Seperti
yang dijanjikan ibu segala demo berjaya dijalankan. Seperti yang telah
dijanjikan 250,000 warga telah turun ke jalan raya. Seperti yang telah
dijanjikan politik baru telah dimunculkan. Seperti yang telah dijanjikan
anak semua bangsa telah melintasi garis takut. Seperti yang telah
dijanjikan politik ke jalan raya sebelum ke pilihan raya telah menjadi
pedoman semua.
Hari hari berikut - seminggu, dua minggu mungkin satu bulan - heboh
"Duduk Bantah" akan berterusan. MediaUnited Malays National Organisation
akan terus memperlekeh BERSIH. Media gerombolan ini akan menetaskan
pelbagai kesah penglipur lara, labun dan sastera.
Laporan awal dari Utusan telah mensasterakan bagaimana para demonstran
telah dibayar untuk turun ke jalan raya. Ada demonstran yang telah
diupah. Ada yang telah dirasuah. Ini sebenarnya ini teknik media lama
yang telah berkarat. Akhbar gerombolan Ketuanan Melayu ini tidak sedar
bahawa media baru, lengok dan bunyinya telah berubah.
Tetapi untuk menyenangkan kerja saya, saya menerima hakikat bahawa
labun-labun media Utusan Malaysia ini adalah tepat - sahih lagi
mensahihkan.
Maka akan timbul pula kisah polis kena pukul, kisah polis kena lanyak,
kisah polis kena pelangkung, kisah polis menyembah minta ampun kerana
ditibai oleh penunjuk perasaan, kisah polis lari terkencing-kecing
dikejar penunjuk perasaan.
Akan timbul juga kisah penunjuk perasaan amat ganas, penunjuk perasan
amat liar, penunjuk perasaan buat huru hara, penunjuk perasan baling
batu dan baling botol, kisah polis cedera masuk hospital.
Untuk menyenangkan kerja kita, saya sarankan marilah kita terima hakikat
bahawa sastera labun dari media United Malay National Organisation ini
adalah sahih lagi mensahihkan, benar lagi membenarkan, betul lagi
membetulkan.
Maka akan timbul pula kisah bahawa S Ambiga pengerusi nersama BERSIH ini
sebenarnya bukan rakyat Malaysia. Ambiga berasal usul dari Nigeria.
Nama sebenarnya Miss Wa Dunga Wa Dungu. Ambiga ini bukan sahaja orang
asing malah telah dibuktikan bahawa Ambiga ini telah menerima duit dari
ajen Ah Seng untuk memburuk-burukkan Raja-Raja Melayu.
Tidak cukup dengan ini Ambiga ini juga telah dibuktikan sebagai pengamal
seks percuma. Malah kempen Ambiga menawarkan free sex inilah yang
menjadi daya tarikan utama untuk anak anak muda dari Kuala Berang turun
beramai-ramai ke Dataran Merdeka.
Lalu saya ingin bertanya, adakah ada sesiapa yang tidak akan berminat
dengan seks percuma? Kempen seks percuma BERSIH ini cukup memberahikan.
Bakal penunjuk perasaan bukan sahaja dapat seks percuma malah saya telah
diberi tahu aiskrim batang pun akan diberi percuma.
Justeru, untuk membereskan tugas dan kerja kita maka saya cadangkan kita
terima sahajalah labun seks percuma ini sebagai sahih lagi mensahihkan
Maka akan timbul pula kisah bagaimana kamera wartawan dari Al Jazeraa,
Al-Bibisi, Al-Si-Ant-Ant, Al-Jazail, Al-Jalakon, Al-Mush-rikin dan
Al-Ma'aunah yang telah dirampas oleh penunjuk perasaan. Bukan sahaja
kamera di rampas tetapi telah dipijak-pijak. Tidak cukup dengan
dipijak-pijak kamera ini juga telah dijualkan kepada Muniandy pembeli
besi buruk dari Brickfields.
Sekali lagi saya dengan penuh kesedaran, untuk melunaskan dan
mempercepatkan tugas harian, saya telah menerima berita ini sebagai
sahih lagi mensahihkan.
BERSIH juga difahamkan bahawa ramai polis rahsia Najib yang dikenali
dengan nama As Bee telah membeli baju-T BERSIH. Lebih dari 30 orang As
Bee ini telah turut sama berdemo dengan memakai baju-T berwarna kuning
dengan logo BERSIH. Bijak. Memang cukup bijak.
Saya juga tidak akan menolak berita As Bee ini sebenarnya menyamar
sebagai penunjuk perasaan. As Bee bertugas untuk menjadi tukang kacau.
As Bee jadi tukang provok. Maka kita terimalah kisah dan berita ini
sebagai sahih lagi mensahihkan.
Saya juga tidak akan mempersoalkan tentang polis membawa kereta untuk
melanggar demonstran di pinggir jalan. Atau berita tentang polis
bermotosikal ke hulu ke hilir memacu motosikal besar mereka dengan ligat
dan laju. Kita tak perlu bertengkar tentang ini.
Saya juga dengan senang hati menerima kisah bagaimana Chegubard, YB Tian
Chua, YB Eli Wong, YB Sivarasa, peguam Latifah Koya termasuk peguam
minah cun yang bernama Fadiah telah sama menerobos masuk ke Dataran
Merdeka. Merekabukan sahaja menerobos masuk ke Dataran Merdeka, malah
mereka telah membaling kasut dan selipar kepada mata-mata yang bertugas.
Kemudian kita membaca pula bagaimana Anwar Ibrahim dan Azmin Ali telah
berbisik-bisik dan berkenyit mata memberi tanda isyarat untuk merempuh
masuk ke Dataran Merdeka. Mereka berdua ini mengikut surah labun Utusan
Malaysia adalah orang jahat yang memulakan huru hara. Ini pun saya
terima sebagai sahih.
Ada pula berita yang melaporkan BERSIH telah dibajak oleh parti politik.
Ada yang melaporkan bahawa BERSIH telah menjadi kuda tunggangan parti
pembangkang. Ada berita yang melaporkan BERSIH ini ejen Pakatan Rakyat.
Untuk saya semua ini adalah berita yang tepat.
Untuk memudahkan kerja, saya tidak akan mempertikaikan kesemua
berita-berita ini. Saya juga tidak akan menolak berita-berita ini. Saya
tidak akan membangkang laporan Utusan Malaysia. Malah semua kisah-kisah
ini saya anggap sahih lagi mensahihkan.
Saya tak ada masalah untuk menerima, mensahihkan dan menghalalkan semua
laporan berita ini. Saya tidak akan bertegang leher untuk menafikan
berita ini. Saya juga tidak akan berhujah untuk membuktikan bahawa semua
berita-berita ini di reka-reka untuk mengalihkan pandangan orang ramai.
Direka-reka agar orang ramai benci kepada BERSIH. Saya akan terima
semua berita ini dengan tangan dan zip terbuka.
Hanya, saya ingin bertanya kepada pasangan Rosmah, kenapa ada rancangan hendak menipu dalam pilihan raya yang akan datang ini?
Saya juga hendak bertanya, 250,000 penunjuk perasaan yang turun ke jalan
raya pada hari Sabtu lalu mahu apa? Apa tuntutan mereka? Beribu-ribu
anak muda yang berdemo itu apa yang mereka mahu? Beratus ribu anak muda
dari kampung dan desa, dari semua pelosok negara berani ke jalan raya
kerana apa? Anak-anak muda dari Kuala Berang, dari Kuala Kedah, dari
Felda Chemomoi bertempur dengan FRU di Masjid Jamek kenapa? Apa yang
mereka mahu?
Satelah semua kisah ibu segala demo ini mengenap, pertanyaan-pertanyan
di atas wajib dijawab. Soalan: Kenapa ada rancangan tersusun untuk
menipu dalam PRU13 ini akan timbul kembali? Soalan kenapa gerombolan
United Malays National Organisation merancang dengan menggunakan akta
parlimen untuk menipu di PRU13 telah diketahui ramai. Ini bukan berita
bohong.
Dakwaan kerjasama Suruhanjaya Pilihan Raya, Jabatan Pendaftaran Negara,
PDRM, Kementerian Dalam Negeri dan Jabatan Perdana Menteri mengeluarkan
kad pengenalan segera kepada pendatang asing ini juga telah di ketahui
ramai. Pendatang asing ini didakwa diberi kad pengenalan untuk
membolehkan mereka mengundi. Ini bukan lagi rahsia.
Rancangan gerombolan United Malays National Organisation untuk menipu di
kawasan-kawasan Selangor juga telah di ketahui. Beratus ribu nama
pengundi telah ditambah untuk mengalahkan calon Pakatan juga diketahui.
Beribu-ribu nama pengundi Pakatan Rakyat telah dialih, telah di
hilangkan atau di ubah, ini juga diketahui.
Justeru, setelah heboh-heboh tentang keganasan penunjuk perasaan
mengenap maka soalan kenapa United Malays National Organisation
merancang untuk menipu di PRU13 akan muncul kembali? Tidak dapat
dielakkan.
Kereta polis terbalik. Wartawan patah kaki. Azmin Ali buat kecoh. Ambiga
penganut Hindu. Pak Samad jual Melayu. Dan seribu satu macam
kisah-kisah penglipur lara ini tidak akan menenggelamkan satu persoalan
hakiki: Kenapa United Malays National Organisation hendak menipu dalam
PRU13?
Pada Sabtu 28 April lalu ada 300,000, ada 250,000, ada 200,000 atau
100,000 - jumlah angka ini di jalan raya - jumlah angka tidak perlu
dipertikaikan. Apa yang sahih, beratus ribu warga anak semua bangsa
telah turun ke jalan raya menuntut pilihan raya yang adil dan bersih.
Pilihan raya yang adil dan bersih dituntut untuk memastikan kerajaan
yang wujud adalah kerajaan yang dipilih oleh rakyat. Bukan kerajaan yang
naik takhta kerana penipuan dalam pilihan raya. Berkuasa bukan kerana
menipu tetapi kerana sokongan ramai.
Sayugia di ingatkan, seramai 2500,000 yang berdemo itu adalah tanda
amaran kepada United Malays National Organisation. Ini adalah tanda
amaran dari 250 ribu warga anak semua bangsa. Amaran ini jelas bersuara:
Jangan menipu dalam PRU13.
Dua ratus lima puluh ribu yang berarak dari Masjid Negara, dari Jalan
Sultan, dari Masjid India, dari KLCC, dari Brickfields dan dari Pasar
Seni menuju ke Dataran Merdeka adalah perarakan untuk memberi tanda
amaran. Ini adalah tanda amaran yang menuntut agar pengundi pos
dilupuskan, masa berkempen dipanjangkan, media dibebaskan dan daftar
pengundi dibersihkan.
United Malays National Organisation beringatlah kepada amaran dari
250,000 anak semua bangsa ini. Berwaspadalah agar amaran ini menjadi
pedoman untuk membaiki diri. Kerana, jika PRU13 ini masih dijalankan
dengan penuh penipuan maka bukan 250,000 warga yang akan turun ke jalan
raya, berjuta juta lagi yang akan bangun. Ini bukan satu amaran. Ini
adalah satu janji.
Jutaan ke jalan raya, ini janji
Hishamuddin Rais
4 comments:
Pok ke ngok.
Sekejap 300k lepas tu turun 200k. Kemudian naik balik 250k. Pembohong nak mampus. Bersih3.0 tolak diadakan distadium kerana takut stadium tak penuh woi. Yg datang pun anggaran 30k jer. Jgn mimpi ler juataan nak dtg Bersih, bangang woi.
Aku ada petang tu konon nk g mydin beli kasut.. Kbtulan pakai baju kuning dan x tau plak ada puak obses melampau ni ada.. Mrk kira ngan aku skali kot..
sakit hati sungguh la cacai berdua kat atas tu....iyer la..nak tunggu umno .pekuda..perkasam..buat himpunan seramai tu ntah kan bila la..hehe..
Tu pun jenuh paksa..bagi duit poket..nasik bungkus juga disediakan..apa la malang umno weiii
Post a Comment