Sunday, May 23, 2010

Pilih senator melalui pilihanraya








IPOH, 24 Mei : Parti Tindakan Demokratik (DAP) hari ini, mengesyorkan Kerajaan Pusat melaksanakan sistem pilihan raya bagi memilih Ahli-Ahli Dewan Negara.

Timbalan Bendahari Agungnya, Nga Kor Ming berkata, cadangan itu dibuat demi menjaga kedudukan serta integriti dewan berkenaan sebagai badan Senat yang menyemak dan meluluskan undang-undang di negara ini.

Kor Ming yang juga Ahli Parlimen Taiping berkata, berdasarkan Perlembagaan Persekutuan, hanya rakyat Malaysia yang berusia 40 tahun ke atas serta berpengalaman luas dan mendapat pengiktirafan tertinggi dalam bidang profesional masing-masing sahaja yang layak bagi jawatan berkenaan di Dewan Negara.

“Pada hari ini amalan masuk melalui pintu belakang semakin berleluasa khususnya melibatkan ramai pemimpin Barisan Nasional (BN) yang kalah pada pilihan raya dan pernah disabitkan kesalahan oleh Mahkamah.

“Ini adalah satu bentuk penyalahgunaan budi bicara, khususnya kepada mereka yang tidak layak menjadi calon di Dewan Rakyat.

“Malah, ada juga dalam kalangan mereka ini telah dijatuhi hukuman penjara, namun tetap dilantik sebagai senator walaupun tidak mendapat mandat daripada rakyat.

“Justeru apakah kriteria sebenar yang diperlukan bagi melantik senator? Kerajaan sibuk melaungkan slogan rakyat didahulukan, tetapi kini di manakah suara rakyat,” katanya.

Kor Ming berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Karnival Demokrasi anjuran Pakatan Rakyat (PR) di sini, baru-baru ini.

Difahamkan, majlis perasmian berkenaan turut dihadiri lebih 3,000 rakyat daripada pelbagai kaum termasuk bekas Menteri Besar, Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin.

Sementara itu, Kor Ming menyarankan agar kerajaan mencontohi beberapa negara seperti Jepun, Amerika Syarikat dan Filipina yang menganjurkan pilihan raya umum bagi memilih Ahli Dewan Negara.

Katanya, cara berkenaan dilihat lebih berkesan dan sekali gus dapat memastikan hanya individu-individu yang benar-benar layak menduduki kerusi dewan tersebut.

“Fungsi utama dewan yang mulia tersebut adalah untuk menyemak dan mengkaji segala rang undang-undang yang telah diluluskan oleh Dewan Rakyat setelah bacaan ketiga oleh 222 orang Ahli Parlimen.

“Kesimpulannya, kerajaan perlu segera mengembalikan kuasa kepada rakyat bagi memilih Ahli-Ahli Dewan Negara yang benar-benar berkelayakan,” katanya.

No comments: