Thursday, June 3, 2010

Pidato ' Suka Bola Tak Suka Judi '








PARIT BUNTAR, 2 Jun : Dewan Pemuda PAS Parit Buntar akan mengadakan satu pidato perdana 'Suka Bola Tak Suka Judi ' sempena membantah judi bola yang diluluskan oleh kerajaan baru-baru ini. Sempena bola sepak Piala Dunia, kerajaan telah memberikan lesen kepada Berjaya Group untuk menjalankan permainan judi bola sepak.

Menurut Ketua Penerangan Pemudanya, Hairul Nizam Ishak, Pemuda Parit Buntar mengambil inisiatif untuk mengadakan program ini pada 5 Jun ini, di Dataran Purnama Kampung Kedah jam 9.00 malam.

" Ceramah ini akan menampilkan Ketua Pemuda PAS Pulau Pinang, Ustaz Yusni Mat Piah serta beberapa lagi pimpinan pemuda PAS bagi menyatakan bantahan sekeras-kerasnya khususnya daripada masyarakat Parit Buntar bahawa judi bola sepak ini tidak akan memberi sebarang manfaat kepada rakyat Malaysia.

" Malah ia akan mengakibat kesan buruk apabila masyarakat khususnya golongan belia ini terlibat dalam perjudian ini. Permainan judi sememangnya diharamkan dalam Islam, mengapakah kerajaan di bawah pemimpin Umno yang beragama Islam boleh meluluskan permainan tersebut" katanya

Beliau berkata, selain itu edaran risalah juga akan diadakan sebagai menjadi agenda penerangan Dewan Pemuda.

" Apa yang lebih memalukan adalah ramai di kalangan bukan Islam juga menentang judi bola ini. Bagi mereka ianya tindakan membazir dan boleh menyebabkan kerosakan institusi kekeluargaan.


" Rakyat kadangkala sanggup berhutang untuk berjudi, apabila mereka tidak mampu membayar keluarga penjudi ini akan diburu ketakutan dan kesusahan" katanya


Tambahnya, Pemuda PAS Parit Buntar turut sama akan mengecam tindakan Rejim Israel yang telah menyerang aktivis dan sukarelawan yang membawa bantuan untuk masyarakat Palestin di Gaza.


"Tindakan biadap ini dikecam di seluruh dunia. Pemuda PAS akan menentang habis-habisan tindakan Rejim Israel tersebut dan akan mengambil inisiatif menyebarkan risalah memboikot produk-produk di Malaysia yang ada kaitan dengan Israel" katanya


Beliau turut menyeru supaya umat Islam mengadakan solat hajat bagi mendoakan sukarelawan yang membawa misi bantuan kemanusiaan ini dilindungi oleh Allah SWT.

No comments: