SHAH ALAM, 29 Julai: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Antarabangsa, Mohamed Azmin Ali menyokong tindakan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim yang melabelkan Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo sebagai "pesara lombong pasir haram".
Beliau melalui twitternya hari ini mengucapkan tahniah di atas keberanian Khalid menyerang Khir yang juga bekas Menteri Besar itu.
Azmin juga turut menggesa Khalid agar tidak melayan serangan Khir tersebut.
"Tahniah Tan Sri Khalid. Persetankan dan jangan layan Khir yang merupakan retired illegal sand miner,” katanya yang juga Naib Presiden PKR.
Khalid dalam sidang medianya semalam melabelkan Khir Toyo yang kini Ketua Pembangkang Negeri, sebagai "pesara lombong pasir haram".
Ianya ekoran kenyataan Khir mendakwa anak syarikat kerajaan negeri, Kumpulan Semesta Sdn Bhd (KSSB) membayar royalti kurang berbanding semasa beliau memerintah.
KSSB dakwanya, hanya membayar RM12,000 kepada kerajaan negeri di sebalik memungut hasil RM734,000 tahun lalu.
Khalid dalam responsnya semalam bagaimanapun berkata, "Khir Toyo tahu semua butirannya. Saya fikir dia mesti terbabit dalam perniagaan melombong pasir sebelum ini - kemungkinan besar yang beroperasi secara haram. Saya tidak mahu komen pelombong pasir haram yang sudah bersara itu".
Serangan balas Khalid terhadap Khir itu dilihat bertepatan dengan keputusan pemukiman anggota Majlis Pimpinan Tertinggi PKR di Port Dickson hujung minggu lalu yang mahu Khalid tidak hanya defensif malah perlu menyerang Umno BN.
Menurut laporan penyelidikan KSSB, pada tahun 2008 mereka membayar RM1.5 juta royalti dan RM1 juta keuntungan sebelum cukai kepada kerajaan negeri Selangor.
Pada 2009, mereka membayar RM5.7 juta royalti dan RM9 juta keuntungan sebelum cukai manakala pada 2010, sehingga Jun lalu mereka telah membayar RM5 juta royalti dan RM10 juta keuntungan sebelum cukai kepada kerajaan negeri.
Ianya jauh lebih tinggi berbanding zaman kerajaan negeri di bawah BN.
Pada zaman BN, kerajaan negeri hanya mendapat bayaran royalti sebanyak RM3.54 juta pada tahun 2005, RM4.37 juta (2006) dan RM4.29 juta (2007) hrkh
No comments:
Post a Comment