Tuesday, July 27, 2010
Operasi ‘underground’ tarik pengundi muda 'atas pagar'
KOTA BHARU, 27 Julai : PAS sedang mempergiatkan usaha termasuk mewujudkan operasi ‘underground’ untuk menarik sokongan lebih 60 peratus undi muda yang berada dalam situasi ‘atas pagar’ sebagaimana yang dilaporkan sebuah akhbar sebelum ini.
Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat, Datuk Abdul Halim Abd Rahman, mengakui bahawa hasil kajian yang dibuat oleh pihaknya mempunyai persamaan dengan kajian yang dibuat oleh pemuda UMNO yang mendapati lebih 60 peratus undi muda berada situasi ‘atas pagar’.
Sehubungan dengan itu katanya, mana-mana parti dari Pakatan Rakyat (PR) mahupun Barisan Nasional (BN) yang dapat menguasai undi itu akan memperoleh mandat untuk memenangi Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU) nanti.
“Kajian kita menunjukkan senario yang sama, 64 peratus adalah undi muda yang masih tidak menyokong mana-mana pihak dan mereka bersikap tunggu sehingga tempoh pengundian.
“Bagi pihak PAS bersama PR, kita sedang merangka gerak kerja yang rapi termasuk mengadakan operasi ‘underground’ untuk memastikan undi ini mampu dimiliki Pas dan pakatan,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, semalam.
Sebuah akhbar semalam melaporkan hasil kajian dari makmal pemuda BN yang mendapati 62 peratus daripada undi muda masih “duduk atas pagar ”mengenai parti pilihan mereka.
Kajian terbaru memberi wawasan tentang pemikiran go:longan pengundi muda dengan kebanyakan mereka mengambil pendirian non partisan (tidak memihak) berhubung politik negara.
Mengulas mengenai trend undi Melayu kepada PAS, Abdul Halim yang juga Ahli Parlimen Pangkalan Chepa menafikan bahawa sokongan kepada parti itu menurun sejak PRU-12 yang lalu.
“PAS mempunyai “culture voter’(undi setia) yang tidak berubah walaupun apa senario yang berlaku, satu lagi peringkat kita mempunyai undi dari ahli UMNO dan pengundi atas pagar.
“Apa yang berlaku kini, undi Melayu tidak menurun walaupun banyak cerita dikaitkan dengan perubahan parti, malah kita sedang bekerja keras untuk mendapatkan undi muda untuk memastikan kemenangan dalam PRU-13 nanti,” katanya. SH
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment