Saturday, July 31, 2010

Kempen anti saman ekor


ALOR SETAR, 31 Julai : PAS akan melancarkan Kempen Anti Saman Ekor (Kase) Isnin ini bagi membela pemandu dan pemilik kenderaan yang disenarai hitam oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) kerana tindakan itu bertentangan dengan Perlembagaan Negara.

Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar berkata, kempen itu dijalankan untuk membantu mereka yang teraniaya disebabkan saman ekor.


Menurutnya, pihaknya akan cuba memastikan halangan kepada pemilik kenderaan yang disenarai hitam itu boleh diselesaikan mengikut saluran undang-undang.

“Kita melihat, tindakan menghalang pemilik kenderaan memperbaharui cukai jalan hanya kerana mempunyai saman ekor amat bertentangan dengan undang-undang, dan menimbulkan lebih banyak masalah. Kami akan kemukakan bukti mengenai perkara itu," katanya.

“Ingin saya tegaskan bahawa kita tidak sokong pemandu yang memandu tanpa etika, cuma kita mahu JPJ bertindak adil kepada pemilik kenderaan,” kata Mahfuz sewaktu dihubungi Sinar Harian semalam.

Menurutnya, notis yang menyebut pemilik kenderaan bersalah tidak wajar kerana tiada bukti yang kukuh.

“Tidak semestinya pemilik kenderaan bersalah apabila kenderaannya disaman oleh polis atau JPJ, mungkin orang lain yang memandu kenderaan tersebut.

“Jadi tidak ada bukti jelas dan JPJ juga sebenarnya tidak mempunyai hak untuk menghalang pemilik kenderaan memperbaharui cukai jalan mereka,” katanya.

Difahamkan sejak September 2009, lebih 2.5 juta notis saman dikeluarkan kepada pesalah trafik dan daripada jumlah itu, 1.07 juta pesalah trafik disenaraihitamkan oleh Polis Diraja Malaysia.

“Kita merumus tindakan yang akan diambil ke atas Kerajaan Barisan Nasional (BN) bagi membela rakyat khususnya pemilik kenderaan.

“Satu sidang media akan diadakan pada 2 Ogos jam 12.30 tengah hari di Ibu Pejabat PAS, Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur bagi membentangkan tindakan yang bakal diambil,” katanya.SH

No comments: