Friday, March 5, 2010
"bukannya udang di sebalik batu, tapi buaya"
KOTA BHARU , 6 Mac : Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyifatkan tindakan beberapa pemimpin Pakatan Rakyat dari Parti keadilan Rakyat (PKR) yang keluar parti seperti ada ‘buaya di sebalik batu’.
“Sedihnya, ribut tidak, hujan pun tidak, tiba-tiba bah melanda! Syak saya teramat kuat akan adanya kepentingan politik tersendiri. Ini bukannya udang di sebalik batu, bahkan buaya,” katanya semalam.
Beliau berkata, sebagai pemimpin mereka sepatutnya menyuarakan rasa tidak puas hati mereka dengan pelbagai cara dan bukannya dengan cara mengambil keputusan untuk keluar parti.
“Usulkan sahaja sidang tergempar. Ambil tindakan kepada mana-mana pemimpin yang bersalah. Paling tidak, adakan perbincangan dari hati ke hati. Bukankah ini menjadi amalan biasa turun temurun di dalam menyelesaikan urusan rumah tangga parti?,” katanya.
Nik Abdul Aziz berkata, pemimpin parti sepatutnya perlu berfikir dengan jujur dalam membuat penilaian sebelum mengambil keputusan untuk keluar parti.
“Bukan sahaja pengundi mereka, kalau saya sendiri pun ditipu oleh wakil yang dipilih seperti ini, saya akan marah,” katanya.
Beliau berkata, secara logiknya, pemimpin yang melompat parti perlu meletakkan jawatan.
“Kembalikan saja mandat kepada rakyat. Bertanding di atas tiket parti lain, tiba-tiba menukar haluan. Bukankah ini satu penipuan? Umpama meminang anak dara orang dengan perwatakan lebai, alih-alih bertukar rupa menjadi pencuri,” katanya.
Beliau berkata demikian berikutan tindakan beberapa pemimpin PKR yang bertindak keluar parti termasuklah Datuk Seri Zahrain Hashim (Bayan Lepas), bekas Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang, Mohammad Fairus Khairuddin, Mohsin Fadzli Samsuri (Bagan Serai) dan Tan Tee Beng (Nibong Tebal).
Sehubungan itu, beliau berharap pemimpin PKR yang ada tidak mudah berputus asa kerana parti itu masih muda di dalam gelanggang politik tanah air.
“Hari ini, PAS sudah dewasa dan matang, tidak lagi kedengaran pimpinan yang melompat sebagaimana dahulu. Bahkan Kelantan pernah diperintah dengan kelebihan satu kerusi dan dua undi. Alhamdulillah, tidak ada yang melompat,” katanya.SH
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment