KUALA LUMPUR, 8 Julai: Ketua Penerangan Umno, Datuk Ahmad Maslan 'enggan' berdebat dengan Pengerusi Pertubuhan Anak-anak Peneroka Felda (Anak), Mazlan Aliman meskipun jemputan itu telah diserahkan sendiri oleh Mazlan kepada beliau ketika sidang media bersama di Parlimen hari ini.
Sebaliknya ketika bertemu pada jam 11.00 di Lobi Parlimen hari ini Ahmad yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri pula menyerahkan surat jemputan dialog kepada Mazlan, walaupun pada awalnya pertemuan hari ini berkisarkan jemputan debat oleh Pengerusi Anak itu.
Mengeluas keenganan Ahmad berdebat, Mazlan yang juga AJK PAS Pusat menegaskan Ketua Penerangan Umno itu sebenarnya takut untuk berdepan dengan rakyat.
Beliau menjelaskan, pemilihan debat dicadangkan ekoran beberapa siri dialog sebelum ini dilihat gagal menyelesaikan isu peneroka dan tidak mendatangkan hasil yang positif.
"Saya bukan nak cari publisiti kerana memilih debat, tetapi saya mahu rakyat sendiri tahu apa isu sebenar yang membabitkan Felda, isu penyelewengan, isu mengapa susutnya rizab tunai Felda, dan banyak lagi yang saya akan dedahkan,
"Saya mahu rakyat menjadi hakim.Kita mahu rakyat nilai mana yang betul mana yang salah.Dia (Ahmad Maslan) tak mahu debat tetapi memilih dialog.Ini tak selesaikan masalah, malah dialog ini dibuat biasanya tertutup, kemudian apa yang akan digambarkan dalam media akhirnya hanya suara sebelah pihak,
"Jalan terbaik adalah debat, dibuat secara langsung melalui stesen televisyen samada kerajaan mahupun swasta, kemudian khalayak Felda sebagai tetamu.Nak buat dimana sahaja saya tak kisah asalkan rakyat dapat tahu apa yang berlaku sebenarnya," kata Mazlan ketika ditemui selepas sidang media.
Sementara itu Mazlan juga yakin 'ada benda yang disembunyikan' yang menyebabkan Ahmad Maslan 'enggan' berdebat secara terbuka, sebaliknya hanya mahu berdialog.
"Kalau dia tak takut, marilah berdebat, kenapa tak mahu debat?" katanya lagi.
Mazlan sebelum ini banyak mendedahkan isu membabitkan pentadbiran dan pengurusan Felda.Beliau yang juga generasi kedua Felda memiliki pengalaman berhubung isu-isu Felda dan bersedia mendedahkan banyak lagi isu membabitkan agensi itu dalam masa terdekat.
No comments:
Post a Comment