KUALA LUMPUR, 20 Julai: Jabatan Undang-Undang dan Hak Asasi Manusia (Juham) Dewan Pemuda PAS Malaysia akan mengkaji setiap sudut berkaitan keganasan pihak polis terhadap seorang lelaki berketurunan Cina dari Sarawak, Hii Tiong Huat, 59, yang ditahan polis sempena perhimpunan aman Bersih 2.0 di Kuala Lumpur pada 9 Julai lalu.
Sepanjang berada dalam tahanan polis, Hii Tiong Huat didakwa telah dikasari oleh pihak polis dengan pelbagai perlakuan yang tidak sepatutnya sehingga menyebabkan beliau pengsan.
Pengarah Juham, Ahmad Zamri Asa'ad Khuzaimi menjelaskan, kajian tersebut akan dibuat bersama laporan-laporan lain bagi membolehkan Juham mengambil tindakan lebih lanjut berhubung keganasan pihak polis.
Menurut beliau, ia juga adalah lanjutan kenyataan Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Khalid Abu Bakar yang menyarankan agar setiap pihak yang menjadi mangsa keganasan polis tampil mengemukakan bukti berhubung dakwaan masing-masing.
Katanya, kes yang berlaku ke atas Tiong Huat ternyata merupakan sebahagian daripada keganasan polis terhadap orang awam, khususnya para peserta perhimpunan aman Bersih 2.0 anjuran Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) di Kuala Lumpur pada 9 Julai lalu.
"Tindakan keganasan polis terhadap Tiong Huat sememangnya tidak boleh dinafikan lagi oleh setiap pihak, malah Tiong Huat sendiri telah pun membuat laporan polis akibat keganasan polis yang berlaku ke atas beliau," katanya ketika ditemui di Mahkamah Sesyen Jenayah Kuala Lumpur, di sini, hari ini.
Tiong Huat, menurut beliau, bukan ditahan pada hari perhimpunan, malah sehari sebelum perhimpunan itu diadakan hanya disebabkan beliau memakai baju kuning, tetapi bukan baju kuning Bersih 2.0.
"Beliau ditahan di Balai Polis Dang Wangi. Ketika ditahan di Dang Wangi, beliau telah dipukul oleh pihak polis. Selepas itu, beliau ditahan reman pula selama 4 hari di Pusat Tahanan Bukit Jalil.
"Semasa ditahan di Pusat Tahanan Bukit Jalil, Tiong Huat dipukul lagi sehingga pengsan, manakala wangnya pula turut hilang ketika berada dalam tahanan polis," katanya.
Akibatnya, jelasnya, Tiong Huat terpaksa mendapatkan rawatan di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) dan Hospital Tung Shin di Jalan Pudu, Kuala Lumpur.
"KDN kata polis tak ganas dalam menangani perhimpunan itu. Tapi kes yang berlaku ke atas Tiong Huat itu, belum berhimpun pun dah ditangkap dan dikasari pula oleh pihak polis.
"Pada hal sebelum itu, pihak polis juga berkata, tidak salah pakai baju kuning, tetapi yang salah hanya pakai baju kuning Bersih 2.0. Tiong Huat pula tak pakai baju kuning Bersih 2.0. Dia hanya memakai baju kuning. Kenapa dia ditangkap?
"Selain itu, Tiong Huat ternyata dikasari oleh pihak polis semasa berada dalam tahanan polis. Dia dipukul, ditampar di muka, ditendang, malah sehingga pengsan. Tidakkah semua yang berlaku ke atas Tiong Huat itu antara bukti nyata keganasan pihak polis?" katanya.
Sementara itu, Hii Tiong Huat ketika ditemui menjelaskan, laporan berhubung keganasan pihak polis terhadap beliau telah dibuat di Balai Polis Sungai Besi, Cheras pada 13 Julai lalu jam 1.28 tengah hari.
Dalam laporan itu, beliau berkata, pada jam 3.00 petang 9 Julai lalu, beliau telah dimasukkan ke Pusat Tahanan Bukit Jalil, Kuala Lumpur kerana memakai baju kuning, setelah ditangkap pada 8 Julai di Petaling Street, di sini.
Menurutnya, semasa proses tukar baju di Pusat Tahanan Bukit Jalil, seorang anggota polis dengan kasar telah menyuruh beliau memasukkan seluar dan barang-barangnya ke dalam beg plastik yang dibekalkan kepadanya.
Katanya, beliau ingin senarai barang-barangnya direkodkan, tetapi anggota polis yang bertugas dengan marah mengatakan kepada beliau supaya jangan bising dan telah menampar mukanya beberapa kali sehingga cermin matanya rosak dan beliau tidak sedarkan diri.
"Kemudian saya telah memasukkan seluar saya yang berisi duit lebih kurang RM300.00, jam tangan, rantai jed, buku kecil dan seluar dalam ke tempat simpanan.
"Selepas itu, saya dimasukkan ke blok A Pusat Tahanan Bukit Jalil, tetapi saya tidak dapat tidur semasa berada di Pusat Tahanan Bukit Jalil kerana ada orang yang ditempatkan dalam sel lokap saya 15 orang, manakala kelulasan sel lokap pada andaian saya hanya 18 kaki panjang," katanya.
Ketika dalam tahanan di pusat tahanan itu, dakwanya, beliau tidak dibekalkan dengan berus gigi, kain tuala, makan tidak cukup dan tiada sabun badan.
"Pada jam 11.00 pagi 12 Julai, saya dibawa ke IPD Dang Wangi dan dibebaskan pada jam 6.00 petang 12 Julai. Pada jam 11.00 pagi 13 Julai, saya datang semula ke Pusat Tahanan Bukit Jalil untuk mendapatkan kembali barang-barang saya.
"Tetapi saya dapati wang yang disimpan di dalam poket seluar saya hanya tinggal RM172.00 bersama barang-barang saya yang lain yang berada di dalam beg plastik yang disimpan di Pusat Tahanan Bukit Jalil.
"Saya percaya duit saya telah diambil oleh anggota polis yang menampar saya pada hari saya dimasukkan ke Pusat Tahanan Bukit Jalil kerana anggota polis tersebut tidak merekodkan duit dan barang-barang saya yang disimpan dan saya cam anggota polis tersebut.
"Dengan ini, saya tidak puas hati dan mahu pihak polis menjalankan siasatan," katanya.
3 comments:
agi idup agik ngelaban!!!
Kesian orang tua ni. Buat apa nak pukul dia. Penjenayah besar seperti pembunuh dan pengganas pun tidak dikasari begini.
Sepatutnya pihak PR dah siapkan senarai nama pegawai polis yang akan dan sesuai dilantik sebagai ketua-ketua dan pegawai tinggi polis apabila mereka berkuasa nanti. Siapkan juga senarai nama ketua-ketua dan pegawai tinggi polis sekarang yang akan dibicarakan dan akan meringkuk di dalam penjara akibat salah guna kuasa dan kedudukan mereka dengan mengabaikan amanah rakyat. Bila UMNO dah tak berkuasa lagi, gunakan apa sahaja kezaliman mereka terhadap rakyat (semasa UMNO memerintah) kembali kepada mereka, biarpun kekejaman itu tidak masuk akal dan tidak boleh diterima oleh rakyat. Kalau luar negara boleh, kenapa kita di Malaysai tidak boleh laksanakan?
Post a Comment