Sunday, September 19, 2010

Pelabur percaya kepada negeri di bawah Pakatan







































K
UALA LUMPUR, 20 Sept: PAS menganggap dakwaan Umno bahawa pelabur tidak datang ke negara ini akibat percaya dakyah pembangkang adalah satu pengiktirafan kepada Pakatan Rakyat.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Idris Ahmad secara sinis berkata, ianya juga membuktikan bahawa kerajaan BN sudah tidak dipercayai lagi dan sudah tiba masanya mandat pemerintahan negara diserahkan kepada Pakatan Rakyat.

"Kalau inilah kenyataan daripada anggota kabinet kerajaan BN yang bertanggungjawab mengenai kewangan dan pelaburan ke negara ini, maka BN eloklah ,menyerahkan madat kepada Pakatan Rakyat supaya lebih banyak pelabur datang ke negara ini," kata Idris dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah dan Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Malaysia, Datuk Mukhriz Mahathir yang mendakwa bahawa pelabur tidak datang ke negara ini kerana percaya dakyah pembangkang.

Menurut Idris lagi, faktor pelabur tidak berminat ke negara ini bukan disebabkan Pakatan Rakyat, namun kegagalan pentadbiran BN mewujudkan suasana yang kondusif yang meyakinkan pelabur.

Pelabur ujarnya tentunya melihat dan meneliti perkembangan semasa dalam negara termasuk pergolakan politik yang berlaku.

Beberapa isu besar seperti isu video klip peguam V.K, Linggam, rampasan kuasa di Perak dan pengkatan indeks rasuah sudah cukup menggerunkan mereka untuk melabur di negara ini.

"Pelabur yang hendak datang ke negara ini, bukan pelabur dalam skim “Pak Man Telo”.

"Macam mana pelabur hendak datang, kalau perjanjian yang jelas menyebut royalti kepada negeri yang ditemui minyak dicabul. Mereka pun risau apa pula jaminan pelaburan mereka, kalau dengan rakyat sendiri pun dilanggar perjanjian," tambahnya lagi.

Sebaliknya, di negeri Pakatan Rakyat seperti di Kedah, mampu menarik pelaburan sebanyak RM1.837 bilion pada tahun 2009 dan Selangor RM7.755 bilion.

"Ini menunjukkan bahawa pelabur masih percaya kepada negeri yang dipimpin oleh Pakatan Rakyat, dalam masa yang sama kerajaan pusat merungut, pelabur tidak datang kerana terpengaruh dengan dakyah pembangkang. Alasan yang paling lucu yang keluar daripada Tun Dr Mahathir ialah kerana pelabur luar tidak ada wang untuk melabur," katanya.hrkh

Read more ...

Gelaran Sultan Muhammad ke V mula digunapakai

TM Faris

KOTA BHARU, 20 Sept: Penggunaan gelaran Sultan Muhammad V mula digunapakai dalam upacara rasmi kerajaan hari ini apabila Timbalan Menteri Besar dan Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan menggunakan istilah tersebut dalam perhimpunan bulanan kakitangan Kota Darulnaim pagi ini.

Timbalan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob berkata dengan pemasyhuran Sultan Kelantan yang baru bergelar Sultan Muhammad V dalam suasana merayakan Aidilfitri baru-baru ini akan menambahkan lagi kekuatan rakyat dan negeri Kelantan dalam mewujudkan persekitaran Islam yang telah dibina sejak 20 tahun lalu.

“Sepanjang Ramadan yang baru saja berlalu, masyarakat Kelantan dapat merasai dengan jelas persekitaran baru yang ada di negeri ini yang begitu jauh berbeza dengan apa yang ada sebelum ditadbir dengan pendekatan Islam,” kata beliau di hadapan lebih seribu kakitangan awam.

Masjid-masjid menurut beliau dipimpin oleh imam-imam yang menghafal 30 juzuk al-Quran dan mendapat latihan kepimpinan Islam yang berkualiti.

“Bandar kita bergema dengan laungan zikir dan suasana ibadah yang mampu manjauhkan segala bentuk keburukan dan maksiat yang dimurkai,” ujar beliau.

Beliau melahirkan keyakinan bahawa penjawat awam Kelantan akan muncul sebagai pasukan terbaik dengan kualiti tinggi selepas sebulan menyertai tarbiyah Ramadan.

“Pelbagai program Ramadan seperti Qiamullail, tadarus Quran, solat sunat Tarawih dan pelbagai lagi sudah pasti akan mengangkat darjat kita semua menjadi mereka yang siap sedia memikul beban berkhidmat untuk rakyat sebagai hamba Allah yang terbaik (ahsanu amala),” jelas beliau lagi.

Sementara itu Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Aiseri Alias yang menjelaskan kronologi pemasyhuran Sultan baru-baru ini berharap setiap anggota kakitangan memahami dengan baik isu ini agar dapat menjadi jurucakap kerajaan jika terdapat suara-suara sumbang yang cuba mengelirukan perkara sebenar.

“Kita sedar ada pihak yang cuba menggunakan akhbar untuk menimbulkan keraguan berkaitan pemasyhuran baginda Sultan, dan menjadi tanggungjawab saya untuk memberi penjelasan supaya semua pihak mendapat gambaran yang sebenar,” kata beliau.

Beliau kemudian menjelaskan dengan terperinci kaedah perlantikan Sultan yang baru berdasarkan pindaan kepada undang-undang tubuh kerajaan negeri yang telah diwartakan pada 20 Julai yang lalu.

“Kita turut sukacita kerana Duli Yang Maha Mulia Sultan yang baru berkenan untuk meminda beberapa kebiasaan supaya lebih bertepatan dengan kehendak Islam,” ujar beliau.

Antara lain, Aiseri mengumumkan penggantian penggunaan Daulat Tuanku dengan Allahu Akbar dan penggunaan gelaran Sultan Muhammad ke V bagi diri baginda.hrkh

Read more ...

Kerajaan Negeri akan memberi kerjasama kepada Darussyifa’


ALOR SETAR, 20 Sept. : Kerajaan Negeri sedia menawarkan bantuan kepada Darussyifa’ Malaysia Cawangan Alor Setar agar manfaat daripada institusi berkenaan dapat dikongsi oleh seluruh rakyat negeri ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak berkata, beliau berbangga dengan kejayaan kumpulan pertama menamatkan Kursus Pengubatan Islam Darussyifa’ semalam.


“Kerajaan Negeri akan memberi kerjasama dan bantuan kepada Darussyifa’, bukan dari segi kewangan tetapi kemudahan, apatah lagi Darussyifa’ merupakan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

“Saya juga berharap ada kumpulan kedua yang mengikut jejak langkah kumpulan pertama ini,” katanya yang turut menggalakkan mana-mana pihak atau individu yang berminat, terlibat dengan Darussyifa’,”

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Pengijazahan Kursus Pengubatan Islam Darussyifa’ Cawangan Alor Setar, di Dewan Seri Mentaloon, di sini.

Sementara itu, majlis pengijazahan Kursus Pengubatan Islam Darussyifa’ Cawangan Alor Setar disempurnakan oleh Pengasas dan Penasihat Darussyifa’ Malaysia, Datuk Dr Haron Din.

Difahamkan, kumpulan pertama itu disertai seramai 152 iaitu 122 lelaki dan 30 perempuan, namun hanya 127 peserta iaitu 99 lelaki dan 28 perempuan yang berjaya menamatkan kursus.

Sementara itu, Haron Din dalam amanatnya menasihatkan peserta yang mengikuti kursus di Darussyifa’ tidak meninggalkan amalan zikir selain mengamalkan apa yang mereka pelajari sepanjang kursus.

“Saya gembira kerana ramai yang berjaya melepasi halangan, hanya sebilangan kecil yang gugur di pertengahan jalan. Kepada yang berjaya, perlu diingat bahawa mereka akan berhadapan dengan pelbagai karenah dalam masyarakat.

“Saya sedar bahawa bukan semua akan terlibat dalam kerja-kerja rawatan, nasihat saya agar janganlah meninggalkan amalan zikir serta mengamalkan apa yang sudah dipelajari di Darussyifa’,” katanya.

Menurutnya, perbuatan sihir boleh berlaku di mana-mana sahaja, tidak hanya di Kedah dan perlulah menggunakan kaedah yang betul untuk merawatnya.

“Biasanya jika berlaku sihir dalam masyarakat, mereka akan mencari sihir juga untuk mengubati sedangkan itu salah, sihir perlulah dirawat dengan kaedah yang betul dan kita hanya boleh merawat sekadar termampu, selebihnya serahkan pada Allah untuk menyembuhkannya,” katanya.

Read more ...

Kamalanathan tak berhadas besar ?



KUALA LUMPUR, 20 Sept:
Sultan Selangor diharap tidak membiarkan Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (Mais) dan Pengarah Jabatan Agam Islam Selangor (Jais) terus bersikap double standard apabila Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) yang tidak beragama Islam masuk ke dalam masjid, kata Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar.

Mengulas pendedahan Ahli Jawatankuasa Politik PAS, Khalid Abdul Samad bahawa Ahli Parlimen Hulu Selangor, P Kamalanathan berada di dalam Masjid Sungai Tengi Selatan untuk menyampaikan cek, Mahfuz menempelak sikap membatu dan membisu Pengerusi Mais, Datuk Mohamad Adzib Mohd Isa dan Pengarah Jais, Datuk Mohammed Khusrin Munawi.

"Sebelum ini Mais mengambil alih Surau Al-Huda di Kajang kononnya kerana Ahli Parlimen Serdang Teo Nie Ching memberikan 'tazkirah' di surau itu manakala Khusrin pula memberikan 'fatwa' kononnya orang bukan Islam adalah 'dilarang memasuki ruang solat kerana mereka dalam berkeadaan hadas besar'.

"Mana fatwa 'hadas besar' Khusrin yang turut digunakan oleh (Menteri Dalam Negeri Datuk Seri) Hishammuddin (Tun Hussein) apabila Kamalanathan berada di dalam masjid?" kata Ahli Parlimen Pokok Sena itu.

Beliau menyifatkan apa yang berlaku itu memperlihatkan Pengerusi Mais dan Pengarah Jais ‘menggunakan neraca politik’ dalam tindakan mereka.

"Mereka jelas menampakkan bahawa mereka menggunakan neraca politik dan bukan neraca agama dalam tindakan mereka.

"Lebih dari itu, mereka juga memperlihatkan dengan amat jelas bahawa mereka adalah kakitangan Umno dan Barisan Nasional (BN)," kata Mahfuz.


Perbuatan mereka juga, katanya lagi, boleh menyebabkan diri mereka dianggap memberikan nasihat yang berbentuk hasutan kepada Sultan.

"Apabila mereka bersikap double standard dalam isu Teo dan Kamalanathan, amat jelas mereka melakukan tindakan-tindakan yang menjatuhkan maruah Sultan Selangor," kata beliau.

Sebab itulah, kata Mahfuz, beliau berharap Sultan Selangor tidak membiarkan kedua-duanya menjadikan hal-ehwal Islam sebagai mangsa kepentingan politik mereka.

Read more ...

PKR tak berpecah


SHAH ALAM, 20 Sept. : Pemimpin Pakatan Rakyat (PR) Selangor menafikan pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) bakal mencetuskan perpecahan dalam kalangan ahli parti berkenaan.

Timbalan Pesuruhjaya II PAS Selangor, Iskandar Abdul Samad berkata, beliau yakin dengan ahli PKR namun tidak menolak bahawa setiap ahli akan memihak kepada calon yang disokong mereka.


Menurutnya, apa yang berlaku semasa kempen pemilihan mesti dilupakan demi kebaikan parti secara keseluruhannya.

“Ini tidak dapat dielakkan tetapi saya harap kempen oleh calon adalah kempen yang bersih. Jika ini tidak berlaku maka ia akan memberi kesan kepada hubungan di antara ahli selepas pemilihan PKR.

Iskandar turut mengingatkan pemilihan ini amat penting bukan hanya kepada PKR tetapi PR kerana selepas pemilihan pimpinan, beliau berharap ahli PKR dapat memberi tumpuan kepada tugas besar di hadapan mereka selepas ini.

“Jangan akibat dari kempen itu mereka melalaikan diri daripada matlamat untuk merampas Putrajaya di samping mempertahankan negeri-negeri yang sedang diperintah,” katanya.

Ketua Penerangan PAS Selangor, Roslan Shahir Mohd Shahir pula berkata, situasi pemimpin mempunyai penyokong masing-masing adalah perkara biasa dalam mana-mana parti politik.

Bagaimanapun katanya, dalam PKR ia adalah sesuatu yang baru yang tidak pernah diamalkan oleh parti politik yang lain di Malaysia.

Malah katanya, ia adalah suatu proses pemilihan yang menarik dan mampu mencerminkan proses pemilihan yang lebih demokrasi.

“Dengan kekuatan dalaman yang ada pada PKR, saya rasa mereka akan dapat menempuhi dengan baik. Dan saya harap ahli diberi ruang untuk memilih pemimpin yang terbaik.

“Apa yang penting, dalam parti politik yang dewasa adalah bagaimana mereka menanganinya selepas berakhir proses pemilihan itu,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi DAP Selangor, Ean Yong Hian Wah turut berkongsi pandangan sama dengan Roslan dan Iskandar malah yakin hubungan setiap ahli akan lebih kukuh.

“Pada pendapat saya, parti PKR adalah satu parti yang matang. Jadi saya nampak, dalam proses pemilihan ini adalah berdemokrasi.

“Saya tidak nampak ia akan menyebabkan perpecahan dalam parti mereka dan menyambut baik serta menyokong cara demokrasi yang digunakan dalam pemilihan parti itu,” katanya.SH

Read more ...

Selepas tak memerintah, Umno jadi tukang fitnah




























GEORGETOWN 19 SEPT : Ketua Menteri Pulau Pinang menafikan sekeras-kerasnya tuduhan pihak tertentu dan Pemuda Umno yang mendakwa sumbangan Kerajaan Negeri kepada warga emas dan waris mereka adalah dari hasil judi.

Lim Guan Eng menyifatkan tuduhan yang dilemparkan itu adalah amat tidak bertanggungjawab dan tidak berasas sama-sekali.

Beliau menggesa Umno, yang menyokong kuat perlaksanaan lesen judi sukan supaya insaf dan memperbetulkan kegelinciran moral dalam parti mereka sendiri.

Dari laman Twitter-nya, Guan Eng menyifatkan tuduhan dari Pemuda Umno itu adalah perbuataan munafik.

" Hanya umno jahil sahaja cakap kerajaan Pulau Pinang guna duit judi bila lesen judi dibagi kerajaan BN. Mana kerajaan Pulau Pinang dapat wang judi? Ini kerja jahat munafik! tulis beliau dalam Twitternya malam tadi.

Pergerakan Pemuda Umno Pulau Pinang meminta kerajaan negeri menjelaskan dakwaan satu laman blog yang menuduh warga emas Pulau Pinang menerima sumbangan hasil judi sebanyak RM100 setahun manakala waris keluarga warga emas yang meninggal dunia menerima RM1,000.

Kerajaan negeri menganggap dakwaan itu muslihat Umno menyerang kepimpinan Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng selepas gagal dalam isu khutbah bulan lalu.

" Kerajaan Pulau Pinang memberikan wang kepada rakyat ia dikatakan wang haram tetapi wang yang diberikan kepada kroni mereka bagaimana? Saham Bumiputera RM52 bilion halal sejak ia dirampas kroni BN!" ujar Guan Eng.

Setiausaha Publisiti DAP Pulau Pinang Ng Wei Aik berkata sumbangan itu adalah hasil dari pendekatan jimat cermat yang diamal kerajaan negeri sejak Mac 2008.

“Pada 2008 perbelanjaan yang berhemah dan sikap jimat cermat oleh kerajaan negeri, daripada peruntukkan sebanyak RM318.56 juta yang dibelanjakan hanya RM283.15 juta. Penjimatan sebanyak RM35.41 juta atau 11 peratus telah digunakan untuk manfaat warga emas dan waris mereka yang kehilangan ibu dan bapa,” kata Ng.

Read more ...

Jika benar Zambry dapat sokongan, bubar dewan

IPOH, 19 Sept. : Jika benar, bubar Dewan dan adakan pilihanraya - itu cabaran Datuk Seri Nizar Jamaluddin kepada Menteri Besar Zambry Kadir yang mendakwa sokongan untuk Umno-Bn di Perak semakin mantap.

"Saya ulangi cabaran saya. Ini bukan pertama kali...banyak kali dia sebut bahawa Umno disayangi semula (dan) BN diberikan sokongan padu...jadi kalau betul, beliau harus pulihkan demokrasi di Perak dan adakan semula pilihanraya,' kata beliau kepada Tv Selangor.


Bernama hari ini memetik Zambry sebagai mendakwa sokongan rakyat di Perak terhadap BN semakin memuncak kerana ramai yang menerima baik gagasan 1 Malaysia ciptaan Perdana Menteri, Najib Razak.


Nizar yang juga Ahli Parlimen Bukit Gantang, beberapa kali mencabar Zambry untuk mengadakan pilihan raya negeri untuk mendapatkan mandat daripada rakyat yang menyokong Pakatan rakyat pada pilihanraya umum 2008.

Selepas kejayaan pembangkang itu, Nizar menjadi Menteri Besar tetapi digulingkan apabila Umno memancing tiga ADUN pembangkang untuk menyokong Barisan Nasional.

Dua daripada mereka menghadapi tuduhan rasuah ketika itu tetapi dibebaskan setelah menyokong BN untuk membentuk kerajaan negeri yang baru.

Sehingga ini, Zambry tidak pernah menyahut cabaran Nizar walaupun sering mendakwa Umno semakin diterima rakyat.

"Tetapi apabila mereka tidak menyahut keyakinan itu bermakna itu hanyalah kenyataan-kenyataan sonsang untuk menyedapkan diri mereka" tegas Nizar lagi.

Menurut Nizar lagi, Zambry dalam keadaan begitu terdesak sehingga terpaksa merujuk kepada dakwaan beberapa pemimpin Angkatan Muda Keadilan Perak dan 72 anggota Wanita cabang Ipoh Barat bertindak keluar parti sebagai bukti sokongan Umno makin kuat.

Hakikat ialah mereka yang keluar itu menghadapi masalah displin, malah ada antara mereka bukan ahli PKR sama sekali.

Nizar berkata kenyataannya ialah Zambry semakin ditolak oleh rakyat Perak.

"Orang di tempat dia sendiri di Pangkor, telah menolak dia. Itulah sebabnya dia mengeluarkan kenyataan itu untuk meyakinkan diri dia dan BN bahawa mereka masih kuat sedangkan hakikatnya orang di sana sudah tidak berkenan pada dia," kata Nizar. -TVS

Read more ...

Ramadan tak insafkan Umno





































KUALA LUMPUR 19 Sept. : Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim membidas sikap pemimpin Umno-Barisan yang tidak menginsafi serta prihatin kepada kesusahan rakyat terutamanya umat Islam yang menjalani ibadah puasa dan menyambut Aifilfitri dalam keadaan terpaksa menghadapi bebanan kenaikan harga barangan.

Anwar berkata bagi golongan elit pemerintah ibadat puasa tidak diambil sebagai iktibar untuk insaf dan bertaubat malah terus menerus merompak hak rakyat.

"Hari Raya kita tengok semangat kerjasama antara rakyat berbilang kaum, yang berpuasa orang Islamlah, tetapi yang menjamu selera melibatkan semua kaum, ini satu budaya yang bagus. Keadaan ini kita lihat berbeza dengan parti pemerintah di mana yang susah adalah rakyat tetapi yang kaya dan kenyang pemimpin di atas.

"Apabila kita berpuasa iaitu tidak makan, minum serta menjada disiplin agar kita insaf. Dalam Al Quran Allah memerintahkan berpuasa seperti mana umat sebelum ini melakukannya. Ini bermaknanya puasa ini diamalkan oleh semua agama sebelumnya - Kristian, Yahudi, Buddha, Hindu ada puasa masing-masing dan dalam Islam juga ada puasa dengan peraturan tertentu.

"Untuk apa kita berpuasa? Untuk jadi baik, insaf serta ingat bahawa kita adalah hamba Tuhan. Orang yang susah ramai jadi apabila kita berpuasa kita ingat akan mereka.

"Tapi sesetengah orang puasa tapi makan rasuah juga, puasa tapi balak rakyat ambil juga. Berpuasa matlamatnya hendak jadikan manusia baik, supaya insaf, jangan ambil harta orang, jangan cukai, jangan bebankan harga minyak naik. Setahun sekali bagi RM100 seorang kepada orang miskin tapi dia (Umno-BN) ambil RM10 juta," kata Anwar ketika berucap semasa menghadiri jamuan rumah terbuka Aidilfitri anjuran Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Cabang Batu di Dewan Komuniti Bandar Baru Sentul petang semalam.

Ahli Parlimen Permatang Pauh itu juga mengkritik konsep 1Malaysia kepunyaan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang dianggap mendiskriminasi rakyat kepada dua golongan yang berbeza.

"Tak usah propagandalah 1Malaysia. 1Malaysia bagi yang kaya lagi kaya dan bagi rakyat ada 2Malaysia - satu untuk orang kaya di atas dan satu untuk yang di bawah. 1Malaysia di satu pihak ambil, angkut, kaut kekayaan dan 1Malaysia yang satu lagi rakyat kena bayar cukai," ujar beliau.

Anwar juga menyentuh dua laporan ekonomi badan antarabangsa yang telah meletakkan Malaysia dalam tahap yang memalukan.

"Dua laporan ini mengejutkan dan berbeza dengan apa yang di cakap oleh Perdana Menteri. Dia kata tidak ada masalah, rakyat bagus dan semua cukup makan, hari raya semua datang makan, ekonomi bagus, rakyat suka. Siapa cakap? Menteri Kewangan dan Rosmah tapi laporan World Economic Report mengatakan daya saing Malaysia jatuh lagi.

"Rumusan Merill Lynch mengatakan tarikan Malaysia habis, tidak ada tarikan lagi, jatuh teruk. Bila jatuh orang tidak melabur, maknanya kerja kurang dan pengangguran meningkat.

"Minyak untung satu tahun RM70 bilion tapi harga minyak tetap naik. Bila kita tanya Menteri dia kata naik sikit sahaja. Sikit bagi orang kaya yang gaji RM100,000 sebulan, naik RM1 tidak ada apa-apa kesan, bagi yang gaji RM1,000 sebulan naik RM10 ada kesan. Sebab itu kalau nak jadi ketua kena fikir rakyat terbanyak, tengok rumah mereka, tengok tempat permainan mereka, tengok surau tempat ibadat mereka, tengok sekolah mereka, bukan sekolah untuk anak-anak orang besar, bukan rumah orang besar duduk. Baru boleh aman dunia ini," jelas beliau lagi.

Read more ...

Pemuda PAS Perak bantu cari remaja hilang

KAMPAR, 19 Sept: Dewan Pemuda PAS Negeri Perak hari ini memulakan gerakan mencari tiga remaja perempuan dari Taman Sentosa, dekat sini yang dilaporkan hilang sejak 2 Syawal lepas masih belum dijumpai.

Pemuda PAS juga mengambil kesempatan menziarahi keluarga remaja tersebut yang diketuai oleh Ketua Pemuda Kampar yang juga Exco Pemuda PAS Perak, Ridzuan Rashid bersama Ketua Pemuda Teluk Intan, Abdul Fatah Awang.

Turut serta beberapa pimpinan PAS Kawasan Kampar dan juga Ahli Jawatankuasa Kerja Pemuda PAS Tapah, Kampar dan Teluk Intan.

Pemuda PAS Perak dalam pertemuan bersama ahli keluarga remaja tersebut merakamkan rasa simpati di atas apa yang berlaku dan berharap mereka tabah, bersabar dan memperbanyakkan doa agar anak-anak mereka segera ditemui dan kembali ke pangkuan keluarga dengan segera.

Kehilangan tiga remaja itu telah dilaporkan oleh media arus perdana dan usaha masih diteruskan bersama polis bagi menjejaki mereka.

Pemuda PAS negeri turut melancarkan gerakan bagi membantu mencari remaja yang hilang itu dengan mengedar poster gambar mereka kepada orang ramai.

Menurut Penolong Setiausaha Pemuda PAS negeri, Safarizal Saleh, arahan juga telah diberikan kepada seluruh Dewan Pemuda PAS kawasan-kawasan untuk turut membantu mengesan remaja yang hilang tersebut terutamanya di Pasir Salak, Teluk Intan,Tapah dan Kampar.

“Pemuda PAS amat mengharapkan agar seluruh masyarakat turut sama mencari dan mengesan remaja yang hilang itu. Sesungguhnya setiap manusia tidak dapat hidup dengan sendiri tanpa bantuan dan sokongan dari semua pihak,” ujarnya.

Read more ...