tian Chua lagi, berdasarkan sesi keterangan kedua Anwar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, semalam, rata-rata pemimpin yang hadir bersama Ketua Pembangkang itu membidas bentuk soalan yang dikemukakan pegawai penyiasat.

Sementara itu, Peguam N Sankara menjelaskan kepada media bahawa polis cuba untuk mengalih fokus siasatan kepada individu di dalam video tersebut berbanding salahlaku penayangan video seks.

Tambah Tian lagi, beliau turut mendakwa terdapat segelintir polis yang bersekongkol dengan pemimpin Umno-BN pada Pilihan Raya Negeri Sarawak lalu untuk meyakinkan rakyat bahawa Anwar adalah sememangnya pelaku dalam video seks berkenaan.

Katanya, polis secara senyap mendekati ahli jentera parti dan menasihatinya supaya tidak terjebak dengan dakwaan muslihat Anwar yang hanya akan merugikan dirinya sendiri.

Justeru, Tian mengakui bahawa polis merupakan agen Umno-BN yang menyalahgunakan kuasa demi kepentingan parti itu.

"Polis telah dipergunakan sebagai mesin propaganda Umno dan ini amat dikesali. Polis seharusnya menjauhkan diri dari politik dan sepatutnya lebih penumpuan dalam menguruskan jenayah serta keselamatan awam.

"Termasuk siasatan video itu, polis telah membazir banyak masa dan tidak tumpu kepada pelaksanaan undang-undang malah mereka seolah-olah "menari" mengikut rentak parti memerintah," ujar beliau lagi.

Manakala, Pengarah Komunikasi PKR Nik Nazmi Nik Ahmad pula menegaskan bahawa undang-undang Malaysia terbahagi kepada dua apabila ia melibatkan Ketua Pembangkang Malaysia.

Katanya lagi, perkara yang sama harus dilakukan kepada Perdana Menteri Najib Razak dan isterinya Rosmah Mansor dalam kes pembunuhan kejam wanita Mongolia, Altantuya Saariibuu sekiranya polis ingin mengembalikan kepercayaan rakyat sekali gus mengangkat semula reputasi institusi itu.

"Kenapa ianya bukan standard yang sama apabila kes melibat Datuk Seri Anwar Ibrahim, di mana beban untuk membuktikannya hanya kepada Datuk T dan bukan Anwar,"

Read more ...