Wednesday, April 14, 2010

Gegar buat laporan polis


KOTA BHARU, 14 April : Gerakan Bertindak Kembalikan Ro-yalti Rakyat (Gegar) membuat laporan polis terhadap pengagihan wang ihsan yang dibuat oleh Kerajaan Pusat di Sekolah Menegah Kebangsaan Hamzah Machang, 3 April lepas.

Laporan yang dibuat di Ibu Pejabat Polis (IPD) Daerah Kota Bharu itu bagi menggesa pihak berkuasa menyiasat adakah penyaluran wang itu bertentangan dengan Akta Pembangunan Petroleum 1974.

Pengerusinya, Dr Abdul Halim Yusof berkata, siasatan terperinci perlu dibuat memandangkan kerajaan mengatakan wang ihsan yang diberikan adalah diambil dari sumber penggerudian petroleum dari kawasan perairan Kelantan.

“Oleh itu, siasatan itu perlu bagi melihat bagaimana pengagihan dan penggunaan wang ihsan dilakukan termasuk cara pengagihan melalui agensi Kerajaan Persekutuan dan bukan Kerajaan Negeri seperti maksud dalam akta tersebut,” katanya ketika ditemui selepas membuat laporan polis berkenaan, di sini, semalam.

Turut hadir memberi sokongan Ketua Pemuda PAS negeri, Abd Latif Abd Rahman

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika membuat kunjungan sehari Kelantan 3 April lalu menyerahkan agihan wang royalti kepada pelajar sekolah rendah yang layak menerima bantuan tersebut.

Dalam pada itu, Dr Abdul Halim berkata, sekiranya wang tersebut tiada kaitan dengan penghasilan petroleum, adalah perlu polis menyiasat dari mana peruntukan RM25 juta wang tersebut diambil.

“Adakah ia diambil dari bajet yang diluluskan melalui Akta Bekalan? Saya mengharapkan penyiasatan dibuat untuk memastikan ketelusan dan tiada penyelewengan dalam penggunaan harta rakyat,” katanya

Katanya, laporan itu perlu dibuat bagi menunjukkan bahawa rakyat tidak merestui apa yang dilakukan Kerajaan Pusat dengan bertentangan dengan undang-undang yang termaktub.

Dalam pada itu, Abd Latif berkata, Pemuda PAS akan terus menyokong tuntutan yang dibuat oleh mana-mana badan dan organisasi yang menyokong tuntutan royalti.

“Sokongan ini diberikan kepada semua pihak yang menyokong tuntutan. Kita tidak boleh menerima cara yang dilakukan oleh Barisan Nasional (BN) yang jelas melanggar hak rakyat Kelantan,” katanya.SH

No comments: