KOTA KINABALU 29 Julai: Perubahan kerajaan hampir pasti berlaku di
Sabah apabila pemimpin berpengaruh meninggalkan Barisan Nasional (BN),
kata bekas Timbalan Menteri Kabinet, Kalakau Untol.
Mengikut sejarah, bekas Timbalan Menteri Buruh antara 1986 hingga
1990 itu, berkata pertukaran kerajaan berlaku setiap kali beberapa
pemimpin utama mengubah haluan politik.
Dalam pilihan raya Sabah pada 1967, katanya, kerajaan negeri tumbang
apabila beberapa pemimpin Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut
Bersatu (UPKO) menyertai Usno.
Pada 1976, katanya, kerajaan BN tumbang apabila Datuk Salleh Sulung
dan Datuk Haris Saleh meninggalkan Usno yang menjadi kerajaan ketika
itu.
“Kerajaan yang dipimpin Parti Berjaya itu juga tidak kekal apabila
Datuk Seri Pairin Kitingan dan Mark Kodding keluar parti dan menubuhkan
PBS pada 1985.
“Namun kerajaan PBS itu pula tumbang walaupun menang pilihan raya
negeri dengan kehilangan banyak kerusi, apabila BN melakukan rampasan
kuasa seumpama di Perak,” katanya kepada Keadilan Daily.
Kalakau adalah Ketua Pemuda UPKO selama 12 tahun sejak 1985 sebelum
meninggalkan BN dan menyertai Pakatan Rakyat pada 16 Februari 2010.
Beliau juga adalah presiden Persatuan Dusun Sabah Bersatu (Usda) dan
pernah berkhidmat sebagai Senator sehingga tamat penggalnya pada
Disember 2005.
Kalakau percaya, kerajaan BN Sabah bakal tumbang berikutan gerakan
Angkatan Perubahan Sabah (APS) dan Pakatan Perubahan Sabah yang
diterajui pemimpin berpengaruh.
APS yang didominasi suku etnik Kadazan-Dusun-Murut, diketuai Ahli
Parlimen Tuaran dari BN, manakala PPS yang dominasinya Melayu-Islam
diterajui Datuk Seri Lajim Ukim.
“Apabila masyarakat Kadazan-Dusun-Murut dan Melayu-Islam bersatu, perubahan politik di peringkat negeri pasti terjadi.
“Ia tentunya melakar kemenangan dan meroboh kerajaan BN Sabah, sekali
gus melengkapkan lanskap perubahan politik di Malaysia,” katanya.
Read more ...