Sunday, July 17, 2011

Aziz kalau nak bercakap bagi pihak UMNO baik letak jawatan Pengerusi SPR




Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof terus menyerang kepimpinan Bersih 2.0 dengan mendakwa mereka didalangi parti politik dan “tidak benar-benar ikhlas.”

“Saya sebenarnya tidak pasti adakah penganjur perhimpunan haram Bersih benar-benar ikhlas atau mempunyai maksud lain di sebalik perhimpunan itu,” kata Aziz dalam tulisannya disiarkan Mingguan Malaysia, akhbar Kumpulan Utusan hari ini.

Aziz juga mendakwa beliau berpandangan sedemikian kerana dalam perjumpaan pertamanya dengan Bersih 2.0 akhir tahun lalu, pihaknya memaklumkan bahawa ia adalah gabungan badan bukan kerajaan (NGO) dan tidak melibatkan parti politik.

Bersih 2.0 dianggotai oleh sebanyak 62 NGO dan mengemukakan tuntutan lapan perkara dalam membawa pembaharuan sistem pilihan raya.

“Penganjur Bersih mendakwa mereka berkecuali. Tetapi daripada apa yang dilihat sama ada gambar-gambar dan kenyataan parti-parti politik pembangkang, penganjur Bersih sudah memihak dengan jelasnya kepada pembangkang,” kata beliau.

Pengerusi Bersih 2.0 Datuk S Ambiga berulang kali menekankan bahawa pihaknya telah mengundang kesemua parti politik - Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat menyertai usaha mereka menuntut pembaharuan pilihan raya, tetapi ia hanya disambut oleh komponen Pakatan Rakyat.

Sebaliknya, BN dan pihak-pihak yang pro-BN mendakwa Bersih 2.0 bersekongkol dengan komponen Pakatan Rakyat.

“Kita semua nampak mereka turun padang bersama-sama pemimpin-pemimpin parti politik seperti Anwar Ibrahim, Haji Hadi Awang dan banyak lagi.

“Wakil-wakil NGO yang datang berjumpa dan berunding dengan saya dulu tidak kelihatan kecuali Marina Mahathir dan dua tiga orang lagi,” kata Aziz sambil menambah, “jadi kenyataan Ambiga kepada saya bahawa Bersih tidak langsung memihak kepada parti politik adalah tidak benar sama sekali.”

Tambahan pula tulis Aziz, baru-baru ini Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengugut SPR supaya mengambil tindakan atas lapan tuntutan itu, kalau tidak mereka akan mengadakan tunjuk perasaan lagi.

“Kenapa pula sebelum ini Bersih dan tiba-tiba sekarang parti politik PAS menyuarakan perkara itu?

“Jadi, sekarang sudah jelas Bersih didalangi atau diperalatkan. Mereka bersekongkol dengan parti politik,” kata Aziz lagi.

Aziz menambah, Bersih 2.0 tidak lagi sebuah badan yang berkecuali, sebaliknya “seolah-olah sudah menjadi parti politik.”

Bersih 2.0 mengadakan perhimpunan pada 9 Julai lalu di ibu negara meskipun dihalang dan disekat oleh pihak berkuasa termasuk Putrajaya mengisytiharkannya sebagai sebuah badan haram.

Sehubungan itu, Aziz juga berkata bagi diri beliau demonstrasi jalan raya tidak menyelesaikan masalah dan lebih malang lagi difahamkan memorandum berkaitan tuntutan mereka belum dikemukakan kepada Yang di-Pertuan Agong lagi.

“Kalau mereka betul-betul jujur sepatutnya sewaktu berjumpa Yang di-Pertuan Agong baru-baru ini mereka boleh menyerahkan memorandum itu.

“Bukan sahaja boleh menyerahkan, malah menerangkan kenapa mereka membuat tuntutan itu. Kenapa mereka tidak melakukan itu dan memilih demonstrasi haram di jalanan?” katanya.

Dalam tulisannya Aziz juga menyentuh mengenai tuntutan dihentikan amalan politik kotor.

Aziz berkata, sebenarnya semua orang tidak suka orang main politik kotor dan sebab itu “kita adakan undang undang supaya orang politik ini jangan bermain politik kotor.”

“Tetapi politik kotor ini dilakukan oleh ahli ahli politik, sepatutnya mereka sendiri yang menghalang politik kotor misalnya dengan tidak menipu, amanah, tidak kata lain buat lain,” kata beliau lagi. -TMI

Ulasan GB

Kempen BERSIH 2.0 adalah dari badan berkecuali. Itu sahih. Yang menyokong kempen berkenaan adalah mereka dari pelbagai parti - dan di dalam konteks BERSIH 2.0 - didapati parti komponen Pakatan Rakyat menyertainya. Ia tidak sepatutnya menjadi isu. Jika komponen BN tidak menyertainya, ia bukan salah badan NGO yang menganjurkan kempen berkenaan. Sepatutnya SPR melihat kepada isu apa yang dituntut oleh BERSIH, bukan menelek kepada siapa yang menyokong kempen berkenaan. SPR hanya mengemukakan daleh untuk berdolak-dalik sepanjang masa mengenai tuntutan yang dikemukakan BERSIH.

Kedua soal Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengugut SPR supaya mengambil tindakan atas lapan tuntutan itu, kalau tidak mereka akan mengadakan tunjuk perasaan lagi.

Ia memang wajar. Jika tuntutan badan NGO sendiri tidak dihormati dan didengari oleh SPR, parti politik BERHAK untuk mendesak SPR supaya melaksanakan tuntutan itu>. Apatah lagi PAS sebagai badan politik yang sah di sisi perlembagaan adalah pihak yang terkena penganiayaan secara lansung hasil dari kepincangan dan sikap senget sebelah SPR selama ini. Jadi tidak salah jika PAS pula yang menjadi penggerak kepada tuntutan BERSIH yang SPR pekakkan telinga itu. Dimana salahnya?

Ketiga, Pengerusi SPR mempersoalkan mengapa Ambiga tidak menyerahkan memorandum kepada Yang Dipertuan Agong sewaktu menemui baginda.

Dengar sini Tan Sri. Jika Agong sendiri tidak mempersoalkan hal tersebut kepada Ambiga, siapa Tan Sri yang nak berlagak lebih tinggi daripada Yang Dipertuan Agong menyoal Ambiga? Jika Agong sendiri sudah bersetuju supaya perhimpunan diteruskan cuma baginda meminta ia dibuat di stadium, mengapa PM dan kabinetnya menghalang stadium merdeka digunakan dan mengapa polis menutup semua jalan menuju ke stadium berkenaan. Jika Agong sendiri sudah bersedia untuk menerima watikah tuntutan sewaktu wakil BERSIH tiba di pintu pagar istana, tiba-tiba dihalang oleh polis, binatang apakah mereka-mereka ini yang sanggup menentang titah baginda?

Apa yang jelas pihak yang menentang titah Agong itu adalah pihak yang takut dengan tuntutan BERSIH kerana mereka tahu jika SPR sudah terlepas dari cengkaman mereka, harapan untuk mereka pertahankan Putrajaya terlalu tipis.

Kami menyatakan dengan jelas bahawa pilihanraya perlu diadakan dengan telus, bersih dan adil. Jika SPR sudah dilihat tidak melaksanakan amanah yang diberikan kepadanya secara telus dan adil, maka itu sebab mengapa rakyat menghadap ke bawah duli Yang Dipertuan Agong.

Dan jika itu masih dihalang dan dituduh mengadakan perhimpunan haram di jalanan (sedangkan kamu-kamulah yang menghalang kami berhimpun di stadium) maka kami tiada pilihan lain selain mengadu kepada Allah s.w.t.

Apabila kami merayu di "sana", bersiap sedialah kamu-kamu untuk menerima hukumanNya.

Dan jika takdirnya PR memerintah selepas ini, kami tuntut SPR dibersihkan dan jika terbukti wujud salahlaku serta penipuan oleh SPR selama ini, Pengerusi dan timbalannya boleh dipenjarakan!

1 comment:

Anonymous said...

lagi banyak budak aziz ni bercakap lagi banyak kita nampak kepincangan SPR.. rakyat mula nampak selama ni ditipu oleh SPR.. isu persempadanan semula pengundi menampakkan SPR cuba memenangkan BN.. daftar undi didapati tidak bersih.. undi pos tidak telus... banyak cerita pengundi pos tak pernah pangkah undi... ni semua bukan si aziz tu tak tahu... kenapa takut sangat dengan dakwat kekal... rakyat tertanya-tanya...