GEOGRETOWN, 25 Nov. : Nampak gayanya, ada pihak tertentu bagaikan cacing kepanasan dan hilang arah apabila menaikkan beberapa kain rentang 'Kami tak nak wang judi' berlambangkan PAS dan Kerajaan Negeri Pulau Pinang di beberapa lokasi.
Walhal isu berkenaan telah pun senyap setelah Umno yang membangkitkan itu tersebut kena tumbukan 'KO' oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Permatang Pasir, Ustaz Saleh Man yang memperjelaskan tohmahan yang sengaja dikait dengan Kelab Lumba Kuda.
Bukan beliau sahaja yang menghuraikan isu berkenaan malahan Ketua Menteri, Lim Guan Eng telah berulang kali mengeluarkan kenyataan bahawa semua itu fitnah.
Setiausaha Dun Permatang Pasir, Saiful Lizan Mohd Yusof ketika menghubungi menyifatkan, Umno sendiri telah mati akal setelah penjelasan diberikan dalam persidangan Dun baru-baru ini apabila semua hujah yang dilemparkan menerusi suara Adun pembangkang dan media dipatahkan.
Tetapi, katanya entah kenapa tiba-tiba isu itu hendak dibangkitkan semula dengan kain rentang tersebut.
"Ada pihak terasa pedih dengan tindakan Adun PAS membantu patahkan hujah berbentuk dengki yang sering terpampang di dada akhbar. Nak buat macam mana, " tegas Saiful yang juga Timbalan Yang Dipertua PAS Bukit Bendera.
Beliau sendiri melihat kain rentang berukuran 4 kaki x 6 kaki di Jalan P. Ramlee dan terus memotongnya kerana rasa bertanggungjawab berbuat demikian.
Begitu juga Ahli Jawatankuasa Badan Perhubungan PAS Pulau Pinang, Rosli Hasan apabila terserempak dengan banner tersebut berdekatan simpang Permatang Sireh ketika dalam perjalanan ke Kepala Batas.
Sementara itu, Timbalan Pesuruhjaya PAS negeri, Rosidi Husein berkata, PAS tidak bertanggungjawab terhadap banner itu dan ia merupakan propaganda untuk menimbulkan keraguan rakyat yang telah mula memberikan sokongan kepada Pakatan Rakyat.
Ia juga membuktikan Umno 'terhegeh-heget' kononnya mahu membela nasib orang Melayu sedangkan semasa parti itu berkuasa langsung tidak memikirkan soal kebajikan rakyat.
"Kita tahu ada parti yang geram dengan peranan PAS menyokong tindakan Ketua Menteri untuk meneruskan pemberian wang penghargaan kepada warga emas.
“Namun begitu, PAS telah mengenal pasti siapa yang bertanggungjawab dan syarikat mana yang mencetakan banner berkenaan," ujarnya.