Wednesday, March 24, 2010

Spekulasi MB Selangor penggal akhir ciptaan musuh PR










SHAH ALAM , 24 Mac :
Wakil rakyat Pakatan Rakyat (PR) Selangor tidak menolak kemungkinan spekulasi menyatakan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim akan kembali ke dunia korporat setelah penggal sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) berakhir dua atau tiga tahun lagi sengaja ditimbulkan oleh sesetengah pihak.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Taman Medan, Haniza Mohamed Talha berkata, ia adalah usaha yang dicipta oleh pihak tertentu untuk menenggelamkan usaha-usaha baik yang dibuat oleh Abdul Khalid sebagai Menteri Besar.

“Saya hairan mengapa khabar angin seperti ini ditimbulkan oleh mereka sedangkan kita tidak pernah mempersoalkan cara beliau bekerja sebaliknya kita kagum cara beliau memimpin dan mentadbir Selangor,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, semalam.

Haniza berkata, Kerajaan Pakatan Rakyat (PR) Selangor masih lagi memerlukan khidmat Abdul Khalid untuk menerajui negeri ini.

“Beliau seorang tokoh berkarisma serta berkaliber dan masih sesuai untuk mengetuai Selangor.

“Kita perlu ingat prestasi Kerajaan Negeri berkembang positif sejak PR mengambil alih negeri ini,” katanya.

Kelmarin, Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menafikan khabar angin bahawa beliau akan kembali ke dunia korporat setelah penggal sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) berakhir dua atau tiga tahun lagi.

Sementara itu ADUN Sekinchan, Ng Suee Lim berkata, dakwaan ini sengaja dicetuskan untuk menimbulkan situasi tidak stabil di kalangan wakil rakyat serta rakyat di negeri ini.

“Ia adalah perang saraf yang sengaja dilakukan oleh UMNO untuk memberikan imej tidak stabil terhadap Kerajaan PR tetapi ia sedikit pun tidak menjejaskan sokongan rakyat terhadap pentadbiran PR.

“Mereka ini sengaja ingin mengucar-ngacirkan pentadbiran PR di Selangor,” katanya.

Oleh itu, Suee Lim menggesa pihak berkenaan supaya menumpukan perhatian bagaimana untuk mengembalikan sokongan daripada rakyat daripada menimbulkan gimik murahan seperti ini.


“Hentikanlah daripada membuat spekulasi seperti ini. Saya sarankan agar mereka mainkan peranan sebagai wakil rakyat yang dipilih oleh rakyat dan bukannya menyibukkan diri dengan membuat perkara-perkara murahan seperti ini,” katanya.SH

No comments: