Antena runtuh: Kerja turunkan antena dilaksanakan Gambar menunjukkan bahagian atas Menara Umno selepas antena komunikasi terjatuh akibat ribut.

GEORGETOWN - Pemilik bangunan Menara Umno Pulau Pinang, JKP Sdn Bhd akan menjalankan kerja-kerja menurunkan rasuk yang tergantung selepas rod penebat kilat di atas menara berkenaan tercabut dan jatuh dalam kejadian ribut petang semalam.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Adzmi Ariffin berkata, pihaknya kini sedang menunggu ketibaan sebuah kren bagi melakukan kerja-kerja penurunan rasuk itu.


"Kren itu dijangka tiba dalam masa sejam dan selepas itu kerja-kerja pembersihan akan dijalankan," katanya ketika ditemui di tempat kejadian di sini, hari ini.


Adzmi berkata, pihaknya juga menjangkakan bangunan berkenaan akan dibuka semula selewat-lewatnya Isnin ini dan kesemua penyewa di bangunan berkenaan dilindungi insurans.


Katanya, pihak JKP juga akan mempertimbangkan bantuan untuk mangsa yang terlibat dalam kejadian petang semalam.


Bangunan 21 tingkat yang tingginya 93.6 meter turut menempatkan Pejabat Perhubungan Umno Negeri dan Majlis Agama Islam Pulau Pinang.


Dalam kejadian yang berlaku kira-kira 6.45 petang semalam, seorang maut manakal lapan cedera selepas rod penebat kilat yang ditempatkan di menara itu tercabut dan terjatuh.


Rod penebat yang jatuh itu, turut manyebabkan tujuh kenderaan termasuk sebuah lori yang sarat muatan tong gas rosak.


Difahamkan, mangsa yang maut, Jahir Hussain Sulaiman, 40 pemandu lori berkenaan akan dikebumikan di tanah perkuburan Islam di Jalan Perak selepas solat Jumaat nanti.SH