Friday, May 14, 2010

Husam sedia dedah

https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEiWiENigJhWtbSBKalBrXULmGFhSNK9Y1sZOf8fGe8tLG3qUspGgzLH-RvVJD4TIFDFPuRz_sToVfVm0IpV1n6vGuSnsKdX9XjI4bZFZmjP8eTfesWx4OO1Pdakw925a1XCPtjWA4Tk_OA/s320/HUSAM+MUSA+SMALL.jpg

KOTA BHARU , 14 Mei : Kerajaan Negeri Kelantan sedia menyahut desakan Pemuda UMNO Negeri dengan mendedahkan butiran mengenai penerima konsesi balak di negeri ini.

Bagaimanapun, Exco Kerajaan Negeri Kelantan, Datuk Husam Musa berkata, pergerakan tersebut juga dalam masa yang sama perlu menyatakan pendirian terhadap isu lesen judi bola sepak yang sebelum ini diluluskan oleh Kerajaan Pusat.

“Tiada masalah (untuk dedahkan) berapa helai hendak siarkan di akhbar, tetapi saya nak juga tanya apakan pendirian Pemuda UMNO Kelantan dan Kerajaan Pusat mengenai isu judi,” katanya.

Sebelum ini, Ketua Pemuda UMNO Negeri, Anuar Safian mendesak Husam mendedahkan sumber wang yang diperolehi untuk membiayai membiayai pengurusan dan aktiviti Global Media Channel Sdn. Bhd. (GMC) yang didakwa lebih RM4 juta.

Anuar mempersoalkan dari mana datangnya wang tersebut sekiranya tidak daripada hasil dan konsesi pembalakan sejak memerintah negeri ini yang dikatakan banyak dikaitkan dengan syarikat dan individu tertentu.

Sehubungan dengan itu, beliau mendesak supaya kerajaan PAS yang dikatakan mengamalkan ketelusan yang tinggi supaya mendedahkan nama-nama syarikat yang terlibat dalam mendapatkan kontrak dan konsesi balak di negeri ini.

Dalam pada itu, ditanya bila Kerajaan Negeri akan mendedahkan senarai tersebut, Husam yang juga Timbalan Pesuruhjaya II PAS Kelantan berkata, Pemuda UMNO boleh mendapatkan maklumat tersebut melalui pertanyaan di sidang Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Jika mereka mahu, mereka boleh memberikan soalan tersebut kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN),” katanya.

Dalam perkembangan lain, Husam menempelak sikap Kerajaan Pusat yang meluluskan lesen kepada sebuah syarikat tempatan untuk menjalankan kegiatan pertaruhan pada kejohanan bola sepak Piala Dunia 2010 bulan depan.

Menurutnya, Kerajaan Negeri pernah menerima permohonan yang sama dari syarikat tersebut untuk membuka pusat perjudian di negeri ini, namun pihaknya tidak meluluskan permohonan tersebut.

“Mereka pernah menghantar surat melalui alamat Tok Guru, tetapi saya simpan, yang jelas kita tidak membenarkan. Jika kita boleh buat, kenapa Kerajaan Pusat tidak boleh,” katanya.

No comments: