Monday, July 12, 2010

Program Cakna Rakyat dapat sambutan



PARIT BUNTAR , 12 Julai : Program Cakna Rakyat 2010 anjuran Pusat Khidmat Parlimen Parit Buntar dan DUN Titi Serong mendapat sambutan hebat daripada penduduk di Kuala Bagan Tiang dan sekitarnya.

Pengarah program Ahmad Azhar Haji Sharin berkata, program yang julung-julung kali diadakan di Kuala Bagan Tiang ini mendapat kerjasama penduduk setempat.

" Kerjasama penduduk yang diketuai oleh Ketua Kampung Pakatan Rakyat Haji Ahmad Bakhtair Arshad telah menjayakan lagi program ini.

" Cakna Rakyat 2010 ini diadakan sebagai tanda prihatin pemimpin masyarakat khususnya daripada wakil rakyat untuk mendekati rakyat dengan lebih dekat." katanya

Menurutnya, acara yang dimulai dengan majlis ucapan perasmian oleh ADUN Titi Serong,
Drs Khalil Idham Lim Abdullah dan Haji Harun Hashim selaku penaung program.

" Pelbagai acara telah dianjurkan yang dapat menarik ratusan pengunjung ke Dewan Serbaguna Kuala Bagan Tiang.

" Pengunjung dihidangkan dengan acara peraduan mewarna kanak-kanak, sukaneka kanak-kanak, sukaneka wanita, pertandingan masakan dan gubahan, bolasepak tujuh sebelah, tarik tali, pemeriksaan kesihatan percuma, daftar dan semakan pemilih dan banyak lagi" katanya

Azhar berkata, setiap acara mendapat sambutan sehingga pihak penganjur terpaksa mengadakan acara saringan terutamanya bagi acara sukaneka kanak-kanak kerana lebih seratus kanak-kanak menyertainya.

" Dalam masa yang sama tidak ketinggalan juga pihak penganjur menyampaikan sumbangan untuk fakir miskin di kawasan tersebut.

" program turun padang mendampingi rakyat ini merupakan acara yang sering dilaksanakan oleh pihak penganjur. Sebelum ini acara yang sama telah diadakan di Pekan Tanjung Piandang dan Kampung Perak " katanya

Tambahnya, program ini dianjurkan sebagai tanda prihatin pihak Parlimen dan DUN untuk memberi khidmat pada penduduk setempat dan pada kali ini Kuala Bagan Tiang menjadi tuan rumah.

Sementara itu, pada acara penutupnya di padang bolasepak Kuala Bagan Tiang, Ahli Parlimen Parit Buntar, Dr Mujahid Yusof Rawa mengucapkan terima kasih di atas komitmen yang ditunjukkan oleh seluruh penduduk setempat yang sama-sama terlibat bagi menjayakan Cakna Rakyat ini.

" Saya menyeru anak-anak muda khususnya yang beragama Islam dan berbangsa Melayu ini menyertai program-program yang berfaedah dan dapat memupuk semangat muhibbah di antara pemimpin dan juga masyarakat setempat " katanya

Majlis penyampaian hadiah telah disempurnakan Ahli Parlimen Parit Buntar, ADUN Titi Serong serta penaung Cakna Rakyat yang juga Yang Dipertua PAS Kawasan Parit Buntar, Haji Harun Hashim.


Kanak-kanak menyertai acara meniup belon

Seorang warga emas sedang diperiksa oleh doktor.


Acara tarik tali mendapat sambutan hebat


Puan Zuraida isteri kepada Ahli Parlimen menyampaikan hadiah kepada pemenang.

No comments: