NGO pendesak Melayu PERKASA hari ini berikrar akan menyokong BN dalam pilihan raya umum akan datang bagi membolehkan parti itu mendapat kerusi majoriti dua pertiga dan membentuk kerajaan.

Ikrar tersebut dibaca oleh Presiden PERKASA Datuk Ibrahim Ali di hadapan kira-kira lebih 5,000 perwakilan dan pemerhati di Persidangan Agung Tahunan PERKASA di Astaka Taman Tasik Tititwangsa di ibu negara.

"Bahawasanya kita berikrar demi agama bangsa dan negara, kita tidak akan berpecah, menyerah diri, tidak jadi pengkhianat, tetapi membantu beri kemenangan kepada BN dua pertiga majoriti," kata Ibrahim yang kemudian diikuti satu persatu oleh perwakilan.


Dalam ucapan dasarnya itu, Ibrahim yang juga ahli parlimen Pasir Mas berkata sekiranya majoriti dua pertiga dapat maka isu yang berkaitan raja-raja Melayu dan persoalan agama Islam tidak akan berbangkit lagi.

Katanya lagi, beliau meminta ahli PERKASA semua peringkat untuk menunggu arahan selanjutnya daripada pucuk pimpinan NGO itu, bagi menyokong mana-mana calon BN yang akan bertanding dalam pilihan raya umum itu.

PERKASA mempunyai lebih 352,000 ahli di 115 daerah di seluruh Malaysia.