TEMERLOH, 18 Jan. : PKR Pahang bersedia menyahut cabaran debat oleh Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin, namun lawannya nanti bukannya Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Sebaliknya PKR negeri mencalonkan Timbalan Pengerusi II, Biro Hal Ehwal Orang Asal PKR Pahang, Yusri Ahon sebagai orang yang sesuai berdebat dengan Ahli Parlimen Rembau itu.
Pengerusi PKR Pahang, Datuk Fauzi Abd Rahman berkata, Yusri Ahon adalah calon yang sesuai untuk berdebat dengan Khairy yang menawarkan diri menggantikan tempat Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak bagi berdebat dengan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
"Jika Khairy mahu menggantikan tempat Najib, maka Yusri adalah calon paling layak untuk berdebat dengannya pula.
“PKR sedia sahut cabaran Khairy itu namun beliau perlu lawan Yusri dan bukannya Anwar,” katanya kepada Sinar Harian selepas mesyuarat pertama PKR Pahang penggal 2011, di sini, semalam.
Sementara itu, Ketua Pemuda UMNO Pahang, Abu Jimi Samat berkata, Yusri Ahon bukanlah orang yang paling sesuai untuk berdebat dengan Khairy memandangkan yang memulakan cabaran perdebatan itu adalah Anwar sendiri.
Menurutnya, selain Anwar, perlu ada pemimpin lain dalam PKR yang membuat keputusan dalam parti terutamanya mereka yang membentangkan pelan 100 Hari Menawan Putrajaya.
“Saya rasa Yusri tidak layak berdebat dengan Khairy memandangkan dia bukanlah seseorang yang boleh membuat keputusan dalam PKR dan yang layak hanyalah Anwar,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Beliau berkata, tindakan PKR Pahang mencalonkan Yusri adalah semata-mata untuk menjadi wira serta mencari nama pada pandangan Anwar.
Abu Jimi, sekiranya debat antara Khairy dan Yusri berlaku, ia tidak akan menjadi debat pelan 100 Hari Menawan Putrajaya, tetapi sekadar debat biasa antara BN dan PKR.
“Apa yang dilakukan PKR Pahang adalah semata-mata untuk mencari populariti segera,” katanya.SH
1 comment:
membaca kata-kata ketua pemuda umno pahang menunjukkan bahawa puak umno nih tak ada akal. apalah pemuda umno nih. pilih ketua macam tu?
Post a Comment