KUALA LUMPUR - Kementerian Pengangkutan akan merujuk
kepada pegawai undang-undang dan pejabat Peguam Negara tindakan empat
kerajaan negeri pimpinan Pakatan Rakyat (PR) menangguhkan pemasangan
Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) di negeri masing-masing.
Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Abdul Rahim Bakri berkata, perkara
ini tidak sepatutnya dijadikan modal politik kerana tujuan sebenar
pemasangan AES ialah untuk melindungi rakyat di samping membentuk
masyarakat berhemah dan berdisiplin di jalan raya.
"Kita akan merujuk kepada pihak Peguam Negara berhubung pelaksanaan di
negeri-negeri pembangkang ini. Saya tidak pasti mengenai peruntukan
undang-undang berhubung perkara ini, sama ada mereka (kerajaan negeri)
mempunyai hak terutamanya lampu isyarat, yang mungkin terletak di bawah
Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).
"Begitu juga jalan-jalan persekutuan atau lebuh raya yang di bawah
PLUS. Walaupun ini berada di negeri-negeri mereka (pembangkang) tapi
jalan raya ini adalah milik orang awam," katanya kepada Bernama selepas
ditemu bual Radio24 di Wisma Bernama hari ini.
Semalam, Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng berkata, empat
kerajaan negeri yang ditadbir PR iaitu Pulau Pinang, Kedah, Kelantan dan
Selangor bersetuju menangguhkan pemasangan AES.
Katanya, pemasangan 331 kamera AES yang dicadangkan di empat negeri
terbabit, seharusnya mendapat kelulusan pihak berkuasa di peringkat
kerajaan negeri terlebih dahulu.
Dalam pada itu, Abdul Rahim berkata, keputusan untuk melaksanakan AES
itu dibuat sudah begitu lama dan bukanlah satu tindakan yang
terburu-buru.
Malah, katanya, isu kronisme dalam pemberian tender kepada syarikat
pelaksana tidak timbul kerana penilaian berhubung kebolehupayaan
syarikat berkaitan dilakukan secara telus.
Beliau berkata, daripada sembilan syarikat yang berminat, tujuh dinilai
pihak yang mempunyai kepakaran dalam bidang teknikal berhubung
keberkesanan sistem itu.
"Sistem ini telah dikaji sejak 2003, pada 2006, kabinet telah buat
keputusan dan operator telah dipanggil untuk dinilai pada 2007 di
samping beberapa pindaan undang-undang dibuat pada 2009 dan 2011,"
katanya.- Bernama
2 comments:
knpa PM takut sgt nk bubar parlimen.. aku dh x sabar nk humban kerajaan zalim masuk kubur..menyusahkan rakyat..
Kalau kerajaan skrg tumbang, mcm mana diorg nk maintain hdup mewah, keta mewah...xde duit nak songlap maa..
Post a Comment