Wednesday, May 5, 2010

Pulau Pinang wujudkan Dataran Pidato untuk rakyat


GEORGETOWN, 5 Mei : Sesiapa sahaja boleh menyuarakan pendapat di Dataran Pidato tetapi dilarang menggunakan pembesar suara untuk mengelak tindakan polis atas alasan mengganggu ketenteraman awam.

Ketua Menteri, Lim Guan Eng berkata, sudut yang dilancarkan itu adalah yang pertama di dunia dan Pulau Pinang menjadi negeri pertama mengambil inisiatif menyokong hak kebebasan bersuara.

“Ini adalah satu landasan untuk orang awam menyuarakan pendapat mengenai apa sahaja isu yang mereka tidak senangi. Ia juga adalah usaha Kerajaan Negeri menghargai pendapat orang ramai dan bersedia mendengarnya.

“Ia dapat memberi peluang kepada rakyat untuk menegur menggunakan fakta betul. Kerajaan Negeri bersedia menerima pandangan dan melakukan penambahbaikan,” katanya kepada media selepas merasmikan Dataran Pidato di Padang Kota Lama, semalam.

Menurutnya, Dataran Pidato dibuka setiap Rabu dan Ahad bermula jam 6 petang hingga 10 malam untuk memberi peluang rakyat pelbagai bangsa dan agama menyuarakan pendapat.

“Kerajaan Negeri menyokong demokrasi dan sesiapa sahaja boleh menyuarakan pendapat dalam apa sahaja isu yang ingin diketengahkan. Ini bukan saluran membuat aduan tetapi hanya menyuarakan pendapat. Jika ada aduan, mereka boleh menggunakan saluran lain dan bukannya di tempat ini.

“Tiada syarat had umur, jantina atau fahaman politik. Mereka boleh bercakap tetapi dilarang menggunakan pembesar suara,” katanya.

Guan Eng berkata, Dataran Pidato yang mendapat sokongan beberapa badan bukan kerajaan (NGO) akan mula dibuka Ahad ini serta dipantau secara berkala oleh pegawai Kerajaan Negeri.

“Suara rakyat sangat penting dalam melaksanakan satu pentadbiran yang disenangi rakyat. Saya menggalakkan semua orang menggunakan tempat ini dengan baik untuk menyuarakan pendapat mengikut peraturan yang ditetapkan,” katanya.SH

No comments: