Dalam pilihanraya umum akan datang ini, Johor adalah antara negeri yang
menjadi tumpuan antara BN dan PR. Sementara BN mengharapkan Johor akan
terus kekal sebagai kubu kuatnya, PR pula mensasarkanu untuk merampas
beberapa kerusi di negeri itu.
Dalam pilihanraya 2008 lalu, Johor adalah antara negeri yang menyumbang
banyak kerusi kepada BN, selain Sabah dan Sarawak.
Dengan hanya
kekurangan 30 kerusi berbanding BN dalam pilihanraya lalu, PR kini
sedang melipatgandakan usaha merobek sebanyak mungkin kerusi di
ketiga-tiga negeri itu bagi membolehkannya menawan Putrajaya.
Sabah dan Sarawak memang diketahui gelora politiknya. Masalah dalaman di
kedua-dua negeri itu hampir pasti memberi harapan cerah kepada
berlakunya angin perubahan.
Cuma yang agak kurang kedengaran geloranya ialah Johor. Selama ini ia
terkenal dengan kubu kuat UMNO dan BN sehingga menjadi ungkapan popular
bahawa songkok pun jika bertanding atas tiket BN pasti akan memperolehi
kemenangan.
Tetapi selepas tsunami politik 2008, Johor pun terkena tempiasnya.
Walaupun dalam pilihanraya 2008, Johor masih menyumbang banyak kerusi
kepada BN, senario menjelang pilihanraya ke 13 ini seperti menampakkan
suasana yang berbeza.
Selain faktor perubahan yang mula meresap dalam sanubari setiap rakyat
sekarang ini, faktor pengundi Cina yang selama ini menjadi penentu
kepada kekuatan BN di Johor juga tidak lagi memihak kepada BN.
Sementara
pengundi Melayu Johor turut kelihatan mahu berubah dengan ketara
melalui beberapa program Pakatan Rakyat yang mendapat sambutan hangat,
kedudukan pengundi Cina pula tetap menampakkan angin perubahan yang
konsisten sebagaimana yang berlaku di negeri-negeri lain juga.
Seorang pemimpin UMNO Johor memberitahu, sambutan dengan kehadiran
ribuan rakyat dalam beberapa demo seperti protes mengenai tanah dan
Himpunan Hijau yang menyaksikan kehadiran ribuan orang adalah isyarat
jelas bahawa benteng kekuatan UMNO Johor bakal runtuh kali ini.
Di Johor katanya, jika pembangkang dapat mengumpul dua atau tiga ribu
orang pun sudah dikira kuat dan mampu menyesakkan nafas UMNO.
Faktor lain yang turut mampu menyumbang kepada kemenangan beberapa
kerusi Parlimen di Johor kepada PR ialah kehadiran beberapa tokoh utama
mereka yang bakal bertanding di negeri itu.
Selain Salahuddin Ayub
daripada PAs dan Chua Jui Meng daripada PKR yang bakal mengetuai
kekuatan PR untuk menggempur Johor, tokoh veteran DAP Lim Kit Sianf juga
dikhabarkan bakal bertanding di salah satu kerusi Parlimen di negeri
itu.
Kehadiran tokoh-tokoh besar ini dan mungkin disertai beberapa tokoh lain
yang dikenali ramai yang akan mewakili PR, tidak dapat dinafikan bahawa
UMNO dan BN tidak boleh lagi berada dalam zon selesa dalam pilihanraya
akan datang ini.
Seorang lagi pemimpin UMNO Johor membayangkan bahawa sekurang-kurangnya 9
kerusi Parlimen yang selama ini dikuasai oleh BN akan jatuh ke tangan
PR dalam pilihanraya pilihanraya nanti berikutan arus perubahan yang
melanda sekarang ini.
Sambil menyebutkan nama kerusi-kerusi yang bakal tumbang dan berada
dalam keadaan kritikal itu, beliau juga menghuraikan bahawa faktor
perubahan di kawasan-kawasan terbabit bukan melanda di kalangan pengundi
bukan Melayi tetapi juga di kalangan pengundi Melayu sendiri.
Sementara faktor perubahan di kalangan pengundi Cina dan bukan Melayu
sudah difahami asasnya, faktor perubahan di kalangan pengundi Melayu
pula disebabkan beberapa faktor domestik, yang antaranya ialah kecewa
dengan pimpinan UMNO negeri mentadbir negeri itu.
Apa yang berlaku di Pasir Gudang di mana beberapa Ketua UMNO Cawangan
menutup bilik gerakan pilihanraya kerana kecewa dengan Menteri Besar,
Ghani Othman yang gagal menunaikan janji berhubung pemilikan tanah
adalah masalah yang bakal membawa beban kali ini.
Asasnya kerana masalah
pemilikan tanah itu bukan saja berlaku di Pasir Gudang, malah di banyak
bahagian lain di negeri itu.
Ada pemimpin UMNO Johor yang melihat masalah itu bakal menjadi isu yang melarat-larat jika gagal ditangani dengan sebaiknya.
Sehingga ini, Ghani Othman dilihat masih membisu dan tidak mahu menjawab
berkenaan perkara itu. Ia sudah tentu sesuatu yang mengecewakan bagi
kebanyakan rakyat Johor.
Ini kerana, selain masalah tanah itu, Ghani juga turut dibebankan dengan
pelbagai masalah lain sebagai Menteri Besar terutama berkaitan
hubungannya yang terlalu memberi keistimewaan kepada seorang tauke Cina
yang bernama Lim Kang Ho.
Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, Lim
Kang Ho dikatakan menguasai majoriti kontrak dan perniagaan yang
melibatkan kerajaan negeri itu.
Hubungan Ghani dengan Lim Kang Ho ini bukan saja mejadi percakapan di
kalangan rakyat biasa, malah juga di kalangan ahli dan penyokong UMNO
sendiri.
Mereka kelihatan kecewa kerana Ghani terlalu memberi
keistimewaan kepada seorang tauke dan seakan melupakan kepentingan
rakyatnya sendiri.
Dengan pelbagai faktor yang berlaku di Johor kebelakangan ini dan
pemimpin UMNO negeri itu sendiri membayangkan bahawa sekurang-kurangnya 9
kerusi Parlimen BN bakal tumbang dalam pilihanraya akan datang dan
tidak banyak usaha yang dilakukan oleh BN untuk memperbaiki keadaan,
kedudukan UMNO dan BN Johor sebagai kubu terkuatnya bakal berakhir tidak
lama lagi.
Jika Johor gagal dipertahankan sebagai benteng kekuatan UMNO dan BN,
usaha melakar perubahan ke seluruh negara bukanlah sesuatu yang mustahil
lagi. (SH 06/02/2013)
2 comments:
SAYA PEMINAT BLOG NIE... CADANGAN SAYA AGAR BLOG INI GUNA BACKGROUND WARNA LAIN, KRN HITAM DAN PUTIH BEGINI, BLH BUAT KITA SAKIT MATA SAN KABUR2 KETIKA MEMBACANYA..... HARAP MAKLUM..
TUKARLAH APA-APA WARNA,KLU BOLEH WARNA HIJAU PUTIH LG BAGUS...
Post a Comment