Saturday, March 27, 2010
Karikatur Guan Eng tindakan pengecut
MELAKA , 27 Mac : Tindakan individu tidak bertanggungjawab melekat karikatur dan kenyataan menghina Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng, dilihat sebagai usaha melagakan beliau dengan ahli dan pemimpin DAP Melaka.
Dalam kejadian itu, satu salinan karikatur dan satu kenyataan mendakwa Guan Eng mengkhianati penyokong di Melaka diletakkan di tiang lampu di hadapan pejabat DAP negeri di Lo-rong Pandan, di sini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kesidang, Goh Leong San berkata, tindakan tidak bertanggungjawab itu dilihat sebagai cubaan melaga-lagakan DAP Melaka dengan Guan Eng.
Menurutnya, tindakan individu berkenaan berkemungkinan didorong atas kepentingan sendiri.
“Orang berkenaan mungkin merasa kecewa kerana DAP adalah sebuah parti yang tidak mementingkan kepentingan individu berbanding kepentingan ramai. Mungkin sebab itu beliau cuba membuat kacau.
“Mungkin juga individu ini telah digunakan pihak lain untuk menjatuhkan imej DAP di mata orang ramai,” katanya kepada Sinar Harian di sini, semalam.
Dalam karikatur itu, individu berkenaan mendakwa wujud kem tertentu dalam DAP Melaka, di mana satu kem mewakili penyokong Guan Eng dan satu lagi mereka yang tidak sehaluan dengannya.
Kenyataan itu turut mempersoalkan bagaimana Guan Eng hendak menyelesaikan masalah di Pulau Pinang sedangkan masalah kepimpinan di Melaka tidak berjaya diselesaikannya.
Sambil melabelkan individu berkenaan sebagai ‘pengecut’, Leong San berkata, DAP tidak akan mengambil sebarang tindakan terhadap perkara berkenaan malahan akan membiarkannya.
Menurutnya, sekiranya individu berkenaan benar-benar ingin menyelesaikan masalah dihadapinya, beliau sepatutnya datang berjumpa dengan pemimpin DAP dan bukan mengambil tindakan sedemikian.
“Kita tidak akan mem-pedulikan semua ini, malah akan membiarkan sahaja. Sekiranya kita melawan, saya yakin individu ini akan merasa gembira kerana kita memberikan respons,” katanya.SH
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment