Friday, February 28, 2014

POLIS MAHU ITIK!!! Yang menyeksa itik terlepas, Yang diserang mahu jaga itik


Malaysiakini memutuskan untuk menjadikan itik yang ditinggalkan pihak yang menyimbah cat merah dan melakukan serangan sihir pada pejabat Malaysiakini awal minggu ini, sebagai 'anak angkat'.

Memandangkan ruang sedia ada di pejabat Malaysiakini di Bangsar Utama agak terhad, itik tersebut kini dijaga seorang individu yang mahu merawatnya agar kembali sihat.


"Ia kini sudah mampu berjalan dan membuat bising," kata individu tersebut yang merupakan pemelihara haiwan berpengalaman.
 
Itik tersebut trauma teruk akibat diikat dan diletakkan di dalam kotak bertutup selama beberapa jam, berdepan dengan masalah untuk berjalan selepas dilepaskan.


Itik itu, pada awalnya disangkakan mati, ditemui dalam satu kotak kertas bersebelahan pintu masuk pejabat, awal pagi Selasa lalu.


Selepas dibawa keluar dari kotak itu, itik berkenaan kelihatan lemah dan berang, dan mematuk pasukan polis forensik dan kakitangan Malaysiakini yang cuba bermesra dengannya.

Polis kemudian mengambil itik tersebut untuk siasatan forensik mereka dan ia kemudian dipulangkan kepada portal berita itu.


Polis mahu itik semula

Bagaimana pun, pada Rabu - sehari selepas serangan pada 25 Februari - polis meminta itik semula untuk siasatan lanjut.


Menurut Ketua Pengarang Kumpulan Malaysiakini, Steven Gan, polis tidak menjelaskan sebab di sebalik permintaan itu.

"Kami tidak mahu terlibat dalam perebutan hak penjagaan dengan polis, tetapi kami tidak akan menyerahkannya sehingga mereka menjelaskan alasan di sebalik permintaan itu," katanya.


Menurut Gan, itik itu akan mempunyai ruangnya yang kekal di pejabat baru Malaysiakini di Petaling Jaya apabila proses pengubahsuaian dijangka selesai pada pertengahan tahun ini.


Kakitangan Malaysiakini masih belum sepakat tentang nama yang bakal diberikan untuk itik itu dan para pembaca dialu-alukan untuk menyampaikan cadangan mereka.

1 comment:

Anonymous said...

Kena soal siasat dulu itik itu, jadi kenalah ditahan reman.