Friday, August 20, 2010
23,451 ahli PKR Kedah layak mengundi
ALOR SETAR , 20 Ogos : Parti Keadilan Rakyat (PKR) akan menjadi parti politik pertama di negara ini yang melaksanakan proses pemilihan secara demokrasi sepenuhnya.
Penyelaras Pemilihan 2010 PKR negeri, Senator Zamri Yusuf berkata, terdapat beberapa parti yang berhasrat melaksanakan proses seperti itu namun PKR kini mendahului dengan mengadakan proses pemilihan secara langsung oleh ahli parti.
“Sebanyak 12 cabang yang berdaftar dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) akan mengadakan pemilihan secara berperingkat di cabang masing-masing, pada masa yang sama dengan mesyuarat agung tahunan (AGM) cabang yang dijadualkan berlangsung September depan.
“Keseluruhannya dianggarkan terdapat 576 jawatan peringkat cabang dipertandingkan bagi memilih Ketua Cabang, Timbalan Ketua Cabang, Naib Ketua Cabang dan 15 Ahli Jawatankuasa (AJK) bagi setiap cabang,” katanya pada sidang media, di sini, semalam.
Selain jawatan untuk peringkat cabang, terdapat 20 jawatan peringkat Angkatan Muda Keadilan (AMK) dan 10 jawatan peringkat Wanita Cabang yang dipertandingkan.
“Peringkat pertama proses pemilihan melibatkan lima cabang iaitu Langkawi, Kubang Pasu, Pokok Sena, Alor Setar dan Kuala Kedah. Penamaan calon diadakan serentak di kawasan masing-masing pada 27 Ogos manakala pengundian dan AGM diadakan 17 September.
“Bagi Cabang Kulim Bandar Baharu, penamaan calon akan diadakan pada 28 Ogos manakala pengundian 18 September,” katanya.
Menurutnya, proses penamaan calon lima lagi cabang iaitu Jerai, Merbok, Sungai Petani, Baling dan Sik diadakan pada 3 September dan 24 September untuk pengundian.
“Cabang Padang Serai akan mengadakan penamaan calon dan pengundian masing-masing pada 12 September dan 3 Oktober depan.
“Parti memberi peluang kepada semua ahli berdaftar untuk menawarkan diri bertanding bagi mengisi jawatan sama ada sebagai pimpinan Cabang, AMK atau Wanita,” katanya.
Sementara itu, pencalonan pimpinan pusat untuk jawatan Presiden, Timbalan Presiden, Naib Presiden dan Majlis Pimpinan Pusat akan diadakan ketika AGM cabang. .
“Ahli setiap cabang di seluruh Malaysia akan membuat pengundian selepas senarai akhir pencalonan dikeluarkan.
“Bagi negeri Kedah, pemilihan pimpinan Pusat secara langsung oleh ahli parti akan diadakan pada 29 hingga 31 Oktober 2010 dan 12 hingga 14 November 2010,” katanya.
Difahamkan, terdapat 23,451 orang yang disenaraikan sebagai ahli layak mengundi pada pemilihan itu.SH
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment