Jika dilihat kehadiran Najib bersama Muhyiddin di majlis pelancaran
Pelan Pembangunan Pendidikan semalam, seolah-olah tidak ada apa-apa
masalah antara mereka berdua. Perdana Menteri dan timbalannya ini
bagaikan gandingan erat yang sentiasa seia sekata serta sehati sejiwa.
Tetapi beberapa minggu sebelum itu, bertaburan poster-poster di Johor
yang mahukan Muhyiddin sebagai PM sebelum PRU 13 ini bagi menyelamatkan
UMNO dan BN berikutan Najib dilihat masih gagal untuk menarik sokongan
rakyat menjelang pilihanraya umum akan datang.
Meskipun UMNO Johor dan UMNO Pagoh menafikan poster itu diterbitkan oleh
mereka dan menyifatkan ianya taktik pihak yang tidak bertanggungjawab
untuk merenggangkan hubungan kedua pemimpin itu, hakikatnya jika pun
wujud masalah antara Najib dan Muhyiddin, ia juga bukanlah sesuatu yang
pelik dan di luar kebiasaan.
Selain watak dan pendekatan keduanya jelas berbeza, mereka juga berbeza
pendapat dalam beberapa isu. Dalam Akta Keterangan yang baru diluluskan
misalnya, suatu ketika Najib setuju ia dikaji semula setelah adanya
pelbagai bantahan tetapi Muhyiddin mempertahankannya, termasuk bertindak
memanggil dua timbalan menteri yang sebelum itu agak keras membantah
akta itu.
Beberapa lama sebelum itu, di ketika Najib bangga dengan 1Malaysianya,
Muhyiddin pula tetap meletakkan dirinya sebagai Melayu dahulu, kemudian
baru diikuti sebagai rakyat Malaysia. Pendekatan yang jelas amat
bertentangan dengan 1Malaysia.
Dalam beberapa isu lainnya pula, Muhyiddin juga dilihat tidak berapa
bersungguh mempertahankan Najib seperti yang dapat dilihat dalam isu
remaja menayang punggung dan memijak gambar Najib.
Sementara dalam UMNO pula, suara-suara yang merasakan Najib lebih sesuai
memimpin UMNO dan kerajaan dalam suasana politik kritikal seperti
sekarang ini sudah lama kedengaran. Najib, dengan watak sebagai anak
bangsawan dilihat hanya sesuai menjadi pemimpin UMNO di ketika parti itu
tidak bermasalah dan rakyat tidak berpecah.
Dalam keadaan UMNO berjuang antara hidup dan mati, UMNO tentunya
memerlukan pemimpin yang tegas, berani dan kurang retorik. Muhyiddin
sebaliknya telah terbukti berjaya menangani krisis UMNO Johor dan
perpecahan Melayu ketika menjadi Menteri Besar Johor berikutan
perletakan jawatan Musa Hitam pada 1986 dulu. Najib tidak ada rekod
seperti itu dan baru disedari oleh banyak pihak beliau tidak sesuai
menjadi pemimpin ketika ini.
Bertompoknya masalah dan isu yang tidak selesai sekarang ini
sebahagaiannya adalah kerana daya kepimpinan Najib yang dilihat lemah,
tidak tegas, tiada keberanian serta kurang kebijaksanaan.
Saya sendiri sudah mendengar perkara ini diperbualkan di kalangan ahli
dan pimpinan UMNO pelbagai peringkat sudah lama dan sudah pun menulisnya
dalam buku Kesilapan-Kesilapan Najib dan Asalkan Bukan Najib sebelum
ini. Hakikatnya arus yang berkehendakan Muhyiddin berbanding Najib
adalah sesuatu yang benar dan nyata.
Lebih dari itu, dalam sejarah perjalanan politik UMNO pula, krisis atau
hubungan tak sebulu antara PM dan timbalannya bukanlah perkara yang
pelik. Ia sudah kerap berlaku. Tun Mahathir berbalah dengan Musa Hitam,
kemudian melantik Ghafar Baba sebagai pengganti tetapi kemudiannya
merestui Ghafar Baba disingkirkan oleh Anwar. Mahathir kemudiannya
berbalah dengan Anwar sehingga memecatnya walaupun sehari sebelum itu,
pada 1 September 1998, keduanya dilihat begitu mesra ketika Mahathir
mengumumkan tentang langkah kawalan mata wang negara.
Kemesraan Mahathir dan Anwar ketika itu tidak jauh bezanya dengan
kemesraan Najib dan Muhyiddin di majlis pelancaran Pelan Pembangunan
Pendidikan semalam.
Mahathir hanya tidak berbalah ketika Pak Lah menjadi timbalannya tetapi
setelah Pak Lah menjadi PM dan Mahathir terus mengganggu-gugatnya,
perbalahan mereka akhirnya berterusan hingga kini.
Pak Lah dengan Najib pula tidak terlihat krisisnya tetapi apabila
gelombang penolakan semakin kuat terhadap Pak Lah, Najib juga akhirnya
menjadi tidak sabar untuk segera menjadi Perdana Menteri.
Yang jelasnya, kerenggangan hubungan antara pemimpin nombor satu dengan
pemimpin nombor dua bukanlah sesuatu yang janggal dan di luar kebiasaan.
Apatah lagi dalam kes Najib dan Muhyiddin ini, selain beberapa
perbezaan yang ketara dapat dilihat, Muhyiddin juga diketahui sebagai
pemimpin yang bercita-cita tinggi dan tidak pernah menyatakan rasa puas
hati sekadar menjadi orang nombor saja.
Selain itu, para penyokong Muhyiddin pula tentunya tidak pernah pudar
keinginannya untuk melihat boss mereka itu menjadi Perdana Menteri pula.
Krisis Najib dab Muhyiddin ini boleh meletus bila-bila masa saja. Jika
ianya dapat ditutup erat sebelum pilihanraya ini, ia mungkin sukar
dipertahankan selepas keputusan pilihanraya nanti. Lebih-lebih lagi jika
keputusan itu nanti tidak sebaik yang diharapkan.
Yang menariknya dalam kes Najib dan Muhyiddin ini, kedua-dua mereka
tidak pernah memberi komen mengenainya. Berbeza dengan Mahathir dulu,
semua krisis dengan timbalannya dinafikannya tetapi akhirnya semua
menjadi kenyataan.
Semua krisis itu pula bermula dengan khabar angin dan cakap-cakap orang
bawahan. Namun terbukti kebanyakan peristiwa politik sememangnya bermula
dengan khabar angin. Ini kerana kadang-kadang khabar angin itu sengaja
dicipta untuk menjadikan ia kenyataan yang tidak terlalu mengejutkan
suatu hari nanti.
Jika dulu ada pepatah, takkan pokok bergoyang tanpa angin tetapi pokok
juga sebenarnya bergoyang jika ada kera yang sengaja menggoyangnya.
Tambah pula dalam politik, kera boleh diupah untuk menggoyang pokok.
Krisis dan perbalahan antara pemimpin nombor satu dan pemimpin nombor
dua secara realitinya memang sukar dielakkan kerana meskipun keduanya
saling melengkapi dan perlu memerlukan antara satu sama lain, mereka
sebenarnya hanya bersahabat dalam berpolitik tetapi sentiasa bermusuh
dalam kuasa. (SH 12/09/2012)
2 comments:
eemmm...ini semua taktik lapok laa bro..
Yang jelas, semua pemimpin Umno berbagai peringkat kuat bertekad untuk menang majoriti lebih dua per tiga kerusi di parlimen.
Itu adalah hakikatnya sekarang !!
AKU kesian sangat sangat kat kau wahai Rakab. Kapal umno dah nak karam tapi engkau masih beranganangan mat jenin. Ni jenis baca. utusex dan nonton tv3 serta percaya tuli dengan n analisis profesor kangkung.
Buka mata dan beranikan diri keluar dari temputrung kau wahai rakab. Dalam 10 Melayu 2 atau 3 saja yang masih bergantung hayat kepada umnoh. kau satusatunya yang masih tinggal dibawah tempurung.
Post a Comment