Thursday, May 13, 2010

Tragedi 13 Mei teladan bukan hasut perkauman



SHAH ALAM, 13 MEI: Bekas Pengarang Utusan Melayu, Said Zahari menyifatkan Tragedi berdarah 13 Mei adalah sejarah yang wajar dijadikan teladan tapi penghayatannya bukan melalui program yang boleh mencetus, apatah lagi membakar sentimen perkauman.

Bercakap kepada TV Selangor, beliau berkata, cukuplah ia dikenang dengan menginsafi kejadian yang sudah berlaku dan berusaha menghindarkan tragedi itu dari berulang.

Mengulas cadangan program 'Melayu Bangkit' anjuran Gerakan Kebangkitan Rakyat (Gertak) sebelum dibatal pada saat akhir, Said Zahari menganggap program seumpama itu hanya memarak lagi api kemarahan di jiwa masyarakat.

“Tidak salah kalau kita hendak mengingati 13 Mei tetapi kita mengingati untuk menjadikan pengajaran dan teladan supaya jangan berlaku lagi. Kalau anjur program mengingatkan 13 Mei itu untuk membangkitkan kemarahan sesuatu kaum, contohnya orang Melayu, itu tidak berfaedahlah," katanya.
Program anjuran Gertak itu dibatal selepas mendapat kritikan pelbagai pihak terutama Parti Islam se-Malaysia, PAS yang mendedahkannya beberapa hari lalu.

Program yang dijadualkan berlangsung di Stadium Tertutup Kuala Terengganu dilihat seolah-olah sengaja cuba membangkit dan mengapi-apikan semangat orang Melayu.

“Sejak berlakunya Tragedi 13 Mei, kesedaran rakyat semakin tinggi. Jadi 13 Mei ini tidak patut dibesar-besarkan. Kalau ada orang yang menjadikan 13 Mei untuk menaikkan semangat orang Melayu, kononnya, ia bukan usaha yang baik," katanya.

Apabila ditanya kepada Said Zahari, andai Tragedi 13 Mei berulang, pihak mana yang mungkin menangguk di air keruh atau meraih keuntungan, ini jawapan Said:

"Saya fikir tidak ada orang yang akan untung tetapi yang rugi, banyak. Sebab kalau berlaku peristiwa 13 Mei berlaku, saya tidak fikir ada orang akan untung. Malaysia rugi. Jadi, perkara ini kalau dijadikan pengajaran, tidak mengapa.

"Sebab Tragedi 13 Mei itu mengingatkan peristiwa persengketaan kaum," katanya lagi.
-tvselangor-

No comments: