Thursday, March 4, 2010

PKR tetap teguh, mantap


SHAH ALAM ,5 Mac : Parti Keadilan Rakyat (PKR) tetap teguh dan mantap serta mendapat sokongan rakyat biarpun beberapa pimpinannya bertindak keluar parti dan menjadi Ahli Parlimen Bebas.

Timbalan Presidennya, Dr Syed Husin Ali menyifatkan tindakan beberapa Ahli Parlimen PKR yang lompat parti sebagai satu proses penyucian yang dialu-alukan.

Beliau berkata, Ahli Parlimen keluar parti disebabkan menghadapi masalah peribadi serta kewangan dan ada yang disiasat pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Mereka tidak menjaga kawasan, tidak pernah menyuarakan rintihan apatah lagi membela hak rakyat. Mereka juga tidak menunjukkan prestasi yang baik dalam Parlimen, tidak pernah atau jarang sekali bercakap atau berbahas.

“PKR percaya apabila sudah tidak ada daki, kulit menjadi lebih bersih dan badan lebih sihat,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

PKR terus menerima tamparan hebat apabila seorang lagi iaitu Ahli Parlimen Bagan Serai, Mohsin Fadzli Samsuri mengumumkan keluar parti dan menjadi Ahli Parlimen Bebas. Ini menjadikan tiga Ahli Parlimen PKR keluar parti dalam tempoh kurang sebulan selepas Ahli Parlimen Bayan Baru, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim pada 12 Februari dan Ahli Parlimen Nibong Tebal, Tan Tee beng pada 1 Mac.

Syed Husin berkata, pimpinan UMNO meraih peluang dari kelemahan parti dengan memperalatkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan Ahli Parlimen yang boleh diperalatkan dengan menjanjikan berbagai-bagai habuan untuk memikat mereka.

“Kami mendapat maklumat bahawa berpuluh juta ringgit dana disediakan untuk membeli ADUN dan Ahli Parlimen terutama dari PKR,” katanya.

Beliau berkata, sejarah menunjukkan PAS dan DAP mengalami cabaran lebih buruk pada peringkat permulaan mereka di mana beberapa pemimpin utamanya keluar parti antaranya Goh Hock Guan, Richad Ho, Lee Lam Thye manakala dari PAS pula adalah seperti bekas Presidennya, Asri Muda dan Osman Abdullah.

“Beberapa pimpinan utama mereka keluar parti. Ada pihak menganggap DAP dan PAS akan lingkup sebaliknya ia menjadi lebih kuat sehingga kini.

“Pemimpin UMNO menyangka dan mengharapkan PAS akan gulung tikar. Tetapi apa berlaku, Pas menjadi lebih teguh seperti yang terbukti sekarang. Berbeza dengan PAS dan DAP, UMNO dilihat lebih parah keadaannya kini,” katanya.SH

No comments: