Thursday, April 29, 2010
Amaran kepada pemilik tanah anugerah
SHAH ALAM , 29 April : Selangor akan mengambil tindakan terhadap pemilik tanah yang gagal membayar cukai dan membangunkan tanah yang dianugerahkan Kerajaan Negeri berkuatkuasa 1 Januari 2010.
Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, keputusan tersebut diambil selepas Kerajaan Negeri mendapati banyak tanah anugerah yang bukan sahaja tidak dijelaskan cukai tanah, malah dibiarkan begitu sahaja tanpa pembangunan.
Menurutnya, kerajaan Negeri akan memulakan operasi mengemaskini status tanah anugerah bagi memastikan semua tanah dibangun dengan betul.
“Semua pemilik tanah yang dianugerahkan akan diminta memberi penjelasan berhubung kegagalan mereka membangunkan tanah dan membayar cukai tanah lebih dari lima tahun. Kegagalan untuk memberi penjelasan boleh mengakibatkan tanah-tanah mereka diambil semula oleh Kerajaan Negeri.
“Pada mereka yang cuba membayar cukai tertunggak lebih dari lima tahun, Kerajaan Negeri tidak akan terus menerima bayaran tersebut sebelum menerima penjelasan daripada pemilik tanah berkenaan,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) semalam.
Menurut beliau, Kerajaan Negeri memberi jaminan akan membertimbangkan setiap alasan yang diberikan sebelum mengambil sebarang tindakan berdasarkan ketelusan dan kebertanggungjawaban,
Abdul Khalid berkata, Kerajaan Negeri perlu memastikan urus tadbir tanah yang baik, cekap dan mengelak pembaziran memandangkan tanah adalah harta berharga bagi rakyat Negeri Selangor.
“Kerajaan Negeri terdahulu gemar menganugerahkan beribu-ribu ekar tanah bernilai jutaan ringgit kepada anak-anak syarikat dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) namun tanah-tanah itu kebanyakkannya tidak dibangunkan manakala pemiliknya didapati tidak membayar cukai tanah.
“Ini jelas menunjukkan pemiliknya tidak menghargai sumbangan yang diberikan Kerajaan Negeri. Kerajaan Selangor berpendapat, tanah yang tidak dibangunkan an dibiarkan begitu saja sejak bertahun-tahun lama itu sepatutnya digunakan untuk aktiviti yang boleh membawa keuntungan kepada rakyat selaras dengan agenda Merakyatkan Ekonomi Selangor,” katanya.
Beliau dalam pada itu menafikan keputusan ini diambil berhubung isu tanah Yayasan Basmi Kemiskinan (YBK) baru-baru ini.SH
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment