Tuesday, April 6, 2010

Polis lambat-lambatkan usaha PKR


GERIK, 6 April : Majlis Pimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Perak, menyatakan rasa tidak puas hati mereka terhadap tindakan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang didakwa menahan serta melambat-lambatkan usaha mereka mengedarkan risalah Fitnah Dua di beberapa kawasan sekitar Perak, kelmarin.

Ketua Biro Strategi PKR Perak, Mat Nasib Rahim berkata, beliau kecewa apabila rombongan menaiki bas, Majlis Pemimpin PKR Perak terdiri dari 22 cabang PKR serata negeri ditahan beberapa kali dalam perjalanan mereka.

“Rombongan ini dikawal ketat sepanjang perjalanan, bermula dari Ipoh ke beberapa kawasan dan berakhir di Gerik.

“Kami di tahan di sepanjang perjalanan dengan tujuan untuk melambatkan perjalanan kami ke sembilan cabang PKR serata negeri Perak mengedarkan risalah Fitnah Dua yang mengandungi maklumat berkenaan fitnah ke dua dilemparkan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim,” katanya ketika ditemui di hadapan perkarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gerik, dekat sini.

Mat Nasib berkata, semasa di Sungai Siput pihak berkuasa turut menggunakan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk menahan kami ketika dalam perjalanan mengedarkan risalah yang mengandungi kenyataan dari Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar.

“Sungguhpun kami telah mengemukakan bukti-bukti serta dokumen-dokumen secukupnya berkenaan rombongan, namun kami tetap ditahan dan perjalanan kami dilambatkan,” katanya.

Beliau mendakwa bahawa tindakan itu jelas melanggar prinsip demokrasi yang diamalkan di negara ini.

“Kami kecewa dengan tindakan mereka yang bersekongkol dengan kerajaan Barisan Nasional (BN) untuk menghalang usaha PKR memperjuangkan keadilan.

“Walhal kami hanya bergerak sebagai satu rombongan sahaja dengan menaiki sebuah bas untuk mengedarkan risalah-risalah berkenaan, serta fokus atau sasaran kami pula adalah cabang-cabang parti di sembilan kawasan di Perak,” katanya.

Rombongan Majlis Pemimpin PKR Perak itu melibatkan seramai 15 peserta rombongan ketika tiba di Gerik, termasuk Wanita PKR dan juga Angkatan Muda Keadilan (AMK).

Sementara itu, Naib Pengerusi PKR Perak, Madzi Hassan memaklumkan beberapa barangan yang dibawa dirampas ketika ditahan di Gerik dan dibawa ke IPD Gerik.

“Sebanyak 1,722 keping risalah yang mengandungi maklumat berkenaan fitnah kedua dilemparkan kepada Anwar dirampas bersama satu ‘banner’ bertulis Konvoi Keadilan Untuk Datuk Seri Anwar Ibrahim (DSAI).

“Kami benar-benar merasa kesal dan menganggap ia sebagai satu halangan terhadap usaha mencari keadilan,” katanya.SH

No comments: