ANALISIS - Gelombang 'perang' berbalas komen dan
reaksi melibatkan pemimpin Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Rakyat (PR)
nampaknya berterusan! Ruang siber dan tradisional digunakan sepenuhnya
sepanjang 24 jam lalu - membincangkan kewajaran perhimpunan Bersih 3.0
di ibu negara semalam dan siapa yang sepatutnya dipersalahkan ke atas
insiden sejam terakhir.
Bersih 3.0 membuat rancangan untuk mengadakan perhimpunan antara jam 2
dan 4 petang. Keadaan bertambah kecoh dan bertukar ganas selepas jam 3
petang.
Dalam mesej Twitter pagi ini, pemimpin dari Pemuda Umno, Lokman Adam
menulis: "Nasib baik kalian duduk di Malaysia, kalau kat tempat lain,
seorang demi seorang akan hilang tanpa kesan kalau..."
Dalam ruang masa yang sama, Ketua Angkatan Muda Keadilan, Shamsul
Iskandar Mohd Akin menjawab satu komen dengan menulis: "Stadium tempat
tengok bola bukan tempat protes." Shamsul Iskandar menjawab komen
@ahmadilatif yang berkata, "Sam, kalau dari awal buat kat stadium kan
senang. Ke, kau takut orang tak datang?"
Bersih 3.0 sudah berlalu. Apa kesannya ke atas arena politik negara?
Bersih I diadakan beberapa bulan sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) 2008.
Bersih II pada 9 Julai lalu, ketika ramai menyebut PRU13 akan diadakan
dalam waktu terdekat, susulan pilihan raya negeri Sarawak.
Bersih 3.0 semalam diadakan di tengah-tengah spekulasi mengatakan PRU13 akan diadakan bila-bila masa.
Beberapa minggu lalu, di sebalik program turun padang Datuk Seri Najib
Tun Razak selaku Perdana Menteri, Presiden Umno dan Pengerusi BN, yang
begitu kerap diadakan, pemimpin-pemimpin perikatan itu telah
menasihatkan parti komponen agar memasukkan 'gear lima' bagi memastikan
pergerakan memecut.
Beberapa hari menjelang perhimpunan Bersih 3.0, penganalisis dan
pemerhati politik membuat penilaian bahawa kebanjiran peserta di ibu
negara juga akan menjadi faktor yang menentukan sama ada PRU13 yang
disebut-sebut akan diadakan Jun ini atau minggu pertama Julai akan
menjadi kenyataan.
Bagaimanapun, berdasarkan peruntukan Perlembagaan Persekutuan, tarikh
pilihan raya Parlimen menjadi hak mutlak Perdana Menteri untuk
menentukan.
Malam ini, Umno mengadakan mesyuarat Majlis Tertinggi (MT). Difahamkan,
mesyuarat MT lazimnya akan diadakan Jumaat terakhir setiap bulan,
tetapi ditangguhkan sehingga ke malam ini ekoran jadual ketat Najib.
Berkongsi maklumat, Pengarah Eksekutif Merdeka Center, Ibrahim Suffian
tidak menolak impak dalam menentukan tarikh PRU13 yang sesuai.
"Saya ada turun dan melihat apa yang berlaku di Kuala Lumpur semalam,
melihat gelombang manusia, penyertaan dalam Bersih 3.0. Jumlah kehadiran
adalah cukup besar," kata beliau yang turut melihat bahawa kepimpinan
akan mengambil kira kesan dan impaknya dalam menghadapi PRU dalam waktu
terdekat.
"Jadi, saya tidak terkejut jika PRU13 dilewatkan berbanding ramalan banyak pihak kebelakangan ini," katanya.
Seorang pensyarah dari Universiti Kebangsaan Malaysia berpendapat bahawa Najib tiada banyak dalam memanggil PRU13.
Mandat semasa Kerajaan Pusat akan berakhir April 2013.
Aspek yang menarik perhatian, menurut Ibrahim, ialah kehadiran golongan muda dalam perhimpunan semalam.
"Ini satu lagi aspek yang perlu diberi perhatian oleh BN," katanya lagi.
Berdasarkan laporan Bernama semalam, Timbalan Menteri di
Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan berkata, sudah sampai masa
golongan majoriti senyap melahirkan perasaan tidak senang hati mereka
terhadap perbuatan menimbulkan huru-hara dan menzahirkan perasaan jijik
mereka dengan perbuatan yang melanggar peraturan.
"Kita tak mahu perkara huru-hara, tidak ikut peraturan ini terus
menjadi budaya minoriti yang vokal yang diketuai dan didalangi
pembangkang." katanya yang juga Ketua Penerangan Umno.
Datuk Saifuddin Abdullah, pemimpin Umno yang dilihat moderat mengakui
bilangan yang menyertai perhimpunan semalam agak besar berbanding
perhimpunan Bersih sebelum ini.
Belum ada angka rasmi mengenai kehadiran.
"Selain jumlah yang agar ramai, kehadiran juga bercirikan pelbagai kaum
dan lebih ramai kaum Cina mengambil bahagian... perkara ini perlu
diteliti," katanya yang sealiran dengan pandangan Ibrahim kepada Sinar Harian Online.
Timbalan Menteri Pengajian Tinggi ini seterusnya berkongsi pandangan
bahawa kehadiran semalam juga menggambarkan pendirian merentasi ideologi
politik.
Walaupun ada pihak yang mendakwa pemimpin-pemimpin PR 'mencuri'
tumpuan, tetapi ramai datang bukan disebabkan ideologi politik
pembangkang. Persepsi kebanyakan pihak peserta mahu menyampaikan mesej
kepada pihak berkuasa.
"Saya rasa merentasi ideologi politik. Kita perlu menangani situasi ini
dengan berhati-hati," kata beliau, yang juga anggota MT Umno, mengulas
impaknya menjelang PRU13.
Penganalisis politik Prof Madya Dr Sivamurugan Pandian tidak menolak
perhimpunan semalam akan ada kesan dalam keputusan Najib memanggil
PRU13.
"Sudah tentu, sudah tentu," katanya ketika dihubungi.
Pun begitu katanya, berdasarkan apa yang berlaku semalam, khususnya
elemen keganasan, ia akan memberi kelebihan dari segi impak kepada BN.
"Bagi saya dari segi impak, kali ini lebih memihak kepada BN berbanding PR (Pakatan Rakyat)," katanya lagi.
Seorang penganalisis veteran yang enggan namanya dipetik berkata,
jikapun Najib memutuskan untuk menangguhkan tarikh PRU13, ia tidak akan
dikaitkan dengan impak perhimpunan Bersih 3.0.
"Jika mereka (BN) memutuskan untuk menangguhkan hanya kerana Bersih
3.0, ia akan memberi kesan psikologi di kalangan pengundi. Ia akan
membawa isyarat negatif ke atas BN.
"Tetapi, pokoknya kita kena memberi perhatian bahawa jentera Umno dan
komponen BN sebenarnya belum bersedia sepenuhnya. Ya, jentera memang
sudah digerakkan, tetapi pergerakan jentera belum lancar dan halus
lagi," katanya yang meramalkan September atau November 2012 kemungkinan
menjadi pilihan Najib.
"Jadi, saya tidak akan terkejut jika PRU13 hanya akan berlangsung selepas sambutan Aidilfitri," katanya.
Seorang pegawai kanan misi diplomat asing di ibu negara juga mengakui ada kesannya.
"Segala apa yang dilakukan oleh Najib sejak lima bulan yang lalu,
tranformasi politik dan imbuhan ekonomi kepada rakyat, nampak sudah
terhakis kesan Bersih 3.0 dan cara ia ditangani.
"Awalnya, semua bergerak dengan baik. Saya rasa seolah-olah ada unsur
sabotaj ke atas usaha Najib... ini jangkaan saya," katanya merujuk
kepada 'mood' orang ramai sejak kebelakangan ini.
"Jadi, saya rasa Najib kena kembali kepada pusingan kedua membetulkan
keadaan. Najib ada masa? Ini persoalan sekarang," katanya.
Bersetuju dengan pandangan itu, penganalisis veteran yang dihubungi Sinar Harian Online
juga berkata, Najib perlu menggerakkan gelombang kedua usaha dan
inisiatif untuk memperbaiki persekitaran yang sudah tercalar dan
tercemar.
"Kita kena melakukan. Laporan PSC (Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen) sudah dibentangkan. Nampaknya mereka tidak kisah.
"Elemen marah juga ada, pada pandangan saya elemen marah ini tidak
patut berlaku. Apa pun kita kena cari jalan untuk mengatasinya. Kita
perlu teliti dan berhati-hati," kata Saifuddin.
Sinar Harian