PETALING JAYA 20 Dis: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak
mempertaruh masa depan 7,000 graduan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan
(ISMP) Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) demi mengaut keuntungan
daripada pelajar, sedangkan kursus tersebut gagal menawar peluang
pekerjaan kepada mereka.
Pengarah Strategi KEADILAN, Rafizi Ramli berkata, dari jumlah itu,
2,000 graduan tersebut adalah daripada Universiti Tun Abdul Razak
(UniRazak) yang dipengerusikan oleh Najib.
Beliau berkata, seluruh graduan tersebut masih menganggur menyebabkan
mereka tidak mampu membayar hutang pinjaman Perbadanan Tabung
Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).
“Umno perlu bertangungjawab terhadap nasib graduan-graduan ini kerana
institusi yang rapat dengan pimpinan Umno antaranya seperti UniRazak.
“UniRazak
dimiliki Yayasan Pintar dan Lembaga Pengarahnya dianggotai Datuk Seri
Najib, Datuk Seri Hishammuddin Hussien, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk
Mustapha Mohamad dan Datuk Seri Ali Rustam,” katanya pada sidang media
di Ibu Pejabat KEADILAN di sini hari ini.
Menurutnya, perkara tersebut berpunca apabila pemimpin Umno memperdagangkan institusi pendidikan demi kemewahan.
“Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dalam masa sama meluluskan kuota
pengambilan yang memberi lesen kepada UniRazak dengan memberi gambaran
graduan-graduan ini akan mendapat pekerjaan di dalam perkhidmatan
perguruan negara.
“Di manakah moral pimpinan-pimpinan ini yang boleh ‘cuci tangan’
apabila graduan-graduan UniRazak lulusan ISMP tersadai tanpa peluang
pekerjaan, sedangkan universiti yang dikendalikan mereka bersekongkol
dengan KPT untuk menawarkan kursus perguruan meskipun mereka tahu
kekosongan jawatan tidak mengizinkan pengambilan sedemikian rupa,” jelas
Rafizi.
Sementara itu, Presiden Mahasiswa KEADILAN Malaysia, Haziq Abdul Aziz
yang hadir sama mendesak kerajaan menyelesaikan segera berhubung
pengangguran ISMP.
“Graduan ISMP ini dikatakan tidak layak untuk memohon pekerjaan
sebagai guru di sekolah-sekolah kerajaan walaupun MQA mengiktiraf sijil
ijazah pendidikan UniRazak. Malah silibus ISMP UniRazak adalah sama
dengan silibus ISMP di Maktab Perguruan IPTA (Institusi Pengajian Tinggi
Awam).
“KPT bertanggungjawab memberi kelulusan kepada UniRazak untuk
tawarkan kursus ISMP tetapi tidak dapat memberi jaminan pekerjaan kepada
graduan ISMP UniRazak. Mengapa ditawarkan kursus ISMP tetapi tidak
dapat memberi pekerjaan kepada graduan kursus tersebut?” soalnya.
Beliau menuntut kerajaan memberikan peluang sama rata kepada graduan IPTS seperti mana graduan IPTA.
“Perlu diberikan peluang sama rata dalam permohonan penempatan
sebagai guru di sekolah-sekolah kerajaan. Kerajaan mesti selesaikan
masalah pengangguran melibatkan graduan ISMP lepasan IPTS, manakala
peluang permohonan adalah sebaiknya mengikut merit,” katanya.
Pada 27 April lalu, Menteri Pelajaran yang juga Timbalan Perdana
Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan, sebarang temuduga dan
pengambilan kerja untuk graduan ISMP lepasan IPTS tidak akan
dilaksanakan kerana KPM memberi keutamaan kepada graduan IPTA.
Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=41465
1 comment:
Poning lagu ni... Lobang doh pocah banyok... Cai... Tido ke.... Kih.kih.kih...
Post a Comment