Thursday, April 22, 2010

10 ribu petugas PAS akan turun

HULU SELANGOR, 22 April : PAS kini giat memaksimakan persiapan hari-hari terakhir kempen pilihan raya, dengan menurunkan 10,000 jentera dari seluruh negara bagi memastikan kemenangan mutlak milik calon Pakatan Rakyat, Datuk Zaid Ibrahim.


Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub berkata, fokus utama kini adalah memaksimakan jentera agar mengukuhkan Pakatan Rakyat serta bersiap sedia dalam menghadapi sebarang kemungkinan menjelang 25 April.

"PAS pusat sudah bermesyuarat agar kita arahkan seluruh jentera semaksima mungkin bagi memastikan kekuatan Pakatan dan persediaan sebarang kemungkinan,"

"Jentera diturunkan secara berperingkat-peringkat dengan menempatkan diri di unit peti undi. Malah dalam tiga hari terakhir ini kita kumpul maklumat kempen agar tepat mengenai sasaran. Ini komitmen kita agar Pakatan menang," katanya yang ditemui media selepas berucap di Karnival Rakyat di Padang Majlis Daerah Hulu Selangor, Batang Kali malam tadi.

Dalam pada itu, beliau turut menafikan dakwaan bahawa pemimpin PAS tidak turun membantu kempen ceramah.

Menurutnya, PAS sentiasa memberi komitmen membantu merencanakan jentera Pakatan sejak awal lagi.

"Dakwaan itu tidak benar kerana sejak dari awal kita telah menurunkan Presiden, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan juga pemimpin tertinggi yang lain.

“Mungkin kerana Hulu Selangor ini besar seluas Melaka jadi kita terpaksa bertebaran setiap malam untuk berkempen," katanya.

Malah beliau menjelaskan ekoran jadual yang cukup ketat menyebabkannya tidak cukup masa memenuhi jemputan yang ada.

“Saya sendiri baru pergi ke beberapa buah daerah mengundi sahaja kerana jemputan yang begitu ketat selain masa yang tidak mencukupi.Jadi tidak benar sebenarnya mengatakan kita tidak hadir kerana sejak dari hari pertama kita telah ada,” katanya.

Sementara itu, tokoh disegani ramai Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dijangka menyampaikan ceramah perdana malam esok.

Salahuddin turut menyifatkan serangan peribadi BN ke atas Zaid tidak akan menambat hati pengundi Hulu Selangor, sebaliknya manifesto calon tetap menjadi perhatian.

“Pengalaman saya selama 30 tahun dalam politik ini, isu-isu yang terlalu peribadi ini sudah lagi tidak mendapat perhatian rakyat.

“Dalam beberapa siri pilihan raya kecil seperti di Kuala Terengganu, Bagan Pinang, Permatang Pasir dan Bukit Selambau, saya lihat isu-isu yang terlalu peribadi sudah tidak lagi menyentuh pengundi.

“Kempen secara peribadi ini rakyat sudah boleh faham, apa yang penting untuk mereka lihat adalah janji ataupun manifesto dan juga mahu melihat apa yang mereka boleh dapat daripada kerajaan,” kata beliau. -FMT

No comments: