HULU SELANGOR, 21 April : "PAS Selangor optimis setakat ini calon Pakatan Rakyat mendahului calon BN dari sudut sokongan rakyat khasnya para pengundi di Hulu Selangor, kata ketua penerangannya, Roslan Shahir Mohd Shahir.
Katanya, kempen yang dilakukan secara bersepadu antara petugas PAS, PKR dan DAP terus menerus mendapat sambutan yang menggalakkan dari penduduk tempatan.
"Dari tinjauan didapati bahawa rekod buruk perkhidmatan wakil MIC dari Barisan Nasional sebelum pilihanraya umum 2008 lalu, telah menyedarkan rakyat untuk tidak lagi memberi peluang pada BN," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
"Program Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES) ternyata menyentuh hati rakyat jelata.
"Dan ini memberi kesan langsung kepada harapan Datuk Zaid Ibrahim hari Ahad ini, lantaran rakyat selesa dengan kesungguhan dan keikhlasan pimpinan dan kerajaan PR Selangor sejak berkuasa Mac 2008 lalu sehinggalah hari ini," tegasnya.
Menurut Roslan, PAS Selangor menjangkakan jumlah petugas parti itu dari seluruh negara, akan terus meningkat menjelang fasa terakhir tempoh berkempen dan pada hari mengundi bagi menyokong dan membantu jentera PKR.
"Begitu juga kepada para pengundi pos yang berjumlah 799 orang. PAS Selangor mengharapkan agar mereka nanti akan berani menyalurkan suara melalui undi masing-masing demi membina sebuah negeri Selangor yang maju, bersih dan berkebajikan buat semua," tambahnya. "
No comments:
Post a Comment