Tuesday, June 29, 2010

Kerakusan Umno ambil tanah akan dibongkar

20100122112223_YB Suhaimi  Shafie












PETALING JAYA, 29 Jun :
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sri Muda Mat Suhaimi Shafie, bakal membongkarkan penglibatan beberapa individu dalam Umno Bahagian Kota Raja yang didakwa mengambil tanah di sekitar Kota Kemuning, Taman Sri Muda dan Jalan Kebun di Klang.

Antara individu terbabit termasuklah Ketua Wanita Umno bahagian Kota Raja Nahar Ahmad dan Ketua Puteri Suhaila Mat Zin.

"Saya ada maklumat lengkap mengenai hal ini. Saya akan bongkarkan penglibatan Ketua Wanita dan Ketua Puteri Umno yang terbabit dalam kes pengambilan tanah ini," katanya ketika dihubungi Free Malaysia Today hari ini.

Namun ketika ditanya mengenai bila pembongkaran itu akan dibuat beliau berkata "Saya tunggu masa yang sesuai dan akan bongkarkan secara berperingkat-peringkat," katanya.

Menurutnya lagi selain dua individu berkenaan, pegawai kerajaan dan para penyokong Umno didakwa turut terlibat dalam pengambilan tanah itu.

Sementara itu, Suhaimi berkata tindakan Umno Bahagian Kota Raja yang membakar akhbar rasmi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Suara Keadilan kelmarin sebagai mencari publisiti murahan.

Beliau menyifatkan tindakan itu sebagai menutup kelemahan Umno bahagian terbabit, yang kini malap dengan menuduhnya dan ADUN Kota Raja Dr Mariah Mahmud tidak membawa sebarang pembangunan di kawasan berkenaan.

Biadap dan kurang ajar

"Mereka bersikap biadap dan kurang ajar. Malah tindakan mereka seperti kebudak-budakan….ternyata mereka melakukan tindakan sedemikian hanya untuk mencari publisiti murahan.

"Ada sesiapa kenal Ketua Umno Bahagian Kota Raja? Umno Kota Raja langsung tidak bergerak malah mereka pernah ditegur oleh Ketua Penerangan Umno.

Mereka nak tutup kelemahan dengan buat tindakan membakar Suara Keadilan dan menuduh saya dan Dr Mariah dengan tidak melakukan sebarang pembangunan selama kami menjadi wakil rakyat," katanya.

Sebaliknya beliau mempersoalkan tiada sebarang pembangunan dibawa wakil rakyat Barisan Nasional (BN) sepanjang empat tahun lalu.

"Saya tanya mereka balik, apa yang ADUN BN dulu buat? Empat tahun duduk tiada buat apa-apa. Zaman saya baru ada pasar, masjid, balai polis, pusat perniagaan untuk kami bangunkan," katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menafikan akan menyaman Umno Bahagian Kota Raja seperti dinyatakan dalam blog Pisau.Net.

Malah satu sidang media yang dijadualkan tengah hari tadi seperti laporan laman blog itu juga ternyata palsu.

"Saya tidak mengadakan sebarang sidang media tengah hari tadi dan saya menafikan untuk menyaman Umno Bahagian Kota Raja terbabit. Laporan dalam laman blog itu ternyata palsu," katanya.

No comments: