KUALA LUMPUR, 18 Mac : Kerajaan Negeri Pulau Pinang menyatakan hasrat untuk berjumpa dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi membincangkan isu pilihan raya kerajaan tempatan dalam masa terdekat.
Ketua Menterinya, Lim Guan Eng berkata, sebelum SPR mengumumkan keputusan, adalah baik jika dua- dua pihak berbincang.
“Sekiranya ia ditolak atas alasan membuang masa,wang dan tidak membawa kepada perkhidmatan yang baik kerana mengundang banyak kerenah politik, perkara ini boleh dibincangkan,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen semalam.
Menurutnya, SPR perlu menunjukkan pendiriannya sebagai sebuah badan bebas dan tidak memihak kepada Barisan Nasional (BN).
“Jika SPR membuat keputusan tanpa merujuk kepada Kerajaan Negeri, ia tidak mencerminkan kredibiliti, kebebasan sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan Per�sekutuan.
“Saya harap Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof menunjukkan prinsip-prinsip sedemikian agar memastikan Kerajaan Negeri dan perundangan dihormati,” katanya.
Kelmarin, SPR menyatakan bakal mengumumkan pendiriannya minggu depan berhubung pilihan raya pihak berkuasa tempatan (PBT) yang disyorkan oleh Pulau Pinang dan Selangor.
Abdul Aziz berkata, kajian teliti perlu dilakukan dari segi Perlembagaan dan undang-undang berkaitan sebelum menjawab dua surat yang diterima daripada kedua-dua Kerajaan Negeri tersebut.
Menurutnya, langkah itu bagi memastikan jawapan yang akan diberikan kepada mereka tepat dan betul dan mereka benar-benar faham mengenai kedudukan perkara itu pada masa ini serta akan menghantar surat kepada kedua- dua Kerajaan Negeri iti terlebih dahulu sebelum mengumumkan pendirian SPR selewat-selewatnya minggu depan.SH
No comments:
Post a Comment