Oleh: ZULKIFLI YAHAYA
Antara perkara yang membosankan dalam menjelaskan isu yang
dibangkitkan BN ialah, terpaksa menjawab perkara yang sama berulang kali.
Baru-baru ini Ketua Pemuda BN Kedah Badrul Hisham Hashim bersama gerombolannya
menghantar ‘sijil penghargaan’ sebagai menyindir Menteri Besar, Dato’ Seri
Di-Raja Ustaz Azizan Razak kerana kononnya defisit Bajet 2013 adalah yang
paling tinggi di Malaysia.
Terpaksa jelas berkali-kali…
Dalam Bajet Kedah 2013 mensasarkan perbelanjaan RM1.1 billion
tetapi jangkaan hasil sebanyak RM640 juta. Maka Ketua Pemuda BN itu mendakwa
defisit sebagai RM460 juta. Perkara yang sama dibangkitkan
oleh ADUN BN Kuah Dato’ Ir. Nawawi Ahmad sewaktu Sidang DUN tempohari. Exco
Kerajaan Negeri Dato’ Ir. Amiruddin Hamzah menjelaskan bahawa RM460 juta bukan
defisit kerana hasilnya diperolehi dari akaun berasingan, kebanyakan hasilnya
dari geran Pusat.
Kaedah yang sama diguna dalam laporan Bajet 2008 di zaman BN mentadbir Kedah. Dato' Seri Mahdzir Khalid selaku Menteri Besar menetapkan jangkaan hasil cuma RM484 juta tetapi perbelanjaan ialah sebanyak RM1,127 juta. Tidaklah bermakna defisit RM643 juta.
Sepatutnya apabila perkara itu sudah dijelaskan, ia tak sepatutnya dibangkitkan semula. Apakan daya itulah ‘standard’ pembangkang yang ada di Kedah.
Begitu jugalah dalam isu Madrasah Salihiah, dakwaan
kemelesetan pelaburan, pembalakan, ladang rakyat, rebat air UUM, Kolej
Universiti Insaniah dan bermacam lagi – semua perkara yang dijelaskan dengan
terperinci oleh kerajaan negeri sehingga mereka faham, kemudian dibangkitkan
semula oleh individu lain dalam kelompok mereka juga seolah-olah mereka tak
diterangkan apa-apa sebelum ini. Teruk sungguh pengetahuan am mereka!
Kini muncul pula isu Tabung Memali yang pernah berbangkit
setahun lalu apabila seorang bekas pahlawan yang berperang di Afghanistan
mendakwa kononnya berlaku penyelewengan dalam Tabung Memali. Beliau menulis
sebuah buku mendedahkan apa yang disifatkannya penyelewengan itu.
Saya pernah menulis
menjelaskan isu itu setahun lalu, tetapi apabila orang Melayu yang mudah lupa
ini tidak mengingatinya lagi, maka media propaganda BN membangkitkannya semula
seolah-olah ia tidak pernah diberi penjelasan.
Media-media talibarut BN ghairah membangkitkan isu tabung
Memali kerana sedar bahawa ramai pemimpin PAS yang terlibat dalam kepimpinan
PAS Kedah sewaktu peristiwa berdarah Memali dan sejurus selepasnya telah pergi
untuk selamanya.
Mereka tidak mungkin bangun membela diri untuk menceritakan
apa yang sebenarnya berlaku.
Antaranya Ustaz Fadzil Noor, Ustaz Azahari Razak, Ustaz Abd
Wahab Sulaiman, Cikgu Mustafa Long, Tuan Guru Haji Yahya Junid, Ustaz Suhaimi
Ahmad dan ramai lagi.
Fitnah oleh media talibarut BN ini dipanjangkan ke medan
maya.
Ulamak-ulamak muda Umno seperti Fathul Bari serta
rakan-rakan seangkatannya barangkali sewaktu peristiwa itu berlaku masih pakai pampers.
Sebahagian ahli Umno yang belum melihat
dunia sewaktu berlakunya peristiwa Memali turut memanjang fitnah isu tabung
Memali dalam platform maya mereka.
Mereka sama sekali tidak tahu bahawa
peristiwa Memali adalah simbol kezaliman BN, menjadi ‘pembela’ kepada balu-balu
dan anak mangsa Memali. Begitu jugalah umumnya generasi muda hari ini, tidak
begitu memahami akan peristiwa Memali.
Maka ada baiknya kalau sebelum penjelasan mengenai tabung
Memali dibuat, elok gambaran sebenar mengenai peristiwa Memali itu
diperjelaskan terlebih dahulu kepada generasi terbaharu hari ini supaya mereka
faham bahawa peristiwa berdarah Memali adalah angkara kezaliman Umno.
Peristiwa Berdarah Memali
Peristiwa Berdarah Memali berlaku pada 19 November 1985 di
sebuah perkampungan bernama Mali, Mukim Siong, Baling.
Pertukaran nama Mali ke Memali
dibuat oleh Menteri Dalam Negeri ketika itu, Datuk Musa Hitam dan nama itu terus popular hingga ke hari ini.
Peristiwa itu berlaku bermula dari tindakan nekad pihak
polis dan Kementeria Dalam Negeri untuk menangkap Ustaz Ibrahim Libya mengikut
Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) kerana ceramah-ceramahnya yang dianggap
menggugat keselamatan (menggugat ‘keselamatan’ politik BN?).
Ustaz Ibrahim
enggan menyerah diri dan bertegas jika pihak polis mahu mengambilnya maka
ambillah mayatnya sahaja.
Musa Hitam telah menghantar satu ketumbukan polis yang luar biasa
kekuatan dan jumlahnya untuk menangkap Ustaz Ibrahim.
Berlakulah apa yang
disifatkan oleh sesetengah pihak sebagai “massacre” atau pembunuhan beramai-ramai
terhadap Ustaz Ibrahim dan pengikutnya di Memali. 14 orang kampung mati
diserang, manakala empat anggota polis terbunuh.
Musa Hitam adalah Timbalan Perdana Menteri dan Timbalan
Presiden Umno, manakala Ustaz Ibrahim adalah seorang aktivis PAS maka apa yang
dilakukan oleh Musa Hitam itu adalah tindakan politik untuk menyekat kemaraan
politik PAS.
Kerajaan mempunyai 1001 langkah untuk menangkap Ustaz Ibrahim
tanpa melalui pertumpahan darah tetapi mereka sengaja memilih tindakan yang
ganas dan rakus terhadap orang kampung yang lemah.
Tindakan yang dilakukan oleh kerajaan Malaysia itu lebih
zalim dari isu kematian Teoh Beng Hock, tetapi oleh kerana pada itu pembangkang
tidak mempunyai kekuatan maka mangsa kezaliman Memali dan PAS dibuli
semahu-mahunya oleh kerajaan Malaysia dan jentera propaganda mereka.
Pihak yang
terbabit dicop sebagai penjenayah, Ustaz Ibrahim dan rakan-rakan dituduh
sebagai pengamal ajaran sesat, ilmu kebal dan sebagainya.
Ekoran serangan
berterusan oleh jentera propaganda BN dan saluran media kedua belum wujud di Malaysia, maka
imej PAS menjadi buruk. Akibatnya pada pilihanraya umum 1986, PAS hanya menang
satu kerusi di Parlimen Pengkalan Chepa.
Ekoran peristiwa itulah Tabung Mangsa Memali ditubuhkan
untuk membela balu-balu mangsa yang terbunuh, anak-anak yatim dan juga mangsa
peristiwa Memali yang masih hidup, ditahan ISA, sakit, terlantar dan
sebagainya.
Ia dikendalikan oleh Badan Perhubungan PAS Kedah. Setiap sen wang
derma disalurkan kepada yang layak dan berhak menerima.
Tabung Memali
Ekoran peristiwa itulah Tabung Mangsa Memali ditubuhkan
untuk membela balu-balu mangsa yang terbunuh, anak-anak yatim dan juga mangsa
peristiwa Memali yang masih hidup, ditahan ISA, sakit, terlantar dan
sebagainya. Ia dikendalikan oleh Badan Perhubungan PAS Kedah. Setiap sen wang
derma disalurkan kepada yang layak dan berhak menerima.
Jika hari ini ada pihak memberitahu bahawa haram hukumnya
memakan wang anak yatim, maka ketahuilah bahawa para pemimpin PAS Kedah pada
masa itu; bermula dari Ustaz Fadzil Noor yang mengaji di Universiti Al-Azhar
hinggalah kepada Aris Awang yang belajar di sekolah Cina pun lebih tahu bahawa
haram juga mengambil harta orang lain yang bukan haknya.
Mereka lebih tahu
bahawa satu sen rezeki haram yang menumbuhkan daging di jasad kita, maka api
neraka adalah lebih layak untuknya.
Tabung mangsa Memali adalah pembelaan sementara untuk
mangsa. Ia bukan skim insuran untuk pembelaan sepanjang hayat.
Sampai ke satu
peringkat di mana anak-anak yatim mangsa Memali kesemuanya sudah akil baligh
dan para balu mangsa Memali pun sudah mempunyai anak-anak yang boleh berdikari,
di samping ada yang mempunyai suami baru; maka Ustaz Fadzil Noor mengumumkan
ketidakperluan mewujudkan tabung tersebut.
Dakwaan berlaku penyelewengan tabung Memali pernah dibuat
sewaktu Ustaz Fadzil Noor masih ada. Laporan polis dibuat.
Siasatan dibuat oleh
unit yang paling professional dikatakan dari Bukit Aman. Pihak yang dituduh
berjaya mengemukakan catatan akaun yang sempurna tanpa sepicing pun penyelewengan.
Soalan cepu emas yang mesti dijawab oleh semua; Adakah pihak polis dari
kerajaan BN akan membiarkan begitu sahaja penyelewengan jika ada (terutamanya
kewangan) dalam PAS tanpa diambil tindakan atau pendakwaan? Jika polis Malaysia
buat begitu ia termasuk dalam lapan benda ajaib di dunia.
Cukuplah itu sebagai jawapan kepada pihak BN yang membuat
fitnah kononnya terdapat penyelewengan dalam tabung Memali.
Walaupun jawapan
yang terperinci ada tapi ia tidak semesti perlu didedahkan. Macam seseorang
dituduh tidak bersunat.
Bukti yang nyata untuk menolak fitnah itu ialah dengan
menyelak kain biar semua orang tengok. Tapi orang yang cerdik tidak perlu buat
sampai ke situ.
2 comments:
Ameno mudah lupa. Dah nyanyok.... Hehehe
Tabung memali sebok dibincangkan tapi kes mahkamah mengapa sepi membisu
Post a Comment