Monday, April 12, 2010

Nazri bakal kena tindakan hina mahkamah

SHAH ALAM, 12 April : Keluarga Teoh Beng Hock mungkin memfailkan usul menghina mahkamah ke atas Menteri di Jabatan Perdana Menteri kerana menuduh pakar patologi Thailand, Dr Pornthip Rojanasunand sebagai 'pembohong'.

Ahli parlimen Segambut, Lim Lip Eng, yang juga peguam untuk keluarga Teoh berkata di lobi Parlimen hari ini bahawa tindakan itu mungkin diambil pada 20 April ini apabila inkues berkenaan bersambung.

Nazri melabelkan Dr Pornthip sebagai pembohong selepas pakar patologi itu mendakwa dia berdepan dengan 'tekanan politik' daripada kerajaan Malaysia berhubung pembabitannya dengan inkues itu.

"Adakah Nazri mempunyai bukti bagi menyokong dakwaannya itu? Jika tidak, bukankah kenyataannya itu bersifat menghina mahkamah?" soal Lip Eng.

Ahli parlimen DAP itu juga telah memfailkan notis mengikut Peraturan 18(2) bagi mendebatkan dakwaan Pornthip di Dewan Rakyat sebagai sesuatu yang mempunyai kepentingan umum.

“Rakyat berhak mengetahui jika ada kebenaran dalam dakwaan itu. Mengapa dia dihalang daripada memasuki Kelantan awal tahun ini? Ancaman yang macam mana negara ini akan terdedah jika dia dibenarkan masuk? Adakah dia seorang pengganas atau perisik asing?” soalnya.

Seorang lagi peguam keluarga Teoh, Gobind Singh Deo (kanan) berkata Nazri seharusnya menjelaskan mengapa dia menudup Pornthip sebagai pembohong.

"Saya cabarnya supaya tampil jika dia mempunyai bukti bahawa Pornthip telah menipu dalam pengakuannya ketika inkues,” katanya sambil menuntut Nazri mengemukakan bukti di mahkamah nanti.

“Jika Nazri gagal membuktikan tuduhan itu, kita akan bertindak. Satu cara ialah mengenakan usul menghina mahkamah ke atas Nazri. Kita akan putuskan tidak lama lagi menjelang 20 April ini.”

Adik Teoh, Lee Lan (kiri), melahirkan harapan agar Pornthip akan hadir memberi keterangannya.

“Sudah tentu kami mahu dia datang kerana dia adalah saksi penting dan semua orang seharusnya mempunyai peluang untuk memberi keterangan dalam inkues itu,” katanya ketika dihubungi.

Gobind, yang juga ahli parlimen Puchong menggesa peguam negara (AG) untuk campur tangan kerana pejabatnya juga terbabit dalam inkues itu.

"Bila seorang ahli profesional dari negara luar mendakwa dia diugut olreh kerajaan, AG sepatutnya campur tangan,” katanya.

Tambahnya, kenyataan Nazri adalah tidak adil kerana dia membuat kesimpulan sebelum siasatan dijalankan.

“Jika Nazri tidak mempunyai bukti, dia sepatutnya memohon maaf terhadap Pornthip,” katanya.

Pemimpin veteran DAP yang juga ahli parlimen Ipoh Timor, Lim Kit Siang (
kanan) bersetuju dengan Gobind.

Menurut Lim Nazri sepatutnya menarik balik kenytaannnya itu dan memohon maaf kepada pakar patologi Thailand itu.

Lim juga menggesa jemaah menteri supaya mengadakan mesyuarat khas untuk memberi jaminan kepada Pornthip bahawa dia boleh memberi keterangan tanapa sebarang tekanan dan keselamatannya semasa berada di negara ini adalah terjamin.

-malaysiakini-

No comments: