PARIT BUNTAR (25 Dis.) : Kehadiran ramai orang India semasa ceramah PAS di sini membuktikan satu perubahan pandangan politik orang India. Pertama kali dalam sejarah ceramah yang diadakan di Dataran Purnama Kampung Kedah, orang India hadir seramai itu.
"Sebelum ini orang India ada hadir tetapi dua tiga orang sahaja, tak sangka malam ini mereka datang seramai ini. Semasa kes pemecatan Dato' Seri Anwar Ibrahim dulu pun, orang India tak ramai macam malam ini". Beritahu Sdr. Fakhrurrazi bin Haji Khalid AJK PAS Kawasan.
"Sebelum ni pun masa ceramah Mat Sabu di Pusat Tarbiah, ramai orang India hadir malah lebih ramai dari di sini dan itu adalah kali pertama orang India hadir ke Markaz PAS " Jelas beliau lagi.
Ceramah yang sepatutnya disampaikan oleh Tuan Haji Mahfuz Omar telah diganti dengan Ust. Izat bin Shauqi. Tuan Haji Mahfuz Omar tidak dapat berceramah kerana menunggu ibunya yang sedang sakit di hospital. Walaupun Tuan Haji Mahfuz tidak hadir, orang India yang hadir mendengar ceramah ini tidak berganjak sehingga ke akhir program.
Ust. Izat yang merupakan anak kepada Allahyarham Ust. Shauqi Ibrahim bekas ADUN Anak Bukit juga tidak menghampakan pendengar pada malam itu. Beliau telah menjelaskan dengan terperinci sebab-sebab rakyat perlu berubah menolak Barisan Nasional dalam pilihanraya umum ini.
Walaupun masih muda, gaya dan intonasi suara yang tenang dan padu disamping penyampaian isi ceramah yang tersusun berjaya memberi kesan kepada pendengar pada malam itu.
"PAS perlu mengilap bakat penceramah baru seperti Ust. Izat, beliau masih muda dan mampu menjadi pelapis kepada penceramah sedia ada. PAS Kawasan tidak rugi menjemput beliau mengantikan Tuan Haji Mahfuz". Demikian pandangan Sdr. Adhan bin Haji Abdul Rahim Setiausaha PAS Kawasan.
Sementara itu, Lujnah Penerangan PAS Parit Buntar berharap lebih ramai penceramah PAS berceramah menggunakan tayangan slaid bagi menunjukkan fakta dan menarik perhatian pendengar. Pengerusinya Sdr. Bahrain Desa berkata, setakat ini hanya YB Ir. Amiruddin Hamzah yang menggunakan kaedah ini.
Memandangkan ceramah adalah medium penting bagi PAS menyebarkan maklumat isu semasa, maka penceramah PAS perlu bergerak seiring dengan kecangihan teknologi terkini. Pendengar ceramah lebih percaya kepada penceramah yang menyertakan bukti fakta bertulis dan bergambar, dibandingkan dengan penceramah biasa.
Untuk itu semua PAS Kawasan perlu segera menyediakan peralatan yang diperlukan seperti laptop dan LCD projektor di samping tenaga kepakaran menggunakannya. Insyaallah PAS Kawasan Parit Buntar di bawah Lajnah IT sudah bersedia." Ujar Sdr. Bahrain lagi
1 comment:
Memang benar, kaum India mula menyedari akan penindasan oleh kepimpinan kerajaan. Mereka juga sanggup mengibarkan bendera PAS. Walaupun mereka tahu PAS memperjuangkan Islam. Akan tetapi, mereka juga tahu, Islam tidak pernah menzalimi org yg bukan beragama Islam dan sentiasa membantu. Islam agama yg universal. Yang masih belum sedar adalah org Melayu Islam di kwsn kampung2x. Masih cacat lagikah Islam?.Berkemungkinan, mereka kurang mendapat maklumat, dan tidak suka mendengar ceramah dari pembangkang. Itu sebab mereka masih ditakuk lama sedangkan anak2x muda telah mengorak langkah memperjuangkan Islam. Individu seperti mereka perlu didekati secara perlahan supaya mereka mendapat kesedaran.
Post a Comment