Friday, July 22, 2011

Izam E.Y.E pulak ikut langkah Bob Lokman

Izam kini selesa mengenakan pakaian serban dan jubah

Siapa sangka, vokalis kumpulan EYE, Izam atau nama sebenarnya, Mohd Izam Arshad yang dulunya cukup terkenal sebagai rocker, kini lebih selesa mengenakan jubah dan serban.

Walaupun hampir sepuluh tahun melakukan penghijrahan itu, Izam tidak pernah mendabik dada, sebaliknya menganggap dirinya masih banyak kelemahan dan perlu mendalami ilmu agama.

Jika rakan seangkatannya, Bob Loqman dan Azmeer Mustapha, memilih untuk terus meninggalkan dunia seni, namun berbeza pula dengan pendirian Izam. Akui selesa dan lebih tenang selepas penghijrahan itu, Izam, bagaimanapun tidak pernah melupakan dunia seni.

Demi minat yang mendalam, Izam masih terus aktif menyanyi dan menerima undangan persembahan di seluruh negeri. Bukan bergerak secara solo, tapi masih bersama EYE, dengan konsep muzik ketuhanan.

“Saya sayangkan rakan-rakan artis saya. Mana mungkin saya boleh meninggalkan mereka. Mereka akan tetap bersama saya. Sampai sekarang, kami masih menerima tawaran persembahan dan kami akan bersatu apabila diperlukan.

“Nyanyian sudah sebati dalam hidup saya, malah ia juga sebahagian daripada punca pendapatan saya menyara keluarga. Tentang imej sekarang, ia tidak menghalang saya untuk terus menyanyi. Kalau ada persembahan, saya akan mengenakan gaya kasual yang dilihat lebih sesuai dengan keadaan dan bukanlah berjubah setiap masa. Malah, perubahan saya diterima baik oleh ahli EYE lain,” katanya yang lebih suka mengamalkan konsep kesederhanaan dalam Islam.

Bercerita lebih lanjut tentang penghijrahan dirinya, Izam berkata, ia bermula pada 2001. Ketika itu, dia didatangi sekumpulan tabligh yang berdakwah dari rumah ke rumah untuk menyampaikan dakwah Allah.

Secara tidak langsung, kecekalan golongan itu berdakwah sedikit sebanyak menarik minatnya untuk terus mengenali Islam dengan lebih dekat.

“Saya akui, sebelum ini, saya lalai dan gagal menunaikan suruhan Allah iaitu sembahyang lima waktu.

“Saya kagum dengan tabligh itu dan saya berusaha untuk mengenali kehidupan mereka. Sejak itu bermulalah haluan saya untuk menjadi ahli masjid.

“Untuk percubaan pertama, saya bermalam di masjid itu selama tiga hari dan latihan pertama saya ialah mendirikan solat lima kali sehari,” katanya yang kini aktif berceramah sekitar Melaka, Johor, Parit Buntar dan Kuala Kangsar.

Menurut Izam, rasa ingin tahu dan belajar terus membuak-buak dalam dirinya apabila mendengar hadis yang dibacakan ahli-ahli tabligh.

Izam akui, bukan mudah untuk mendalaminya dan ia memerlukan masa untuknya menuju ke arah itu.

“Saya tak sedar di sebalik penubuhan EYE, yang melambangkan ‘mata’ itu ada makna lain yang lebih besar iaitu, ‘Engkau Yang Esa’. Walaupun saya mengambil masa lama untuk mendekati Allah, tapi saya bersyukur kerana masih diberi kesempatan untuk mengenali dan beramal kepada-Nya,” kata Izam sambil tidak putus-putus meluahkan rasa syukur ke hadrat Ilahi.

3 comments:

Anonymous said...

elok juga tinggal terus benda2 lara ni,masa tak tunggu kita,jgn cuai, tipu daya syaitan memang halus....

Stone Column said...

Hiburan diharuskan dlm islam..jgn sempitkan pemikiran..bakat seni adalah kurniaan tuhan pd hamba2nya yg tertentu shj..cuma sesuaikan dgn cara yg dibenarkan oleh agama kita..blh rujuk ulamak sbg panduan...

Unknown said...

izam....saya fans dari indonesia....izam sudah berubah fisik......tp saya tetap suka eye....